Sekarang musim haji. Orang-orang Islam yang berkemampuan dari seluruh dunia sebahagiannya telah pun sampai di Mekah atau Madinah termasuklah dari Malaysia. Dan sebahagian yang lain menunggu giliran untuk kesana.
Kepada semua bakal-bakal haji kita doakan agar mereka dapat melaksanakan Rukun Islam ke 5 itu dengan sempurna dan dikurniakan haji yang terbaik, haji Mabrur yang diterima Allah.
Menunaikan fardhu haji adalah menjadi satu cita-cita orang-orang Islam, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Namun ada juga mereka yang telah melakukannya lebih dari sekali.
Sebelum menunaikan fardhu haji ramai juga orang-orang Islam khususnya di Malaysia yang melakukan Umrah terlebih dahulu. Sebahgian menyatakan bahawa dengan mengerjakan Umrah terlebih dahulu maka ianya memudahkan kita untuk melakukan ibadat haji pada tahun/tahun-tahun yang terkemudian hasil pengalaman mengerjakan umrah terdahulu.
Di Malaysia, mungkin juga negara-negara yang lain, untuk menunaikan fardhu haji sesorang itu perlu mendaftar dengan badan/organisasi yang telah ditentukan. Di Malaysia kita wajib mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji dengan wang simpanan minima RM1,300.00 dalam akaun Tabung Haji. Hanya baru-baru ini boleh menggunakan wang simpanan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan nilai yang sama.
Difahamkan tempoh menunggu dari saat mendaftar itu agak lama juga menjangkau 10 tahun. Bermakna adalah lebih baik kita mendaftar awal semasa masih berusia muda misalnya pada umur 25 tahun sebaik saja kita mempunyai kerjaya. Dengan itu pada umur 35 tahun kita berpeluang untuk menunaikan fardhu haji. Pada umur itu kita mempunyai tenaga dan kekuatan untuk melakukan ibadat haji kerana ibadat haji sebahagian besarnya ialah perlakuan/perbuatan.
Tempoh menunggu yang agak lama itu adalah berpunca dari had bilangan (quota) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi sesuatu negara termasuklah Malaysia.
Maka cepatlah mendaftar dengan Tabung Haji.
Namun ada juga diberitakan, mereka yang mendaftar dapat menunaikan pada tahun pendaftarannya atau setahun dua lebih awal. Menurut apa yang dimaklumkan bahawa orang istimewa ini adalah terdiri dari mereka yang pergi mengikut pakej swasta melalui tabung haji. Orang-orang ini telah mengeluarkan bayaran yang agak besar juga bergantung kepada kemudahan yang ditawarkan. Pernah dimaklumkan ada yang menghampiri lima puluh ribu seorang.
Soal pakej yang diambil dan kemampuan kewangan orang-orang itu tidak wajar dipersoalkan. Cuma bukankah syarat giliran itu bermula dari tarikh pendaftaran?
Kalau benar begitu maka ada unsur-unsur yang menyalahi ketetapan atau peraturan yang telah dibuat.
Kalau Tabung Haji buat begitu bagaimana dapat orang-orang Tabung Haji yang bersama dengan jemaah, menasihat/memimpin para jemaah untuk melakukan haji yang terbaik . Misalnya mengingatkan mereka supaya berdisiplin sedangkan Tabung Haji sendiri melanggar peraturan yang dibuat. Adakah jemaah saja yang perlu berisiplin? Atau wang yang banyak membolehkan kita memotong giliran?
Bercakap fasal disiplin dan nasihat menasihati ini pula pada kebiasaannya pihak Tabung Haji akan sentiasa mengingatkan para jemaah supaya sentiasa bersabar dengan apa saja masaalah yang dihadapi terutama jika masaalah itu ada kaitan dengan Tabung Haji. Maka kata-kata yang selalu digunakan ialah "ini baru dugaan kecil" bagi melindungi kelemahan atau kesilapan atau salah urus mereka.
Perkara yang dinyatakan itu berlaku berulang kali. Nampaknya Tabung Haji ada kekebalan disini. Mungkin Tabung Haji ada kuasa monopoli mendaftar bakal haji dan memilih siapa yang wajar pergi. Pendaftaran dan memasuki senarai menunggu hanya perlu kepada orang yang setakat mampu saja yang terpaksa mengumpul wang agak lama bagi mencukupkan jumlah yang perlu.
Yang banyak wang dan mengambil pakej swasta hanya perlu mendaftar tanpa tempoh menunggu. Yang paling mendukacitakan ialah mereka yang mempunyai wang yang banyak ini dikhabarkan telah melakukan ibadat haji. Dan kadang-kadang lebih dari sekali. Sementara yang tertakluk kepada tempoh giliran pula hanya inilah kali pertama dan mungkin tiada kemampuan pada masa depan untuk menunaikan haji. Amat malang sekali jika usia orang itu telah lanjut kerana terpaksa mengumpul wang sedikit-sedikit dengan begitu lama.
Mengapa jadi begini?
Yakinkah Tabung Haji untuk menasihatkan jemaah agar berdisiplin?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan