"Saya sedar Bang Nasir bahawa kita sudah lebih seabad bersama. Sudah melalui berbagai liku kehidupan.
Ya, ada masanya kita berduka dan kadang-kadang kita ceria gembira.
Cuma entah mengapa saya sentiasa teringat akan kisah duka yang berlaku baru-baru ini yang benih-benihnya telah lama disemai. Sesungguhnya ianya mengusik hati kecil saya, pergeseran dan perselisihan diantara kita, sesama jiran tetangga.
Perkaranya kecil saja hanya sebutir buah durian yang gugur dari sebatang pokok durian yang ditanam oleh arwah bapa abang, bapa mertua saya, didepan rumah kita ditepi pagar yang memisahkan rumah kita dari rumah jiran kita Pak Roy, bapa saya yang juga bapa mertua abang.
Durian itu jatuh memasuki kawasan rumah jiran kita, rumah saya juga, tetapi dik disebabkan pintu pagar rumah saya itu terkunci kerana waktu itu masih diawal pagi, selepas Subuh, maka Bang Nasir telah menggunting pagar yang memisahkan rumah kita semata-mata untuk mengambil buah durian yang Bang Nasir dakwa hak kita.
Ya, saya tidak menafikan buah durian itu hak kita, hak Bang Nasir.
Dalam nafas yang sama saya juga tidak menafikan hak Pak Roy , bapa saya yang marah-marah apabila mengetahui perbuatan Bang Nasir itu.
Yang saya tidak boleh terima mengapa Bang Nasir tidak memohon maaf pada bapa saya malah bertengkar membuatkan orang tua itu hilang kesabaran lalu memukul Bang Nasir, sehingga tercedera jatuh tersungkur. Dan sekarang ini terpaksa berada dan berihat di hospital untuk mendapat rawatan.
Bang Nasir jangan salah faham. Bapa saya marah bukan kerana sebutir buah durian itu. Dia tahu itu adalah hak Bang Nasir, hak kita. Bapa saya marah-marah ialah kerana Bang Nasir telah melanggar tatacara orang berjiran, hormati sesama jiran. Apatah lagi Pak Roy itu bapa mertua Bang Nasir. Itu saja. Ada rasa hormatlah sedikit.
Apa salahnya jika Bang Nasir bersabar sedikit sehingga sang suria mula menunjukkan muka mencerahkan bumi. Bang Nasir,'Takkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah dia'.
Bukankah besar pahala jika buah durian yang jatuh dikawasan rumah Pak Roy itu dihadiahkan saja kepadanya. Dan pahalanya pula Bang Nasir hadiahkan kepada bapa kita. Saya rasa itulah hasrat orang tua kita semasa menanam pokok durian itu dulu. Kita rasa bersama. Berkongsi bersama jiran.
Mungkin juga bapa kita berdua sama-sama yang menanamnya. Apa pun bukankah sejuk kuburnya dik sedekah kita tu. Sejuk juga hati bapa saya, bapa kita.
Sepatutnya Bang Nasir, buah-buah durian yang dahannya merentasi memasuki kawasan jiran kita itu, yang gugur , kita berikan saja kepada jiran kita, bukan kita gunting pagar jiran untuk menceroboh masuk mengutip durian itu. Berdosa Bang Nasir.
Bukankah ada daun-daun durian itu yang gugur dan memasuki kawasan jiran kita itu. Dan kita tidak pernah mengutip daun itu . Pak Roy saja yang terbongkok-bongkok membersihkannya.
Sekarang apa telah terjadi, saya tersepit ditengah-tengah diantara Bang Nasir dan bapa serta keluarga saya. Susah bagi saya hendak bernafas.
Saya tidak tahu apakah kedudukan yang perlu saya ambil. Kalau pergi ke kanan kepangkuan Bang Nasir saya akan meninggalkan kiri keluarga saya. Dan saya tidak sampai hati untuk ke kiri meninggalkan Bang Nasir setelah sekian lama melebihi setengah abad kita bersama. Apakah pilihan yang ada pada saya.
Namun Bang Nasir, dalam kehidupan ini kita tidak boleh lari dari membuat pilihan sama seperti yang saya buat dulu memilih Bang Nasir walaupun ada tentangan hebat dari keluarga saya terutama Pak Roy bapa saya. Inilah yang memeningkan kepala saya waktu akhir-akhir ini. Tapi pilihan tetap kena buat.
Sebelum saya menyatakan pilihan saya, mohon maaf saya pinta terlebih dahulu kerana ianya mungkin tidak pernah terfikir oleh Bang Nasir malah tidak juga oleh diri saya sebelum ini.
Ya, Bang Nasir setelah berfikir panjang saya membuat cara saya. Saya telah menyematkan satu ikrar dihati saya:
Seandainya Kau Masih Begitu Bang Nasir, masih tamak haloba, mengaut semuanya, masih angkuh dan sombong, masih tidak tahu menghormati jiran maka apa boleh buat aku isterimu terpaksa meninggalkan kau Bang Nasir suamiku kerana kau telah menyakitkan hatiku, hati bapaku, hati emakku, hati adik beradikku , hati kawan-kawan dan kenalanku walaupun aku sedar dan tahu keadaan kau yang cedera.
Sekian Bang Nasir dari isterimu anak Pak Roy".
-Dua helai kertas biru bertulisan tangan itu terlepas dari pegangan Bang Nasir, jatuh diatas lantai. Tangan Bang Nasir menjadi lemah dan perlahan-lahan dibawa kedada. Bang Nasir telah tiada lagi. "Innalililah.... " suara jururawat terdengar membisik sambil menutupi muka Bang Nasir dengan kain putih-.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan