Seronok sungguh apabila melihat keletah laku anak-anak kecil bersuka dan bergurauan sesama mereka di food court disebuah pasar raya membeli belah.
Di sebuah meja makan untuk 4 orang , 3 orang anak , mungkin adik beradik, lelaki kesemuanya, sedang bermain sesuatu dengan begitu riang. Mereka lebih banyak ketawa sambil menunggu ibunya yang pergi memesan makanan. Umur mereka adalah dalam anggaran diantara 10, 8 dan 6 tahun. Yang terkecil diantara mereka bangun dari kerusi menuju ketempat simpan sudu dan garpu untuk digunakan semasa makan nanti dengan berlari-lari begitu ceria sekali.
Apabila ibu datang dengan menatang 3 hidangan makanan dalam sebuah dulang mereka nampaknya bukan main seronok lagi. Dengan segera masing-masing mengambil makanan. Dari pandangan jarak dua meja makanan itu ialah 'chicken chop' bersama dengan kentang goring. Sungguh menyelerakan nampak gaya mereka menyuapkan makanan kedalam mulut menggunakan sudu dan garpu.
Ibunya masih lagi tiada bersama kerana mengambil makanannya pula. Yang penting anak-anaknya makan dulu. Ibu kemudian tidak mengapa. Begitulah rasa kasih sayang seorang ibu, mendahului anaknya. Tidak pula kelihatan ayah anak-anak itu. Mungkin ada urusan lain agaknya. Sesungguhnya, saya amat senang sekali melihat keletah anak-anak ini.
Terdengar pengumuman dari Pusat Informasi Pasar raya akan kehilangan seorang anak kecil, katanya berbangsa Melayu , seorang perempuan berumur lebih kurang 3 tahun. 'Sesiapa yang kehilangan anak sila datang ke Pusat Informasi.
Otak saya secara spontan mula teransang mengeluarkan beberapa soalan: i) mengapa tidak dipegang tangan anak itu seerat mungkin supaya tidak tercicir atau hilang, ii) mengapa khusyuk sangat 'bershopping' sehingga anak yang dibawa bersama tidak lagi jadi tumpuan utama. iii) bagaimana petugas di Pusat Informasi itu dapat mengatakan anak itu sebagai berbangsa Melayu kerana pada masa ini amat susah untuk membezakan bangsa berdasarkan warna kulit atau rupa/wajah.
Kalau cucu saya, sudah tentu Pusat Informasi itu mengumumkan sebagai anak Cina atau anak Korea. Pada hal emak dan bapanya Melayu.
Bagi soalan pertama dan kedua, reaksi spontan saya ialah sesungguhnya saya amat marah sekali dengan kejadian seperti ini. Namun rasa marah ini bertukar menjadi rasa amat malu dan insaf serta bersimpati dengan ibubapa yang kehilangan anak itu.
Saya tergingat akan satu peristiwa tentang kehilangan anak semasa 'bershopping' di sebuah pasaraya di bandara raya Birmingham, England.
Sebelum itu kami berdua membuat komen mempersoalkan orang-orang putih membawa anak-anak kecil mereka dengan mengikat tali dipergelangan tangan anak itu bersambung dengan pergelangan ibunya dan menarik anak itu seperti seekor anak anjing. Kami mengatakan 'sungguh tidak berperikemanusiaan orang putih ini, dibuat anaknya seperti binatang,anjing' , kerana kami melihat perkara itu sebagai luar biasa dan tidak wajar dilakukan kepada anak-anak. Bukankah lebih baik dipimpin tangannya saja
Tiba-tiba kami terdengar satu pengumuman meminta sesiapa yang kehilangan anak dipersilakan datang ke Pusat Informasi. Isteri saya dan saya pucat lesi apabila menyedarai anak perempuan kami yang berumur 3 tahun telah tiada bersama lalu kami dengan segera pergi ke Pusat Informasi dan sah anak yang berada di situ ialah anak perempuan kami. Yang menghairankan dia langsung tidak menangis, seronok bermain dengan petugas Pusat Informasi.
Saya terus memeluk dan mendukung anak saya itu. Kemudian ternampak seorang orang putih menarik anak dengan cara yang kami anggap sebagai tidak berperikemanusian itu lalu dihadapan kami. Saya mula sedar bahawa orang putih ini amat mementingkan keselamatan anak-anak. Mereka tidak emosional tetapi lebih praktikal dan rasional. Maka termalu-malu kucinglah kami kerana membuat komen tanpa mengetahui asas dan sebab mengapa mereka berbuat begitu.
Jadi kepada ibubapa yang membawa anak-anak kecil bershopping cuba-cubalah amalkan cara mat salleh itu. Anak kita dijamin tidak tercicir dan hilang semasa kita syok bershopping. Cuma mungkin banyak mata akan memberi tumpuan kepada kita sambil hati mereka mungkin berkata: Teruknya orang itu. Anak diikat dibuat macam anak anjing'. Tidak mengapa saudara kerana apabila anak mereka hilang seperti yang saya alami barulah mereka tahu cara saudara itu adalah yang terbaik demi keselamatan anak kita.
Selepas seronok memerhati tiga beradik yang riang menjamu selera itu kami pun meninggalkan food court. Sambil berjalan saya teringat akan anak bongsu saya semasa seusia dengan anak-anak tadi yang sentiasa pergi ke tempat mainan kanak-kanak seperti buaian apabila kami keluar berjalan-jalan ditaman. Sekarang umurnya sudah 21 tahun. Saya tersenyum kerana memang seronok mempunyai anak-anak kecil.
Tapi mengapakah ada orang sanggup membunuh atau membuang anak. Sesungguhnya perbuatan ini amat zalim sekali. Orang seperti ini telah mempersia-siakan peluang yang diberi oleh Allah untuk mendapat suatu suasana yang amat seronok dan menghiburkan.
SAYANGILAH ANAK ANDA!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan