Rumah-rumah yang usang semakin hari semakin bertambah bilangannya. Rumah yang terbiar dan ditinggalkan tanpa penghuni. Mungkin ada pewaris dan mungkin juga tiada pewarisnya lagi.
Begitulah antara pemandangan yang semakin menyerlah di kampong-kampong sekarang ini. Tidak terkecuali juga dibandar dan ditaman-taman perumahan tetapi mungkin kewujudannya tidak ketara. Banyak rumah-rumah yang ditinggalkan bertukar wajah menjadi usang kerana telah tiada penghuninya lagi
Ada banyak sebab mengapa fenomina seperti ini semakin menyerlah dikampong-kampong. Antaranya ialah penghijrahan tuan punya rumah itu ke tempat lain biasanya ke bandar dan kawasan atau taman perumahan yang menyediakan kemudahan yang lebih baik lagi. Jika tempat yang baru itu tidak berjauhan dengan rumah lamanya itu maka kerap juga orang itu akan datang menjenguk untuk mengemas rumah dan membersihkan persekitaran rumah. Biasanya jika terlalu jauh jarang sekali mereka datang menjenguk. Ada kemungkinan tidak datang langsung.
Rumah-rumah yang ditinggalkan itu biasanya jarang sekali disewakan kepada sesiapa . Tidak juga ada pihak yang berminat untuk menyewanya. Entah kenapa jadi begitu. Cuma ada juga mereka yang bercerita bahawa rumah yang besar itu terutama yang telah lama ditinggalkan kosong telah ada penunggunya. Katanya hantu. Maka tidaklah berani sesiapapun untuk menyewanya.
Satu lagi sebab mengapa rumah itu menjadi kosong ialah kerana kematian tuan rumah, orang terakhir yang menduduki rumah itu. Anak-anak pula tinggal ditempat lain dan masing-masing telah mempunyai rumah ataupun memang tidak bercadang untuk balik ke kampong. Kadang-kadang disebabkan berlaku perbalahan dikalangan adik-beradik dari segi pewarisan harta dari orang tua yang telah meninggal menyebabkan tiada seorang yang mahu menjenguk ke rumah lamanya itu.
Walaupun dikatakan hantu telah menjadi penunggu rumah yang kosong itu tapi ada juga pihak-pihak yang berani memasuki rumah itu sama ada di waktu siang hari atau malam. Biasanya mereka ini terdiri dari penagih-penagih dadah.
Bilangan rumah seperti ini akan bertambah pada masa hadapan kerana sebahagian besar anak-anak lebih suka mempunyai rumah sendiri walaupun kecil terutama anak-anak yang telah berkeluarga. Apa tah lagi jika mereka bekerja di tempat yang jauh dari rumah ibubapa di kampong.
Rumah-rumah yang tiada penghuni, yang ditinggalkan kosong , jika ditinggalkan terlalu lama maka ia akan menjadi usang. Ada yang percaya rumah itu ada penunggu yang tidak boleh dilihat iaitu hantu. Maka takutlah untuk orang mendekatinya apatah lagi untuk menyewa.
Kalau begitu, daripada menjadi usang begitu saja penagih dadah sungguh bijak memenfaatkannya. Berkumpullah mereka siang malam berkhayal, 'dunia mereka yang punya'.
Rumah yang ditinggalkan kosong akan menjadi usang, membiakkan bilangan hantu yang kita tidak dapat lihat. 'Hantu' yang kita boleh lihat membiak juga. Cuma 'hantu' itu bijak berkhayal.
Pihak berkuasa wajar juga menjenguk-jenguk rumah yang usang ini.
Jangan takut pada hantu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan