Hari ini saya 'bekerja kuat' . Kerja kuat kerana inilah kali pertama sejak begitu lama, entah , saya tidak ingat tempohnya, saya mula menjengok almari tempat simpan buku-buku nota catatan dan berbagai kertas serta fail-fail semasa belajar dulu. Tujuan saya ialah untuk meneliti dan menentukan yang mana satu perlu disimpan dan yang mana perlu dibuang.
Oh bukan saya saja, isteri juga tidak terkecuali melakukan bagi tujuan yang sama. Cuma yang berbeza ialah dari segi bahan yang hendak ditapis dan tempat simpanannya saja. Isteri ke satu sudut dimana terletak rak-rak kayu yang sedia tersusun majallah yang berbagai jenis.
Kerja bermula pada sebelah pagi pada jam 9 sebaik saja selesai sarapan pagi.
Wah, sebahagian besar barang-barang itu nampaknya masih cantik tersusun kemas. Bermula dengan sebuah fail/folder berwarna kuning tertulis di bahagian luarnya 'Corporate Finance', saya membuka dan melihat nota-nota yang telah dibuat. Tulisannya masih jelas boleh di baca. Helai-demi helai di selak. Kadang-kadang di helaian tertentu lama juga masa yang diambil untuk membaca semula apa yang telah di catatkan.
Seronok juga kerja menyemak semula nota-nota lama. Ia boleh mengembalikan kenangan lama.
Dulunya semasa meneliti gred yang diperolehi dalam sesuatu kertas/peperiksaan yang dipaparkan di papan kenyataan diluar pejabat Jabatan, ada berbagai macam rasa dan reaksi. Ada masanya rasa kecewa, malu, tidak puas hati, marah dan kadang-kadang suka bukan main 'dunia saya punya'.
Tidak sekarang. Semua yang terkenang itu membawa rasa seronok pula.
Fail ini kena simpan tidak boleh dibuang. Mustahak.
Satu fail lagi menjadi tatapan. Lama juga ditelek dan dibelek isi kandungannya. Pun perlu disimpan. Seterusnya yang lain.
Akhirnya semua fail, barang dan kertas yang tersimpan itu selesai diurus. Kerja-kerja itu mengambil masa dua jam.
Apa yang terjadi? Yang terjadi ialah kesemuanya perlu disimpan dan terlalu amat sayang untuk di buang. Maka terpaksalah disusun semula , dimasukkan kedalam almari seperti sedia kala.
Isteri? Rupa-rupanya dia pun sama. Semua yang disemak terlalu ghalat dan sayang untuk dibuang pada hal majalah-majalah itu telah tersimmpan begitu lama tanpa diusik. Sama juga dengan saya.
Apa ertinya semua ini. Barang-barang itu bukanlah boleh di kategorikan seperti kata peribahasa 'quran buruk' yang membuatkan rasa serba salah untuk dibuang. Kesemuanya boleh saja dibuang kerana dia tidak diperlukan lagi . Tidak ada gunanya lagi.
Tapi saya mahu menyimpannya. Menyemak dan memakan ruang. Bukankah lebih baik almari itu digunakan untuk menyimpan buku dan barang-barang yang baru. Atau tempat menyimpan barang-barang yang lebih berharga berbanding dengan nota-nota pelajaran yang tidak berguna lagi.
Pelik perangai saya ni. Isteri saya pun sama, suka menyimpan barang yang dia sendiri tidak berminat untuk selalu membacanya.
Itulah sampah-sampah yang disayangi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan