1.Perbahasan Bajet (Belanjawan) Negara bagi peruntukan tahun kewangan 2012 masih lagi berterusan. Tahun ini kelihatan pembentangan bajet agak 'istimewa' melampaui jangkaan atau 'harapan' banyak pihak . Bajet, yang banyak pihak , Pembangkang dan orang ramai, khususnya penganalisis, mengaitkan dengan pilihanraya umum yang dijangka bakal diadakan tidak berapa lama lagi. Mereka menamakan sebagai bajet pilihanraya, bajet untuk 'membeli' undi kata Pembangkang melalui berbagai bantuan, kemudahan, dan pemberian tunai kepada pihak/golongan yang tertentu dan kenaikan gaji penjawat awam. Hal ini dinafikan Kerajaan yang menganggap bajet ini sebagai memenuhi tanggongjawab kepada rakyat.
2. Satu lagi 'keistimewaan' ialah pembentangan bajet kali ini tidak disertai bersama dengan satu daripada dokumen penting dalam pembentangan bajet tahunan iaitu Laporan Ketua Audit Negara bagi perbelanjaan tahun 2010. Perkara ini dapat teguran dari Ketua Pembangkang. Hanya selepas melebihi dua minggu dari tarikh pembentangan Laporan itu baru dibentang di Dewan Rakyat.
3. Perkara-perkara berkaitan bajet telahpun saya sentuh dalam dua paparan yang lepas. Secara ringkas saya mengatakan bahawa bajet 2012 ini adalah satu bajet untuk sementara saja, untuk satu jangka pendek bagi tujuan pilihanraya. Bajet yang mana kerajaan mencadangkan satu perbelanjaan melebihi wang yang dijangka masuk. Ertinya kalau tiada wang yang cukup Kerajaan akan berhutang.
4. Tapi kerajaan ada juga jalan keluar yang lain untuk dapat wang tanpa berhutang. Dan jalan ini adalah yang terbaik berbanding dengan berhutang. Caranya dengan mendapatkan wang dari rakyat. Luluskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah diwarwarkan oleh kerajaan untuk dilaksanakan selepas pilihanraya. Saya percaya pilihanraya tidak akan melangkaui tahun 2013. Malah ramai mengatakan pada awal 2012. Maknanya pada pertengahan tahun 2012 akan ada lagi satu pembentangan bajet (bajet tambahan) bagi mengatasi kekurangan peruntukan. Sumber wang adalah dari hasil kutipan GST yang dijangka berkuatkuasa selepas pilihanraya, mungkin pada Mac 2012.
5. Dengan GST semua rakyat akan tertakluk kepada cukai ini kerana kita perlukan barang dan perkhidmatan dalam menjalani kehidupan. Tidak seperti cukai pendapatan yang mana ada sebahagian rakyat yang tidak perlu membayar kerana pendapatan tidak sampai ketahap yang boleh dikenakan cukai, dibawah GST semua orang kena cukai. Maka jadilah GST itu sumber hasil baru. Bolehlah sediakan peruntukan bagi perbelanjaan yang dijanjikan.
6. Tentang Laporan Audit pula kita telah dimaklumkan banyak Jabatan dan Kementerian serta agensi telah mendapat teguran Audit yang negatif kerana pengurusan kewangan dan aset yang tidak teratur, cekap, berdisiplin, menurut porsedur dan peraturan kewangan. Banyak berlaku pembaziran misalnya dalam perolehan yang dibuat sama ada melalui tender atau runding terus.
7. Selain dari teguran pihak audit juga mencadangkan tindakan-tindakan tertentu yang perlu diambil supaya kelemahan-kelemahan pengurusan kewangan itu tidak akan berlaku pada masa depan.
8. Teguran Audit ini juga akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Pihak jawatankuasa juga akan mencadangkan tindakan-tindakan tertentu supaya kelemahan tidak berulang pada masa depan.
9. Teguran demi teguran dan berbagai cadangan tindakan oleh pihak audit dan PAC tapi perkara yang sama masih lagi berulang setiap tahun.
10. Banyak sebab mengapa jadi begitu. Antara lain penjawat awam dari semua peringkat tidak memberi perhatian yang bersungguh terhadap pengurusan kewangan dan aset. Maka sewajarnyalah tindakan berbentuk hukuman dikenakan jika benar-benar berlaku kelemahan atau kecuaian di pihak mana-mana penjawat awam itu.
11. Namun ada juga kelemahan atau salah urus itu terpaksa dilakukan oleh penjawat awam atas arahan pihak yang lebih atas. Yang mendukacitakan arahan itu tidak dibuat secara bertulis. Dengan itu susah untuk dibuktikan.
12. Sebahagian besar penjawat awam adalah mereka yang sentiasa taat dan menurut perintah yang datang dari ketua seperti yang terjelas dalam setiap surat yang mereka tandatangan: Saya Yang Menurut Perintah (SYMP). Tidak dinafikan ada seorang dua yang 'berdegil' yang selalu meminta supaya setiap arahan yang tidak wajar atau menyalahi peraturan dan undang-undang dibuat secara hitam putih. Akibatnya masuk dalam peti ais untuk disejukbeku atau paling baik kena tukar.
13. Oleh yang demikian membaca laporan audit tentang kelemahan dan salah urus kewangan dan harta terutama dan yang paling kritikal sekali ialah dalam perolehan yang besar nilai wangnya ( sama ada dibuat secara tender terbuka, tertutup, design and built dan runding harga dan banyak lagi cara) hendaklah dibuat secara meliputi dan mencakupi setiap ahli organisasi dari Perdana Menteri/Menteri sehingga ke hiraki penjawat awam yang paling bawah.
14. Sekiranya cara kita masih lagi seperti sekarang yang tidak mencakupi maka kelemahan dan salah urus ini akan berulang setiap tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan