Mereka yang telah berumahtangga, maksud saya orang Islam khususnya yang lelaki, tentu tidak akan boleh lupa pengalaman dihari beliau diakadnikahkan oleh jurunikah sama ada oleh wali sendiri atau berwali hakim.
Ada setengahnya menggeletar anggota badan dan tidak kurang juga yang merecek peluh didahi apabila lafaz terima nikah tidak diakui sah oleh saksi-saksi atau/dan apabila tidak dapat menjawab soalan yang ditanya oleh jurunikah. Tapi ada juga yang releks selamba sahaja seperti sesuatu yang biasa, lancar mengeluarkan lafaz terima nikah dan menjawab soalan dari juru nikah.
Dikampong-kampong yang masih tebal dengan tradisi lama yang masih percaya dengan tangkal menangkal atau jampi menjampi, seseorang yang hendak menikah itu akan diberi makan sirih jampi/penawar untuk mengelakkan dari rasa mengelabah semasa mengucapkan lafaz terima nikah atau semasa menjawab soalan dari jurunikah.
Sirih jampi ini terlalu amat penting jika lelaki itu mengahwini perempuan bukan sekampong apatah lagi dari negeri lain kerana dipercayai pihak sebelah perempuan mahu menguji ilmu lelaki yang mahu bernikah itu. Ilmu ini tidak terhad kepada ilmu agama saja bahkan ilmu yang dikatakan boleh menjadi pendinding (ilmu batin) kepada lelaki itu.
Ada juga yang memberitahu bahawa jika pengantin lelaki itu tidak dapat melafazkan nikah yang boleh disahkan oleh saksi, pengantin itu telah 'dinakalkan' oleh seseorang dengan mengurung seekor katak dalam seseuatu bekas atau tempurung. Selagi katak itu tidak dilepaskan, pengantin lelaki itu tidak akan dapat melafazkan terima nikah dengan betul. Wallahualam, Allah saja yang tahu.
Keadaan yang digambarkan diatas jarang berlaku ketika ini kerana pendekatan sekarang lebih kepada untuk memudahkan urusan, lebih kepada mengajar dan menasihati dari 'mendera' dan 'menguji'. Tidak perlu berbuat demikian kerana itu bukan matlamatnya. Lagipun bakal pengantin pada masa ini telah diwajibkan untuk menghadiri kursus pra perkahwinan.
Saksi dan penyaksian dalam urusan nikah tadi amat penting sekali. Sebab itulah sebaik saya pengantin lelaki menghabiskan ucapan/lafaz terima nikahnya, jurunikah akan bertanya kepada saksi-saksi sama ada boleh diterima atau sebaliknya. Kalau jawapannya tidak boleh diterima maka diulang sekali lagi dan seterusnya sehingga saksi-saksi mengatakan sah boleh diterima.
Maka amatlah mendukacitakan sekali jika ada mana-mana individu yang cuba mengelak untuk menjadi saksi dalam sesuatu perbicaraan mahkamah. Jika sebenarnya itu akan berlaku maka kedua-dua belah pihak sama ada orang yang menjadi mangsa mahu pun yang dituduh akan tidak dapat peluang yang terbaik untuk diadili.
Namun kita percaya sebagai insan yang bertanggongjawab , yang mahu menegakkan keadilan dan kebenaran hal ini tidak akan berlaku. Ertinya sesiapa saja yang diminta jadi saksi akan dengan rela hati akan ke hadapan menjadi saksi. Sudah tentu mereka akan memberikan penyaksian yang sebenarnya.
Penyaksian yang sebenarnya akan memudahkan pihak mahkamah membuat keputusan yang terbaik. Seperti dalam kes saksi dan penyaksian dalam urusan pernikahan, kenyataan saksi dalam perbicaraan mahkamah juga akan digunakan sebagai asas keputusan.
Cuma dalam hal pernikahan pada masa dulu-dulu pernah diberitakan yang saksi-saksi sengaja tidak mahu mengesahkan lafaz nikah pengantin lelaki semata-mata untuk mendera pengantin tersebut. Tetapi perbicaraan mahkamah tidaklah begitu kerana saksi-saksi akan berikrar untuk menyatakan 'semuanya benar belaka'.
Semoga semua pihak yang dikehendaki untuk menjadi saksi akan rela kehadapan kerana saksi-saksi adalah terlalu penting dalam mana-mana perbicaraan. Tegakkanlah keadilan dan kebenaran. InshaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan