Theflowersellingboy

Khamis, 14 Julai 2011

Sokonglah Pasukan Malysia, Tolong,Please

Ketika ini negara kita Malaysia sedang menerima tetamu bolasepak dari kelab bola sepak premier Inggeris untuk mengadakan perlawanan persahabatan .

Malam tadi Malaysia telah bertemu dengan kelab dari Bandaraya London Arsenal yang berkeputusan 4 Arsenal dan 0 Malaysia.

Saya tidak berkesempatan melihat perlawanan itu sama ada di stadium atau melalui media siber. Cuma dapat melihat dalam berita tv . 

Apa yang menarik perhatian ialah tentang penyokong. Nampaknya Arsenal tidak perlu membawa bersama penyokong mereka dari London sebab  penyokong mereka telah sedia ada di Malaysia. Sedia ada dengan jumlah yang begitu banyak melebihi penyokong pasukan negara. 

Mereka terlalu teruja nampak gayanya, semua sekali baik yang tua, muda, lelaki, perempuan , teruna dan anak dara. Memakai apa saja tanda yang boleh mewakili pasukan itu termasuk menampal sesuatu dimuka atau mengecat muka dengan lambang pasukan kesayangan mereka itu.

Maka bersorak dan melompat keriuhan apabila Arsenal berjaya membolosi pintu gol Malaysia. Seronok sungguh tanpa sedikit rasa malu dan sedih serta bersimpati keatas pasukan negara yang menjadi belasahan Arsenal. Kesian sungguh Malaysia.

Ini bukan perkara yang baru kerana setiap kali perlawanan seperti ini diadakan inilah benda yang kita pasti dapat saksikan: Malaysia kena belasah dan rakyat Malaysia ramai ramai yang terkinja-kinja menyokong pasukan lawan khususnya dari kelab Inggeris.

Mengapa jadi begini? 

Mungkin jawapan yang dapat kita cuba teka ialah bahawa memang telah sedia ada peminat dan penyokong Arsenal dan kelab Inggeris yang lain seperti Chelsea, Manchester Unuted dan  Liverpool di Malaysia kerana rakyat kita sememangnya meminati permainan kelab-kelab tersebut. Apa tah lagi pada musim perlawanan liga Inggeris , kita sentiasa didedahkan dengan permainan kelab-kelab tersebut.

Seterusnya telah tertanam dalam pemikiran penyokong di Malaysia bahawa pasukan negara kita tidak mampu untuk menandingi pasukan kelab Inggeris itu. Walaupun disokong tetap kalah, 100% akan kalah. Jadi buat apa sokong pasukan yang tidak boleh menang.

Sepatutnya kita sokong pasukan yang lemah terutama ianya pasukan negara bagi memberi semangat para pemain berjuang bukan menghenyak mereka sambil ketawa riang.

Apa sudah jadi orang Malaysia ini. Patutlah kita selalu bergaduh sebab tidak bersatu. Ini maruah negara. Kita memang tahu pasukan kita memang tidak setanding dengan Arsenal, tapi bila menyokong , sokonglah Malaysia.  Kitakan warganegara Malaysia yang dicintai. 

Cuba-cuba tengok pasukan negara Korea dan Cina bagaimana kentalnya semangat rakyat mereka. Sebab itu mereka sentiasa berjaya. 

Jadi kalau pasukan kita sentiasa kalah teruk janganlah  kita jadikan alasan untuk tidak menyokong mereka. Kita perlu terus menyokong. Pemain sebenarnya ada maruah dan terlalu sangat mengidam untuk menang.  Tapi apa yang diidamkan itu tidak mendapat sokongan padu penuntun Malaysia sendiri. Sudah tentu kita tidak membantu perjuangan mereka. Tolonglah, please. 

Dalam beberapa hari lagi Malaysia akan bertemu dengan Liverpool. Saya dapat mengagak keadaan yang sama akan berulang lagi. Harap-harap apa yang saya sangka itu meleset.


Sokonglah pasukan kita sebab pasukan kita akan dibelasah oleh Liverpool. Takkan kita bergembira terlompat-lompat apabila kita kena belasah. Ada jati dirilah  , kalau tak banyak sekelumit pun tak apa asalkan semua kita sokong Malaysia. 

Tidak bermakna kita tidak boleh meraikan permainan pasukan Inggeris yang bermutu itu. Kita boleh tepuk tangan dan bersorak memuji permainan cantik mereka. Cuma jangan lupa pasukan kita . Mereka perlu sangat sokongan.


Sokonglah pasukan Malaysia.  Tolong sokong, please!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan