Theflowersellingboy

Rabu, 27 Julai 2011

Hati Seorang Seteru

Apakah hati seorang seteru, musuh kita penuh diselaputi dengan rasa dendam dan benci yang berkekalan terhadap kita? Atau ditinjau dari pihak seteru kita, adakah hati kita penuh dengan dendam dan benci terhadap dia berterusan? Atau adakah kita berdendam dan membenci seteru kita berpanjangan?


Soalan pertama dan kedua nampaknya sama saja cuma berbeza dari segi pihak yang cuba mendapat jawapan iaitu kita dan seteru kita. Soalan yang ketiga pula adalah juga bertanyakan perkara yang sama iaitu dendam dan benci yang perlu dijawab oleh kita sendiri, orang yang bertanya, orang yang punya hati.

Jawapan bagi soalan pertama dan kedua lebih bersifat prasangka atau buruk sangka, tanggapan yang dipengaruhi oleh emosi kita, emosi dia musuh kita, atas kepercayaan bahawa musuh atau seteru itu tidak akan mempunyai perasaan yang baik diantara mereka. Sebab itu kita panggil dia musuh, dan kita pula  seteru dia. Sama saja.

Seteru atau musuh tidak mungkin menyebelahi kita, atau kita menyebelahi dia, tidak ada simpati apatah lagi sekelumit kasih sayang terhadap kita musuhnya dan kita terhadapnya. Malah jika ada kesempatan dan ruang dari segi masa dan tempat, jika kita leka dan dia dalam keadaan yang sama, akan digunakan untuk merosakkan dengan apa cara sekalipun, kalau tidak mencederakan, dan kalau mati lebih baik, menjatuhkan imej dan maruah, paling kurang merasa gembira dan puas hati kerana usaha telah dilakukan untuk mengganggu kita atau dia.


Apakah ini bermakna kita dan musuh kita itu tidak nampak sedikitpun yang baik atau positif yang ada dalam tindakan, perbuatan, dan kata-kata diantara kita. Apakah dendam dan benci akan berkekalan? 

Sebagai insan yang secara fitrahnya punya rasa kasih sayang perkara ini tidak mungkin berlaku. Ada ketikanya nanti kita akan merasa simpati apabila musuh kita itu dirundung malang walaupun kita tidak menzahirkannya. Dendam dan benci tidak akan berkekalan.


Sekiranya itulah hati kita, hati musuh kita peluang untuk berbaik untuk menjadi  kawan akan sentiasa terbuka. Harap-harap begitulah hendaknya.


Kita perlukan lebih banyak kawan dari musuh. 

Tapi ini tidak bermakna kita perlukan pendekatan secara politik yang berpegang kepada kepercayaan bahawa bermusuh dan berkawan sentiasa boleh berubah ganti. Pendekatan politik itu sebenarnya satu pendekatan yang mengesahkan bahawa dendam dan benci itu sentiasa ada pada kita walaupun musuh itu telah menjadi kawan kerana kita percaya bahawa pada bila-bila masa saja kawan sama ada sejak semulanya sebagai kawan atau yang asalnya musuh  akan boleh menjadi musuh.

Inilah yang dikatakan dendam kesumat dan kebencian yang berkekalan, sentiasa tersimpan walaupun kepada kawan atau musuh yang telah jadi kawan.

Bagi jawapan kepada soalan ketiga ianya amat mudah sekali kerana kita yang bertanya sudah tentu kita tahu jawapan yang ada dalam hati kita. Harap-harap jawapannya ialah dendam dan benci itu akan hilang dan diganti dengan salam persahabatan walau pun menghilang secara perlahan asalkan ianya tidak berkekalan sebelum kita menghadapi hari pengadilan nanti. 

Lebih cepat hilang lebih baik kerana kita tidak tahu bila masanya kita akan meninggalkan dunia ini. Hati kita jangan lama berseteru.
 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan