Salam Jumaat untuk anda sekalian yang dirahmati Allah SWT. Semoga sihat-sihat sentiasa.
Beberapa hari yang lepas kita telah melalui peristiwa yang amat penting juga dalam perjalanan sistem demokrasi di negara kita iaitu satu perhimpunan yang diberi nama Bersih 2.0 bagi menuntut satu sistem dan pengurusan pilihanraya yang bersih dan adil.
Sehubungan dengan itu kita terpanggil untuk memperkatakan tentang bagaimana pihak berkuasa mengurus mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu dan kesan kepada kedua-kedua belah pihak khususnya Polis dan para peserta perhimpunan.
Pihak Polis atas arahan dari orang politik yang telah diamanahkan kuasa telah melakukan tanggongjawab mereka dalam menguruskan para peserta perhimpunan itu. Kita percaya dan yakin mereka iaitu anggota-anggota Polis disemua peringkat itu menjalankan tanggongjawab mereka dengan sebaik mungkin yang termampu dan tidak ada niat dihati mereka untuk mencederakan sesiapa.
Ya, ada kemungkinan sebahagian kecil anggota Polis itu telah bertindak yang sangat melampau sehingga telah mencederakan para peserta. Namun kita juga wajar memahami akan tindakan mereka itu yang kita percaya disebabkan berbagai tekanan sama ada dari segi fizikal mahu pun mental.
Terlalu penat keletihan tanpa mendapat rehat sewajarnya ditambah dengan arahan dari pihak atasan yang perlu dipatuhi , dan terpaksa pula menghadapi para peserta yang ada diantaranya yang 'degil', menyebabkan kesabaran mereka menjadi menipis dan akhirnya diganti dengan kemarahan yang kadang-kadang tidak dapat mengawal perbuatan mereka.
Maka mereka bertindak dan membuatkan ada para peserta yang berhimpun secara aman itu tercedera.
Para peserta juga ada hujah mereka. Bahawa mereka berjalan dan berhimpun secara aman mengapa pula mereka perlu dibuat sedemikian rupa. Mereka bukan penjenayah dan bukan berhimpun untuk berlawan atau berperang dengan pihak Polis. Mereka tidak pula membawa senjata.
Nampaknya kedua-dua pihak Polis dan para penyokong Bersih masing-masing mempunyai alasan yang kukuh bagi mempertahankan tindakan masing-masing.
Jadi apakah bentuk dan sifat tindakan yang sepatutnya perlu diambil dalam menguruskan perhimpunan Bersih pada 9 Julai yang lepas supaya tidak menimbulkan kesan yang tidak sihat dari segi hubungan orang ramai dan pihak Polis? Supaya tidak ada yang cedera.
Walaupun perkara yang akan kita perkatakan telah pun diperkatakan oleh banyak pihak namun kita mahu menyebutkannya juga dalam ruangan Salam Jumaat ini.
Kita berpendapat punca kecelaruan tindakan yang menyebabkan kecederaan ialah orang politik yang telah diberi kuasa yang terlalu sangat sayang akan kuasa yang takut kehilangan kuasa. Biasanya kalau hilang kuasa bagi yang berkuasa atau terlalu berkuasa akan dirasakan sebagai hilang segala-galanya, hilang peluang untuk cepat jadi kaya dan berharta , tidak akan disanjung dan dirai dimana saja, dan arah perintah tidak boleh sewenang-wenangnya dihempokkan kepada siapa yang dia suka.
Sebab itu kita sedia maklum akan pendekatan mereka.
Maka pendekatan yang diambil lebih bersifat perseteruan dengan berlindung disebalik keperluan mengekalkan keamanan dan keselamatan awam sedangkan perkara yang berbangkit ialah 8 tuntutan mengenai sistem dan pengurusan pilihanraya. Bukan menghadapi penjenayah atau musuh untuk berperang.
Pihak yang bekerja untuk menentukan keamanan dan keselamatan awam akan sentiasa kekal dan terkawal ialah Polis. Maka apa pilihan yang mereka ada selain dari menentukan supaya perhimpunan haram itu diuruskan sesuai dengan status yang telah dijatuhkan keatasnya.
Kalau kita dalam kedudukan seperti mereka kita hanya berdaya untuk berkata-kata: Apakan daya mereka yang berkuasa, kita turutlah perintah mereka.
Mungkin ada setengah pihak dengan mudah mengatakan mereka ini hendak menjaga periuk nasi, nak hidup , nak cari makan dan dengan itu mengikut arahan membabi buta. Jangan berkata sedemikian tuan kerana tuan tidak berada dalam kedudukan mereka. Sepatutnya tuan perlu memahami dan simpati dengan tugas mereka.
Sekiranya perhimpunan itu tidak diharamkan kita percaya pihak Polis dengan senang hati akan membantu menguruskan mereka untuk berjalan dan berhimpun . Kita tidak percaya mereka, Polis suka bertindak sehingga membuatkan orang marah dan benci kepada mereka.
Kalau mereka diberi pilihan oleh orang politik yang berkuasa itu, kita percaya mereka memilih untuk tidak berkonfrantasi dengan para peserta perhimpunan. Mengapa pula mereka mahu memilih pendekatan bermusuhan yang tidak berfaedah itu. Mereka orang yang rasional sama macam kita.
Kepada yang tercedera sekali lagi kita berkata: Apakan daya mereka yang berkuasa. Kita hanya turut perintah mereka saja. Fahamilah tindakan Polis itu.
Jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan