Hari ini Isnin 4 Oktober 2011 Pakatan Rakyat (PR) telah membentangkan Belanjawan Negara bagi tahun 2012 sejumlah RM220 bilion dengan matlamat Kesejahteraan Untuk Semua.
Belanjawan yang berteraskan Kesejahteraan Untuk Semua ini akan memberi fokus :
i) Pembelaan Rakyat Terbanyak
ii) Mengembalikan Martabat Rakyat
iii) Menjamin Kelansungan Wang Negara
iv) Membina Keanjalan dan Daya Saing Ekonomi
v) Kesejahteraan Sekata dan Seadilnya
vi) Mengukuhkan Arus Reformasi Rakyat.
Dengan mencadangkan jumlah RM220 bilion itu PR menjangkakan akan dapat mengurangkan defisit negara pada paras 4.4% pada tahun belanjawan 2012. Jimatan sebanyak RM14 bilion berbanding perbelanjaan Kerajaan BN ketika ini.
Antara langkah-langkah yang dicadangkan dalam belanjawan itu adalah membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana dalam menghadapi kehidupan harian yang terhimpit oleh kenaikan harga barangan/perkhidmatan.
Caranya antara lain dengan meningkatkan kadar bantuan, menetapkan gaji minima RM1,100, tidak memotong subsidi minyak (dianggarkan 22 bilion), dan menghapuskan subsidi korporat misalnya yang telah dan sedang dinikmati oleh Penjana Tenaga Bebas (IPP) serta menghapus monopoli beras dan lesen teksi.
Dan banyak lagi.
Yang juga penting memerangi salahguna kuasa dan rasuah dengan mengamalkan ketelusan dalam urustadbir dan sistem perolehan melalui tender terbuka.
Dan ada lagi.
Cadangan belanjawan 2012 PR ini seperti biasa mendapat reaksi sinis dari Tun Mahathir. Menurut beliau 'memang senang bila mahu belanja duit yang kita tidak ada'. Maknanya pihak yang bukan kerajaan boleh buat janji apa saja kerana ianya tidak memerintah.
Saya tidak pasti apakah reaksi dari PR akan ulasan bekas Perdana Menteri yang paling lama memegang jawatan itu.
Tapi saya pasti reaksi atau respon yang paling mustahak dan kritikal ialah dari rakyat malaysia itu sendiri.
Saya sebagai rakyat Malaysia ingin juga memberi reaksi akan cadangan belanjawan PR itu. Tapi saya akan simpan dulu reaksi ini sehingga dapat membandingkan 'bajet' dari Kerajaan BN yang dijangka akan di bentangkan Perdana Menteri pada Jumaat yang akan datang ini. Dengan cara ini rasanya lebih baik kerana kita mendapat 2 versi satu belanjawan versi PR dan satu lagi versi BN.
Saya pasti kedua-dua cadangan (belanjawan PR dan bajet BN) akan tidak gagal cuba menyajikan sesuatu yang boleh meraih undi rakyat kerana pilihanraya akan tiba tidak berapa lama lagi.
BN ada banyak kelebihan kerana ketika ini menguasai sumber negara. PR hanya membentangkan belanjawan tetapi tidak menguasai sumber negara. Kata Dr. Mahathir 'tidak ada duit'. Saya menambah 'macam mana nak belanja?'
Ada juga pihak yang menjawab "Berilah peluang PR jadi Kerajaan dengan memilih mereka pada pilihanraya yang akan datang ini. Bolehlah mereka tolong rakyat dalam membantu kesempitan belanja mereka".
Saya kata "Ada juga betulnya. Lagipun kita cabar PR boleh kah buat seperti apa yang dikata". Saya percaya Dr. Mahathir setuju kerana kita telah menyusahkan PR untuk berbelanja, sebab sekarang PR sudah ada duit. Kalau tidak ada duit, kata Dr. Mahathir, PR senang belanja.
Apa pun kita tunggu hari Jumaat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan