Politik Longkang-Gutter Politic sudah menjadi sebutan yang paling lumrah ketika ini. Penyebutnya ramai dan pendengar dan peminat pun ramai. Pelakunya? Ramaaaaaaai. Cuma saya tidak ada statistik dari segi bilangannya untuk menyokong secara kukuh pernyataan-pernyataan diatas. Dan saya bersetuju untuk orang /pihak lain untuk berbeza pandangan. Apa kata orang putih, 'agree to disagree?'.
Politik Longkang adalah satu senjata. Senjata Politik.
Bagi saya yang sedikit sebanyak mengikuti perkembangan politik, khususnya perkembangan politik tanah air terlalu yakin bahawa Politik Longkang ini adalah merupakan satu kecenderungan yang mula meningkat naik grafnya dari segi populariti applikasinya ketika ini. Memang , politik longkang ini telah wujud sejak semula lagi, sejak manusia menggunakan cara politik untuk mendapat kuasa. Hanya longkang ketika dulu masih ada sedikit-sedikit kejernihannya. Kotor, tetap kotor juga.
Berundur ketahun-tahun hujung tujuh puluhan, dan sehingga pada masa ini, Politik Longkang adalah senjata politik yang ampuh untuk berebutan kuasa.
Saya memilih rangkaikata 'berebutan kuasa' dan 'tidak merebut kuasa' atau 'medapat kuasa' semata-mata mahu menunjukkan 'keghairahan yang melampau' untuk berkuasa dikalangan ramai orang. Maka berebut-rebutlah dikalangan mereka sama ada mereka dari satu kumpulan yang sama apatah lagi dari kumpulan yang bertentangan.
Perbuatan berebut-rebut ini adalah perbuatan anak-anak kecil yang belum matang, yang banyak didorong oleh emosi berbanding akal fikiran yang rasional, yang selalunya mencetuskan pergaduhan. Misalnya berebut gula-gula yang dicampakkan. Itulah penjelasan ringkas dan mudah maksud 'berebut-rebut' itu.
Anak-anak itu berebut-rebut untuk mendapat seulas gula-gula. Bandingkan orang politik yang berebut-rebut untuk berkuasa. Bagaimana agaknya suasana ? Bagaimana pula lonjakan nafsu emosi?
Sudah tentu suasananya 'havoc' sekali. Mereka akan menjadi terlalu ghairah yang melampau, dan ada yang diluar kawalan.
Senjata yang paling berkesan yang boleh membuatkan lawan menjadi mati terbujur kaku ialah telanjang bogel segala-galanya. Segala-galanya yang hakikat dan yang imaginasi. Yang imaginasi menjangkau apa saja tanpa sempadan asalkan hasilnya boleh membujurkan lawan, sanggup mengembara sejauh emosi dan nafsu menguasai diri semata-mata demi kuasa.
Apatah lagi jika masih berkuasa, lama pula. Kuasa mesti dikekalkan dengan apa cara. Bagi yang belum berkuasa, mesti berebut-rebut kuasa dengan yang berkuasa.
Etika, moral, peradaban, berperikemanusiaan dan belas ikhsan, dosa-pahala, syorga-neraka, padang mahsyar- dihari pengadilan terakhir, mesti tolak jauh-jauh, mesti diketepikan.
Sikap itu, lebih tepat lagi pegangan kepercayaan itu, bukan hanya monopoli mereka yang ada kuasa saja, sama ada yang terlalu lama berkuasa dan masih mengekalkan kuasa mahu pun yang baru saja mendapat kuasa. Ianya juga tidak terkecuali menjadi pegangan mereka yang mahu sama-sama terlibat dalam berebur-rebut kuasa.
Sebab itulah sebut apa saja , Politik Longkang ini akan menerima segala-galanya sebagai cara asalkan lawan mati kaku terbujur dibuatnya. Ya, demi berebut-rebut kuasa.
Salah guna kuasa, rasuah, fitnah, wang dan harta, adu domba laga melaga dan macam-macam lagi yang jahat, keji, hina, zalim dan aniaya, hasad dengki, pembohongan, belot, bermuka-muka, ugut mengugut, mengancam nyawa dan harta benda, dendam dan membalas dendam, dan banyak lagi yang kotor, busuk, tengit, hapak, hanyir, meloyakan, yang pekong bernanah, dan banyak lagi akan masuk dalam bakul politik sebagai modal untuk dilaburkan dalam pasaran politik (political market place).
Pasaran Politik yang paling kritikal sekali mengambil tempat ialah disuatu gelanggang yang bernama pemilihan sama ada pemilihan dalam organisasi politik sendiri mahu pun pemilihan dalam gelanggang pilihanraya terutama Pilihanraya Umum menentang lawan anda untuk berebut-rebut kuasa. Kuasa dalam organisasi dan kuasa meneraju negara. Maka Politik Longkang ini adalah senjata pemboleh ( enabling weapon) yang ampuh bagi semua pihak, yang berkuasa mahu mengekalkan kuasa , dan yang mahukan kuasa, berebut-rebutan dalam gelanggang politik itu.
Modal politik yang menggunakan bahan-bahan dan motif diatas akan digunakan ditahap kecekapan dan keberkesanan yang paling tinggi. Aplikasi teknologi terkini yang canggih , penguasaan berbagai institusi kritikal, penguasaan sumber dan kekayaan, penguasaan sebaran bahan dan maklumat adalah faktor-faktor penentu kecekapan dan keberkesanan politik longkang ini.
Dengan demikian jika anda berminat berebut-rebut kuasa gunakan cara politik longkang. Hanya saya perlu ingatkan anda bahawa semua orang yang masuk politik sekarang ini terlalu berminat untuk menggunakan politik longkang. Dan jika anda tidak menguasai hal-hal yang dinyatakan diatas risiko anda untuk ditelanjangkan sudah tentu ada. Cuma kecil atau besar risiko itu adalah bergantung kepada kekuatan anda untuk menang dalam gelanggang politik itu.
Maka anda kena bersedia untuk sama-sama menonton tv atau video dimana-mana saja saluran, saluran untuk awam yang percuma mahu pun saluran 'You Tube' dialam siber yang menunjukkan kehebatan anda menjadi pelakun melakukan babak lucah. Saya faham anda akan mengatakan tidak takut kerana ianya tidak benar kerana anda berpegang kepada prinsip 'berani kerana benar'. Tapi anda terlupa atau buat-buat lupa bahawa teknologi yang canggih pada masa ini boleh melakukannya bagi tujuan politik longkang. Pelaku yang anda nafikan itu sebenarnya dari segi teknologi akan membenarkan bahawa itulah anda. Ramai yang percaya dan menghebahhebuhkan supaya anda mati terbujur kaku.
Tidak ada kejernihan dalam Politik Longkang. Semuanya pekat hitam, berkarat hanyir busuk dan meloyakan: Demi Berebut-rebut Kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan