Theflowersellingboy

Selasa, 1 November 2011

Siapa Yang Sebenarnya Menang atau Berjaya

Dari segi statistik memang jelas keputusan perlawanan di antara pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan yang telah berlangsong dua hari yang lepas telah dimenangi oleh Pasukan Negeri Sembilan untuk dinobatkan sebagai Juara Piala Malaysia siri 2010/2011 dengan jaringan gol 2 lawan 1. Tahniah kepada Pasukan Negeri Sembilan dan cuba lagi kepada Pasukan Terengganu.

Persoalannya siapakah yang sebenarnya menang atau berjaya? Satu soalan imiginasi yang tiba-tiba menguasai fikiran saya. 

Saya tidak berada di Stadium Shah Alam menonton  perlawanan itu. Saya berada dirumah menonton siaran secara langsung melalui saluran Astro Arena 801. Saya percaya saya tidak keseorangan dalam hal ini. 



Mengapa saya berbuat begitu? Maksud saya tonton di tv dan bukan berada dalam suatu suasana yang 'real' yang benar-benar memberi 'feeling'. 

Banyak jawapan yang mungkin  anda boleh teka. Antaranya harga tiket yang mahal. Mungkin saya suka melihat yang percuma saja. Mungkin juga saya bukan seorang peminat bola sepak yang tegar. Atau bukan pasukan negeri saya yang terlibat dalam perlawanan itu. Jarak stadium yang jauh dari tempat saya juga boleh jadi alasan. Atau saya takut tercedera jika berlaku pergaduhan antara dua penyokong yang bertentangan. Ya, saya suka tonton secara santai dirumah sambil mengunyah makanan, gamaknya. Apa lagi?

Saya rasa cukup setakat tujuh  tekaan itu saja.  

Tekaan pertama salah sama sekali. Tiket yang dikatakan mahal itu  tidak menjadi masalah kerana Kerajaan baru saja dalam bajet 2012 memberi/mengumumkan berbagai bantuan termasuk kenaikan gaji dan   pencen serta pemberian bonus. Jadi setakat RM50.00 apa ada hal, kacang saja walaupun harga barang telah naik tapi bantuan belum tentu lagi.

Lagi pun kenaikan sesuatu harga misalnya harga barang, perkhidmatan termasuklah harga tiket ini boleh kita gunakan sebagai asas untuk membuat tuntutan kepada Kerajaan untuk meluluskan berbagai bentuk bantuan bagi menampong kenaikan sara hidup. Saya percaya Kerajaan akan melayan tuntutan kita itu. Kalau tidak percaya tanyalah kerajaan Terengganu dan Negeri Sembilan yang telah bersetuju menampung sebahagian harga tiket itu.

Kerajaan Persekutuan takkanlah tidak ada keupayaan untuk berbuat demikian. Saya percaya pihak Kerajaan sentiasa akan mendengar denyut nadi saya dan rakyat yang memohon pertolongan. Pilihanraya pun sedang menghampiri kita semua sudah tentu ada habuan untuk kita.

Maka tekaan pertama salah.

Tekaan mengatakan saya suka tonton perlawanan bola secara percuma, lagi amat salah. Tiap-tiap bulan saya terpaksa membayar Astro sejumlah bayaran yang agak besar juga bagi satu pakej program yang saya tidak ada pilihan. Segala-galanya ditentukan oleh Astro berselindung/bertopeng atas nama pakej. Bukan itu saja caj tambahan boleh dikenakan sesuka hati dan bila-bila yang Astro suka. Maka siaran langsung itu bukanlah percuma. Malah yang buat duit ialah Astro dari berbagai tajaan pengiklanan.

Tekaan-tekaan yang selebihnya semuanya betul. Saya bukan peminat tegar bola sepak. Saya lebih minat tenis terutama kalau Nadal yang bermain. Negeri saya tidak terlibat, jarak dari rumah ke stadium yang jauh dan takut tercedera kalau timbul pergaduhan membuatkan saya lebih suka menonton secara santai di rumah.

Antara tekaan yang betul itu saya paling risau sekali jika berlaku pergaduhan diantara penyokong pasukan yang berlawan itu. Saya dapati para penyokong sama ada pihak yang menang atau yang kalah tidak dapat mengawal emosi. Yang menang selalunya 'mengejek-ngejek' pihak yang kalah dengan kata-kata dan bahasa badan yang boleh menyakitkan hati pihak yang kalah. 

Pihak yang kalah pun sama. Selain tidak boleh menerima kekalahan, emosi mereka tidak langsung boleh dikawal sehingga apabila bertemu saja penyokong lawan atau bas yang dinaikki oleh pihak lawan itu, terus saja diserang. Maka tidak hairanlah peristiwa bakar membakar bas dan serang menyerang serta pergaduhan diantara yang kalah dan yang menang sudah menjadi satu kebiasaan bagi setengah-setengah pasukan. 

Hairan ke akan peristiwa penyokong Terengganu yang mencederakan salah seorang penyokong Negeri Sembilan baru-baru ini? Saya sendiri tidak hairan. Sebab itu saya tonton santai saja dirumah takut tercedera.

Ada pula mereka yang mengatakan bahawa kelakuan seperti ini satu hal yang tidak perlu kita rasa malu sebab di Eropah pun (orang putih) melakukan perkara yang sama. Ehh itu pula alasan yang diberi. Tapi orang itu lupa pula akan 'standard' permainan. Sama ke dengan yang di Eropah tu?    

Dengan demikian saya ingin menjawab soalan imiginasi saya itu iaitu : Siapakah sebenarnya yang menang atau berjaya?


Negeri Sembilan hanya menang dari segi menjaringkan gol melebihi Terengganu. Itu saja. Negeri Sembilan sebenarnya tidak berjaya. Asas saya ialah apabila adanya pergaduhan maka ia melibatkan emosi yang tidak boleh dikawal. Tidak kisah siapa yang memulakan bahang kemarahan itu. Terengganu sudah tentu pasukan yang kalah. Apatah lagi penyokongnya terlibat dalam mencederakan penyokong Negeri Sembilan.


Maknanya dari segi perkembangan dan kemajuan bola sepak Malaysia ianya amat mendukacitakan. Malaysia nampaknya tidak ada tokoh untuk membentuk satu pasukan yang boleh mencapai kemenagan atu kejayaan bersandarkan perlawanan Terengganu dan Negeri Sembilan.


Jadi siapa yang menang atau yang berjaya? Saya rasa yang menang ialah Astro dan FAM diukur dari segi pendapatan yang diraih. Kalau begitu bolehlah kita ramai-ramai mendesak Kerajaan supaya FAM tidak mengenakan harga tiket yang terlalu mahal. Sebab kalau harga tiket mahal kita akan minta pertolongan Kerajaan. Terpaksalah Kerajaan beri subsidi tiket bola sepak.

Kita juga mesti mendesak Kerajaan supaya memaksa Astro tidak dengan sesuka hati menaikkan caj atas pakej program yang ditawarkan. Kalau Astro berdegil juga seperti perangai yang ditunjukkan sekarang, yang tidak ambil 'pot' pun cakap seorang Menteri supaya caj tidak dinaikkan, kita minta Kerajaan berikan subsidi untuk menampung caj Astro yang tinggi itu.


Apa kata awak, Kerajaan? What say you,  government? Ini denyut nadi dan rasa susah hati kami rakyat marhain. 


Ingat, pilihanraya sedang menghampiri waktunya. Takut nanti Kerajaan tak menang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan