Pada hari Jumaat ini 7 Oktober 2011 Kerajaan dibawah teraju BN akan membentangkan Bajet Negara bagi mendapatkan kelulusan Parlimen bagi perbelanjaan tahun 2012 diperolehi dari Kumpulanwang Disatukan Persekutuan. Mengikut tradisi pembentangan akan dilakukan pada sebelah petang oleh Perdana Menteri. Biasanya kertas ucapan belanjawan itu tersimpan selamat dalam sebuah 'brief case' . Teks ucapan di'embargo' sebelum Perdana Menteri selamat membentangkan cadangan bajet negara itu.
Sebahagian besar rakyat termasuklah ahli-ahli parlimen memberikan fokus yang lebih kepada aspek perbelanjaan dan amat kurang melihat atau membincangkan aspek hasil. Selalunya perbincangan lebih kepada peruntukan perbelanjaan yang dicadangkan dan jarang sekali mengaitkan peruntukan yang disediakan dengan hasil. Maka tumpuan adalah kepada berapa besar wang diperuntukkan bagi sesuatu Maksud Perbelanjaan.
Dengan demikian rakyat akan selalunya menunggu-nunggu apakah peruntukan yang disediakan yang dapat memberi faedah atau menguntungkan mereka. Walaupun Kerajaan ada menyatakan bahawa peruntukan sebesar yang dicadangkan itu akan memberi implikasi kepada pengurangan hasil Kerajaan, biasanya hal itu tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
Selain dari itu sebahagian besar rakyat juga sentiasa menunggu skim potongan sesuatu bayaran atau kenaan misalnya potongan cukai pendapatan atau tarif elektrik dan lain-lain lagi. Mereka juga tidak berminat untuk melihat kesan dari pengurangan hasil itu.
Begitu juga bajet tidak dilihat sebagai satu perancangan kewangan negara. Maka dengan sebab itu apabila tawaran-tawaran peruntukan yang dirasakan boleh memberi faedah dan keuntungan akan mendapat puji-pujian dari rakyat. Lantas media akan membuat komen-komen menyatakan sessungguhnya bajet itu perihatin kepada keperluan rakyat. Soal berkaitan sistem pengurusan kewangan yang berdisplin, telus dan bertanggongjawab biasanya tidak banyak diperbincangkan dikalangan rakyat biasa. Cuma ahli-ahli parlimen yang benar-benar melihat bajet sebagai alat perancangan kewangan akan memberi perhatian yang mendalam agar wang negara itu disalur dan dimenfaatkan sebaik mungkin melalui tadbir urus yang terbaik.
Jadi bajet yang akan dibentangkan pada hari Jumaat ini selain dari memperuntukkan jumlah atau skim/program bagi membantu rakyat khususnya yang kurang berkemampuan, ianya hendaklah secara jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan supaya wang negara akan dibelanjakan sebaik mungkin mengikut disiplin kewangan yang terbaik: telus dan kebertanggongjawaban.
Belanjawan PR dibentangkan pada hari Selasa yang dikatakan Belanjawan Sejahtera untuk Rakyat. Kita tunggu Bajet BN yang akan dibentangkan pada hari Jumaat. Harap-harap ia tidak akan jadi Bajet Jengkel Rakyat.
Saya percaya BN tidak akan berbuat begitu. BN mesti lebih menSejahterakan Rakyat. Dua-dua, BN dan PR mahu pancing undi.
Rakyat fikirlah yang mana boleh diharap dan dipercayai. Cuma pesan saya jangan taruh harapan dan percaya kepada orang yang suka cakap bohong. Hari ini kata boleh , esok lain cerita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan