Hari Isnin hingga Jumaat- rutin pagi saya, sebenarnya dari pagi sampailah menghampiri pukul 6 petang rutin saya adalah menguruskan cucu yang comel, seorang cucu lelaki baru memasuki 7 bulan. Ahmad Naqib nama yang diberikan oleh kedua ibubapanya. Mereka tinggal bersama kami semenjak dikurniakan cahaya mata. Seronok sekali dapat menjaga cucu yang comel itu. Saya dan isteri telah mengasuhnya sejak lahir lagi.
Saya dan isteri tinggal berdua saja. Dua orang anak perempuan telah berumah tangga dan masing-masing mempunyai seorang anak. Kedua-dua cucu lelaki.
Anak lelaki saya yang seorang saja itu baru saja bekerja diPasir Gudang Johor Baru, tinggal disana. Anak perempuan bongsu masih lagi belajar ditahun 4 dan InshaAllah 2 tahun lagi akan tamat.
Dengan demikian kehadiran cucu yang kedua bersama kedua ibu bapanya amat menggembirakan hati kami berdua suami isteri.
Tapi tinggal bersama kami adalah sementara saja. Mereka merancang untuk berpindah ke Kuala Lumpur atau Putra Jaya. Anak saya itu menunggu keputusan rayuan berpindah ke Kuala Lumpur atau Putra Jaya untuk bersama suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur.
Sudah hampir tiga tahun menantu saya berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur. Semoga rayuan pertukaran itu berjaya.
Kalau berjaya kami amat suka dan gembira sekali. Sudah tentu air mata akan meleleh dipipi kami menerima berita itu nanti. Saya pasti juraian air mata isteri saya yang paling banyak sekali. Lama nangisnya .
Mengapa kami akan menangis mendengar berita gembira itu nanti? Jawabnya ialah sedih akan berpisah dengan cucu. Dalam masa sama bersyukur kerana mereka akan menjalani kehidupan sendiri. Banyak hal yang mereka perlu belajar untuk mematang dan memantapkan hidup berumah tangga.
Cucu pertama kami tinggal bersama ibubapanya di Ampang Avenue Kuala Lumpur.
Pukul enam pagi, mama Naqib akan masuk bilik saya, menyerahkan Naqib. Saya akan baringkan Naqib diatas katil. Saya pun baring sama sambil bergurau dengan menghagahnya. Apa lagi, dia ketawa. Lesong pipit dipipinya menambahkan lagi comel si Naqib ini. Saya teruskan hagahan. Dia terus ketawa.
Saya bercakap dengan Naqib menggunakan perkataan pelat seolah-olah cucu saya itu hanya faham cara itu berbanding sebutan biasa. Saya rasa lebih manja kalau bercakap pelat dengan cucu yang baru masuk 7 bulan itu. Saya rasa tidak ada kesan buruk berbuat begitu. Malah saya seronok. Manja sekali.
Sebutan pelat itu tidak terhad dalam Bahasa Melayu saja. Bahasa Inggeris pun saya pelatkan.
"Naqib ni syader-syader lah", saya menghagah Naqib. Syader-syader ertinya mengada-ngada. Mengada-ngada menunjukkan kasih sayang. Biasanya Naqib akan melentokkan kepalanya ke bahu saya. Manja sangat.
"Naqib syanjer", saya memuji Naqib yang manja.
"Naqib enchem boy", pelat dalam Bahasa Inggeris. Naqib pun melentokkan kepala kebadan saya dan kadang-kadang tangannya mencapai cermin mata.
Sekarang Naqib telah mula diberikan makan yang agak solid juga sebagai tambahan susu ibu. Waktu makan biasanya pukul sembilan pagi. Yang menyediakan makanan ialah isteri saya. Bahan makanan terdiri dari keratan beberapa keping daging ayam/ikan, sayur bayam/brokoli dan beras yang dimasak bersama menjadi bubur. Kemudian dikisar.
Naqib hanya akan mahu makan jika ada sesuatu dipegangnya. Tidak semestinya mainan. Sudu pun boleh asalkan ada benda yang dipegang. Itupun belum cukup syarat untuk dia mahu makan. Jadi saya akan jadi pelakun dengan membuat berbagai gerakan. Biasanya membuat gerakan seperti orang bersilat atau melakukan senaman sambil mengeluarkan suara yang berbeza bunyi. Tapi tidaklah kuat sangat sebab Naqib tidak suka suara yang kuat dan bising.
Isteri saya yang menyuapkan makanan dengan cara memangkunya. Dari awal hingga habis makanan saya akan berlakun. Mudahlah isteri saya menyapkan makanan kerana Naqib sentiasa membuka mulut dan tidak pernah menolak melainkan kalau dah kenyang.
Naqib akan dimandikan selepas makan. Isteri yang memandikan dan saya seperti dibabak makan. hadir sama menghagah Naqib. Dia bukan main seronok dengan air. Tapi kadang-kadang menangis juga.
Saya juga turut sama dalam sesi mengenakan pakaian. Yang paling Naqib tak suka ialah waktu perutnya disapu dengan minyak angin bagi mengelakkan sakit perut/kembung perut. Satu lagi yang dia tak suka ialah apabila disapu bedak dimuka. Biasanya dia cuba mengelak mukanya dan menangis.
Selepas siap disolekkan saya mengambil tugas menjaga Naqib kerana isteri ke dapor untuk memulakan sesi masak memasak menyediakan makanan tengah hari. Kerja saya menyuap susu menggunakan botol susu. Susu itu adalah susu ibu yang telah sedia ada dalam peti ais dan telah dihangatkan oleh isteri.
Tapi dua tiga hari yang lepas sehingga hari ini Naqib tidak mahu menyusu sebab selesema. Hidungnya tersumbat dan susah untuk bernafas jika menghisap susu. Kesian Naqib kearana tidak dapat minum susu.
Kami beli biskut, makanan untuk anak seusia Naqib dan merendamkan sekeping dua dengan menggunakan susu ibu itu. Apabila disuap, sudah tentu saya akan berlakun lagi. Selera Naqib teransang. Saya dan isteri suka hati. Kalau tidak kami runsing sekali.
Naqib tidak tentu waktu beraknya. Kadang-kadang pagi, tengah hari, petang mahu pun malam. Kadang-kadang satu hari dua atau tiga kali. Ada juga dua hari tidak berak. Ini merisaukan kami.
Isteri yang mencuci berak. Saya yang menjirus air suam kepunggung dan tempat yang ada najis sambil tangan isteri membersihkannya.
Tidak mudah untuk menidurkan Naqib. Jadi saya dan isteri akan bergilir-gilir cuba melenakannya dengan masing-masing menyanyikan lagu. Saya menyanyikan lagu, lirik rekaan sendiri. Biasanya isteri menyanyi lagu 'Ba ba Black Sheep atau Twinkle-twinkle Little Star'. Kalau tidak berjaya isteri tukar lagu rekaan sendiri.
Isteri melakukan itu dengan cara duduk diatas satu bola plastik yang besar sambil memegang Naqib dan melonjak-lonjakkan badan keatas kebawah. Saya pula dengan cara mendukung Naqib dengan berjalan pergi balik sambil menyanyi.
Kami tidak ada buaian.
Ada kah cara kami itu berjaya melenakan Naqib?
Berjaya. Tapi makan masa kadang-kadang ambil masa lebih dari setengah jam. Bila sudah lena maka akan dibaringkan diatas katil. Naqib tidak mahu tidur dalam katilnya sendiri.
Biasanya tidak sampai setengah jam, dan kadang-kadang 10 minit, Naqib akan terjaga. Telinganya terlalu sensitif dengan bunyi termasuklah bunyi suara cecak, binatang yang banyak juga dirumah kami.
Tapi kadang-kadang kami tidak berjaya juga melenakan Naqib. Dalam keadaan begini maka bergilir-gilirlah kami mendukung atau meletakkan Naqib diatas tilam yang penuh dengan mainan. Tapi alat mainan yang dibeli itu, dan ada yang mahal tidak menarik perhatian Naqib. Dia lebih suka bermain dengan botol air mineral yang kosong dan wayar charger talipon yang berwarna hitam.
Ertinya tidak perlu beli barang mainan untuk menarik perhatian anak-anak kecil seusia Naqib ini. Botol air mineral kosong lebih menarik perhatian.
Pukul enam petang giliran mama Naqib mengambil tugas setelah balik dari kerja. Beri nenen. Biasanya Naqib akan tidur. Mamanya pun tidur sama. Ayah Naqib biasanya akan sampai dirumah pada pukul lapan setengah malam. Maka bermula pukul enam petang dan lapan setengah malam ketiga-tiga beranak itu barulah dapat bersama.
Begitulah yang berlaku setiap hari melainkan hari cuti am dan hari Sabtu dan Ahad. Hari-hari ini menggembirakan Naqib kerana dapat bersama dengan mama dan ayahnya sepanjang hari. Akibatnya, kadang-kadang Naqib tidak kisahkan kami berdua. Tapi pada pagi Isnin mulalah dua tangan Naqib mengepak minta saya dan isteri mendukungnya.
Seronok sungguh melihatkan lagaklaku Naqib ini walaupun dalam beberapa minggu ini saya terpaksa mendukung Naqib dengan berjalan terdengkut-dengkut. Sakit sungguh serangan arthtritis ditumit dan tapak kaki kanan. Isteri saya pun sama, sakit lutut.
Saya sempat bertanya anak saya, mama Naqib yang juga seorang doktor mengapa penyakit ini menyerang saya dan apakah ubatnya. Jawabnya : Itu sakit orang tua. Ubatnya pain killer.
Saya tidak mahu ambil pain killer. Saya pun tidak berhajat meminta anak saya mencari orang untuk menjaga Naqib. Selagi saya dan isteri mampu bergerak, Naqib kami punya, kami jaga dengan penuh kasih sayang.
Kami tidak percaya orang yang diupah itu mampu memberi kasih sayang. Itu tidak mengapa. Yang kami yakin sekali ialah orang itu tidak akan berjaya melenakan Naqib. Ooop tunggu dulu. Orang itu boleh melenakan Naqib dengan memberikan ubat tidur.
Anda mahu begitu?
Saya dan isteri , kami berdua menjaga cucu seperti orang pergi bersantai, seronok.
".....
Makanya
Suara dan tangisan adalah hiburan
Dodoian tokpa lirik spontan mengiring sama
'tidur sayang, jangan nangis, tengok wayang belum habis'
terlenalah cucu
.......
Cucu-cucu yang harum wangi
menjadi sasaran hidung nenek, tokpa pun sama
Tiada hanyir, tiada bau selain wangi
......."
Antara bait-bait sebuah puisi saya dalam paparan terdahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan