Pertama sekali saya mohon maaf kerana masih terlalu awal saya mahu membicara tajuk :Bersedia Menyambut Hari Raya, sedangkan berpuasapun kita belum tempuh. Nampak sangat saya ini terlalu ghairah tentang perkara-perkara yang menyeronokkan atau yang menggembirakan hati.
Sepatutnya perkara utama yang perlu diberi tumpuan untuk dibicarakan ialah mengenai bagaimana cara yang terbaik kita menyediakan diri untuk berhadapan dengan bulan Ramadhan al-Mubarak yang tidak beberapa hari lagi akan menjelang.
Kalau ada yang tidak bersetuju dan berasa tidak senang, kemaafan telah saya pohon.
Hari Raya memberikan makna yang berbeza diantara kita. Dengan sebab itu cara mendekatinya dan cara menghadapinya juga berbeza.
Dalam ertikata lain, lain orang lain caranya mereka menyambut hari raya, dan sudah tentu berbeza dari segi persediaan menyambut hari kebesaran itu.
Secara amnya persediaan kita untuk menyambut hari raya ialah dengan menampilkan sesuatu yang baru, cantik, indah dan bersih; dan menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu.
Sebahagian besar dari kita, itulah caranya kita menyambut hari raya. Besar belanja.
Misalnya pakaian anak-anak termasuk juga pakaian kita akan berbeza dari pakaian pada hari-hari biasa. Ianya cantik dan sedap dipandang mata. Ada pula yang memakai sedondon suami isteri apabila menyambut dan menerima tetamu serta semasa menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga. Pakaian serba indah dan baru.
Dari segi juadahpun memang menjadi harsat dihati untuk menjamu tetamu dan kita merasa seronok jika juadah kita yang berbagai nika sudi dijamah. Malah kalau ada yang tidak sudi, hati kita akan berkata-kata 'mengapa agaknya mereka tak sudi rasa'.
Dan cara sambutan yang kita lakukan itu sungguh menyeronokkan. Gembira sekali terutama kepada anak-anak yang memang mengharapkan sesuatu, dalam envelope kecil berbagai warna. Satu lagi belanja yang perlu kita sedia.
Tetapi tidak semua orang boleh buat begitu.
Orang yang tidak berdaya ini kadang-kadang menyambut hari raya secara persengketaan/pergaduhan antara suami isteri tambah-tambah lagi sekiranya mempunyai anak-anak, ramai pula. Jika ada tanggongan yang lain seperti kedua ibubapa, lagi parah dibuatnya.
Orang-orang ini ialah orang-orang yang berpendapatan kecil. Tambah-tambah lagi duduk dibandar dan tempat-tempat dimana kos hidup terlalu tinggi.
Sebab mereka juga mahu yang baru, yang sedap mata memandang dan yang bersih. Pakaian baru dan cantik untuk disarung dibadan anak-anak juga menjadi idaman mereka. Mereka juga ada hati untuk menjamu anak-anak, saudara mara dan jiran tetangga dengan juadah yang sedap-sedap. Ada juga selera untuk mengunjungi jiran tetangga menjamah sekeping dua juadah yang disedia.
Tetapi apakan daya pendapatan suami terlalu kecil. Isteri pula tidak bekerja.
Apabila isteri menyatakan kepada suami akan hasrat untuk menyambut hari raya seperti orang lain sambut apakah reaksi suami? Sudah tentu rasa tertekan kerana dia juga mahu isteri dan anak-anak kelihatan cantik dan sedap mata memandang. Dia juga ada perasaan bangga jika dapat menghidang juadah untuk tetamu dihari raya.
Apabila perasaan menjadi tertekan maka hasrat isteri yang ikhlas itu akan menjadi satu penghinaan kepada sisuami kerana telah gagal menyediakan yang sepatutnya. Maka bergaduhlah mereka.
Jika keadaan ekonomi mereka sama saja atau semakin teruk, setiap tahun itulah bentuk persediaan mereka menyambut hari raya. Bersedia bermasam muka, bergaduh dihari raya yang sepatutnya mereka bergembira seperti kita.
Golongan seperti ini memang ada dalam masyarakat kita. Mereka menyambut hari raya dengan penuh duka. Memang jauh beza dari kita . Malah kita terlalu sangat bermewah dan kadang-kadang membazir. Kita membelikan mercun dan bunga api untuk anak kita bermain bersuka ria. Kita seronok membakar wang.
Cuba kita lihat pakaian kita, pakaian isteri dan pakaian anak-anak. Memang cantik dan indah dipandang. Satu saja atau lebih dari satu? Sudah tentu kita selalu bertukar pakaian pada majlis dan hari yang berlainan. Sebahagian besar kita ada kereta, paling teruk ada sebuah motorsikal.
Cuba kita renungkan lagi , selama kita menyambut hari raya pernahkah kita teringat akan mereka itu, mereka yang sentiasa bermasam muka suami isteri malah bergaduh setiap tahun apabila menyambut hari raya. Jika kita tidak sudi membantu atau tidak terdaya untuk membantu apakah salahnya jika kita tidak menunjukkan sikap mewah dan membazir. Kerana mereka ada mata, ada telinga, ada hidung dan ada rasa dan selera.
Dengan demikian untuk kali ini dan mungkin pada masa akan datang kita wajar bersedia untuk tidak membazir wang belanja kerana ada diantara kita yang masih berduka. Itulah persediaan terbaik untuk menyambut hari raya tahun ini. Lagipun bukankah harga barang-barang semakin mahal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan