Selepas berhimpun, dua belah pihak yang bertentangan masing-masing mengeluarkan statistik bilangan mereka yang turut serta, sudah tentu statistiknya tidak sama.
Mereka ini, yang memandang menggunakan mata ( ada juga yang memakai cermin mata untuk memberi penglihatan yang lebih jelas, kecuali orang yang cacat penglihatan) dan mendengar dengan telinga malah yang memang pandai mengira telah memberi jawapan yang berbeza bagi soalan yang sama.
Anggaran mereka terlalu jauh bezanya, Kerajaan kata 6,000 tapi Bersih kata 50,000 malah lebih dari itu. Yang mana satu yang kita boleh percaya. Dan yang paling penting ialah anggaran yang kita boleh terima kerana kalau percaya saja tanpa sanggup menerima tidak akan ada gunanya.
Biasanya dalam membuat sesuatu anggaran telah diperuntukkan satu ruang untuk membenarkan kita membuat kesilapan. Maklum sajalah anggaran. Tambah-tambah lagi perhimpunan seperti ini yang telah diberi status 'haram'. Mana kan sempat hendak dikira para peserta yang dihambat oleh pihak berkuasa, lari bertempiaran takut kena tangkap.
Kesilapan yang dibenarkan dalam hal perhimpunan seperti ini ,yang mesti bergelut, dan kelam kabut ini wajar diberikan sebanyak 10%.
Lebih satu ribu peserta telah ditangkap, dan ada yang cedera juga. Kasihan ada seorang yang meninggal dunia, tidak tahulah mengapa kerana kedua-dua pihak memberi tahu cerita yang berbeza. Lihat, hal kematianpun mereka terus berbeza.
Yang kena tangkap 1 ribu lebih. Bermakna 5 ribu atau kurang sedikit 5 ribu telah terlepas dari tangkapan. Ini juga bermakna terlalu amat mudah bagi pihak berkuasa untuk 'mengurus' para peserta yang tinggal tidak melebihi 5 ribu itu kerana dari segi personnel terlalu mencukupi dan siap sedia. Peralatan bantuan? Lebih dari mencukupi kalau itulah angkanya. Macam kacang goring yang mudah dikunyah-kunyah. Tidak ada masalah-problem.
Ada juga setengah pihak mengatakan bahawa kita tidak boleh ketepikan angka dari pihak yang berkuasa begitu saja kerana mereka yang mengawal sudah tentu lebih arif dan mempunyai peluang untuk mengira. Lagipun, tambahnya, ini bukan kali pertama mereka berhadapan dengan perhimpunan 'haram' seperti ini. Mereka telah biasa termasuklah mengeluarkan statistik para peserta yang mereka 'urus'.
Dengan demikian angka dari Kerajaanlah yang kita boleh percaya dan boleh terima.
'Tidak secepat itu kita boleh percaya dan boleh terima angka Kerajaan itu' , kata mereka dipihak sana, yang lagi satu- Bersih.
Hujah mereka mudah saja dengan melaporkan perkara-perkara berikut. Itupun katanya banyak lagi yang tidak sempat dilaporkan kerana lari daripada kena penerajang dan gas pemedih mata. Begini bunyi laporannya:
i) Kerajaan telah memberi status haram keatas perhimpunan ini
ii) Sebelum tiba hari perhimpunan kerajaan telah menangkap mereka yang disyakki bersama dengan Bersih, misalnya memakai baju berwarna kuning bertulis Bersih.
iii) Sekatan jalanraya juga telah diadakan sebelum hari perhimpunan.
iv) Bandaraya Kuala Lumpur telah juga diistiharkan tidak boleh dimasuki oleh nama-nama tertentu yang telah disenaraikan
v) Pada hari perhimpunan telah diperhebatkan sekatan dari memasuki Kuala Lumpur untuk menuju ke Stadium Merdeka.
v) Telah berlaku pergelutan dan tembakan gas pemedih mata. Ada yang cedera.
vi) Lebih 1 ribu orang telah ditangkap.
vii)Sedih juga seorang peserta perhimpunan meninggal dunia.
viii) Banyak lagi, tak sempat nak catat. Terpaksa lari lintang pukang. Pedihnya mata, badan rasa gatal-gatal.
Kemudian pelapor ini minta kita 'extrapolate' maklumat itu untuk mendapat satu anggaran yang katanya tidak akan jauh dari 50,000 peserta.
Sesiapa yang pandai cara yang dicadangkan bolehlah berbuat demikian. Ingat , kesilapan yang dibenarkan ialah 10% saja.
Jadi yang mana satu betul?
Tapi ada yang kata angka tidak penting. Yang penting peristiwa itu telah berlaku walaupun dalam keadan 'haram'. Sebab katanya peristiwa yang telah jadi 'haram' itu sepatutnya tidak berlaku. Berlaku juga. Apa maknanya?
Kita bincang pasal perbezaan angka, orang ini pula cakap pasal peristiwa. Pening kepala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan