"Kebetulan kau datang", kata seorang kawan.
Apa maksud kata-kata itu?
Saya cuba memahami kata 'kebetulan' itu tanpa melihat maknanya dalam kamus. Ertinya mungkin pemahaman saya itu tidak tepat dan ada kemungkinan salah. Saya tidak mahu terkongkong atau terikat dengan difinasi mana-mana kamus.
Memang banyak hal yang berlaku secara kebetulan. Berlaku tanpa disangka-sangka, tanpa dirancang. Dalam hal kedatangan saya ke rumah kawan saya itu adalah satu kehadiran yang memang tidak diduga olehnya. Tapi nampaknya kata-kata itu semacam menyatakan satu harapan yang menjadi kenyataan yang tidak disangka-sangka.
Mungkin ada sesuatu yang perlu dibereskan oleh kawan itu tetapi dia seorang saja tidak atau kurang mampu untuk melakukannya. Misalnya dia berhajat untuk mengangkat satu barang yang berat yang memerlukan tenaga dua orang lelaki. Dalam masa memikirkan cara penyelesaiannya tiba-tiba muncullah saya. Maka sudah tentu ianya memberi peluang kepada kawan saya itu untuk menyelesaikan masalah mengangkat barang yang berat itu.
Saya datang pun bukanlah sebenarnya untuk menolong mengangkat barang yang berat itu. 'Kebetulan' , setibanya saya dirumah kawan itu, kawan itu sedang memerlukan bantuan seseorang.
Kebetulan diatas adalah tentang memenuhi harapan dan menerima bantuan.
Satu contoh lagi ialah dalam kes kemalangan. Katakan berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan teruk kepada seseorang yang perlu diberi rawatan segera. Dalam keadaan yang genting itu tiba-tiba terdengar siren sebuah kereta ambulans menuju ke arah tempat kemalangan itu dalam perjalanan untuk ke hospital. Kebetulan pula kereta ambulans itu tidak membawa pesakit yang lain. Maka orang yang cedera itu dapat segera diberi pertolongan.
Hal-hal kebetulan ini boleh kita tuntun sendiri dalam filem-flem atau drama. Filem Hindustan, paling banyak yang 'kebetulan'.
"Kebetulan' dalam bentuk persamaan yang tidak mahu dikaitkan. Atau persamaan yang dikatakan tidak ada kena mengena. Misalnya kejayaan seseorang dalam memperkenalkan sesuatu idea atau program yang mana telah juga dilaksanakan ditempat yang lain. Maka persamaan itu tidak ada kaitan diantara satu dengan yang lain. Tidak ada kena mengena.
Maknanya program/idea itu mempunyai ciri-ciri yang sama tapi ianya bukan cedokan atau tiruan. Ianya hanya satu 'kebetulan' saja. Konsep 1 Malaysia tidak ada kena mengena dengan 1 Israel, misalnya?
Dan banyak lagi hal, keadaan, peristiwa, cerita, kejadian dan acara yang bersifat 'kebetulan'. Maknanya yang tidak kita rancang atau ambil peluang , kesempatan dan menjadikan alasan. Sekiranya ada ciri-ciri selain dari yang tidak disangka atau tidak dirancang maka ianya bukanlah 'kebetulan'.
Sesuatu yang dirancang, diambil peluang, kesempatan dan digunakan sebagai alasan bukanlah hal-hal bersifat 'kebetulan'. Misalnya membawa bersama anak isteri bercuti diluar negara selepas menghadiri satu persidangan atas pembiayaan syarikat atau organisasi.
Hal atau keadaan seperti ini tidaklah boleh di katakan 'kebetulan' . Keadaan seperti ini adalah mengambil 'peluang' atau kesempatan dari persidangan itu.
Adakah cara ini salah? Atau secara moralnya tidak betul?
Jawablah sendiri kerana berbagai-bagai cara dan pendekatan yang kita boleh gunakan bagi menjawab soalan itu yang menjurus kepada membenarkan perbuatan kita. Tetapi jangan salah tanggap. Saya tidak mengatakan cara itu salah dan dari segi moralnya tidak kena. Yang boleh jawab ialah suara hati mereka yang terlibat. Dan sudah tentu kita tidak tahu. Yang tahu mereka sendiri.
Cuma saya hendak mengatakan bahawa jika kita mempunyai kuasa untuk merancang melakukan sesuatu maka kadang-kadang kita terlupa untuk memisahkan diantara yang bersifat peribadi dengan tugas rasmi.
Itu adalah kelemahan kita semua, dan saya tidak terkecuali.
Adakah 'tidak kecuali saya itu sebagai satu kebetulan'. Ertinya perangai saya itu secara 'kebetulan' sama dengan yang lain?
Soalan diatas ini saya yang jawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan