Theflowersellingboy

Selasa, 19 Julai 2011

Pantang Larang Orang Dahulu Kala (ODUK) Kalau DiLanggar Tidak Masuk Penjara.

Masyarakat Melayu di zaman dulu-dulu, masyarakat yang simple yang belum banyak menerima pengaruh luar, yang tidak moden, yang hubungan diantara mereka sungguh rapat dan akrab, yang sebahagian besar masih mementingkan permuafakatan keluarga, mempunyai struktur keluarga besar (extended family)   yang saya golongkan sebagai 'Orang Dulu Kala' (Oduk) mempunyai banyak pantang larang yang mempengaruhi cara mereka berfikir dan bertindak apabila berhadapan dengan sesuatu finomina , keadaan atau gejala.  Begitulah satu dari caranya bagaimana kehidupan harian mereka diatur. Dan mereka patuh dan taat dengan pantang larang itu tanpa banyak soal.

Dalam kebanyakan hal pantang larang itu tidak sesuai dan tidak rasional serta tidak logik dari segi sudut pandang dan nilai 'Generasi Baru'  (Genba).

Namun begitu  ada lagi  kelompok kecil Genba yang masih lagi percaya dan mengamalkan pantang larang tersebut walaupun tidak setaat Oduk. 

Logik dan rasional bukanlah asas yang membentuk sesuatu pantang larang Oduk. Lagipun logik dan rasional adalah satu pemikiran yang bersandarkan akal, yang boleh nampak, yang boleh bau dan yang boleh rasa.  Pantang larang melampaui batas-batas logik dan rasional. Ia lebih kepada kepatuhan dan ketaatan atas satu kepercayaan yang diperturunkan tanpa mempersoalkan kewujudan dan hakikat/kebenarannya. 

Dari segi logik misalnya kalau lapar kita makan maka hilanglah lapar. Kalau dahaga kita minum untuk menghilangkan kehausan. 

Tetapi bagi Oduk, lapar bukan boleh dikenyangkan dengan sebarang makanan saja. Dan makanan yang hendak dimakanpun mesti ada kedudukan atau tahap atau usia tertentu untuk memakannya. 

Sebagai contoh ialah kerak nasi. Anak-anak kecil yang masih bersekolah, yang masih mengaji disurau selalu diingatkan oleh orang tua atau ibubapa supaya jangan sekali-kali makan kerak nasi kalau mahu jadi orang yang pandai atau tidak benak ( mudah menerima apa yang diajar) dalam pelajaran/pengajian.  

Apakah ada logik dan rasionalnya makan kerak nasi dengan pertumbuhan otak anak-anak itu dari terhalang menjadi pintar atau pandai. Memang tidak masuk akal dan tidak rasional.

Namun Oduk begitu taat dan percaya menerima apa saja yang datangnya dari orang tua. Kalau kita cuba bertanya mengapa , kedua ibubapa atau Oduk tidak ada jawapan. Kalau masih lagi bertanya berulang kali maka jawapan yang akan diterima ialah 'dengarlah cakap orang tua-tua, jangan banyak tanya'. Begitulah yang telah diaturkan tata cara kehidupan yang diwarisi turun temurun.

Saya tidak pasti apakah moral cerita disebalik larangan itu. 

Ada orang memberi pandangan bahawa kerak nasi itu keras dan dengan demikian tidak sesuai untuk diratah oleh gigi anak-anak yang masih kecil. Tetapi rasanya gigi anak-anak itu lebih kuat berbanding gigi ibubapa atau orang tua-tua. 

Apakah kerak nasi yang keras itu akan membentuk otak yang keras yang tidak mudah menerima apa yang diajar atau otak menjadi majal? Setengah yang lain bertanya untuk cuba mencari jawapan akan larangan itu.  

Satu lagi pendapat pula mengatakan bahawa kerak nasi itu adalah enak/sedap sekali dimakan apabila digaulkan dengan kuah yang banyak untuk melembutkannya sebelum dimakan. Ertinya orang tua-tua cuba menipu anak-anak untuk memuaskan selera mereka. 

Yang ini saya menolak sama sekali kerana tidak ada ibubapa yang sampai hati berbuat demikian. Malah apa saja yang menyelerakan, anak akan didahulukan. 

Bahkan saya berpendapat larangan itu merupakan satu isyarat bahawa ibubapa tidak mahu anak mereka makan makanan saki baki seperti kerak nasi itu. Ertinya biarkanlah anak-anak itu makan nasi yang lembut dan mudah dikunyah. Biarkan orang tua memakan saki baki nasi atau kerak nasi yang keras, tidak mengapa.  Demi anak yang disayangi.

Ibubapa sanggup makan yang kerak, yang saki baki  saja. Adakah ini satu cara mereka menyatakan kasih sayang? Sebab sudah menjadi satu kebiasaan kepada Oduk untuk menyatakan kasih sayang secara isyarat dan kiasan. Jarang sekali kasih sayang itu difafazkan. Sudah cukup dengan isyarat dan kiasan saja. Kerak nasi sebagai kiasan saja.

Satu lagi larangan Oduk ialah larangan duduk atas bantal. Jika sesiapa duduk atas bantal maka punggung orang itu akan kena/ditumbuhi  bisul. 

Mana ada logik dan rasional. 

Pada hal kita boleh  membuktikan sama ada benar atau tidaknya apa yang diperkatakan itu dengan secara senyap (bukan dihadapan mereka) duduk diatas bantal dan tunggu sama ada bisul akan keluar atau tidak. Sudah tentu tidak akan ada bisul. Tapi Oduk taat , percaya dan terima.


Mungkin larangan itu ada kaitan dengan nilai/penghormatan  yang amat tinggi yang diberikan oleh masyarakat Melayu terhadap kepala. Menjadi pantang orang Melayu jika kepala dipermain-mainkan. Jadi dengan meletakkan punggung diatas bantal bermakna kita telah tidak menghormati kepala kita. Maka dijadikanlah satu larangan untuk tidak berbuat demikian.


Sama ada kita mahu cari logik, rasional mahupun moral cerita pantang larang Oduk itu, satu yang saya pasti ialah pantang larang itu dapat kita samakan dengan peraturan dan undang-undang bertulis yang diamalkan dalam pentadbiran moden untuk dapat mengatur kehidupan masyarakat supaya menjadi mantap. 

Masyarakat dulu lebih cenderung untuk mengekalkan apa yang diterima dan   diperturunkan. Lebih suka kepada kesetabilan, status quo amat dihargai. Perasaan ingin tahu dan berubah tidak menjadi satu keutamaan, kadang-kadang tidak diperlukan.


Dengan itu diadakan pantang larang dengan menyediakan hukuman jika melanggarnya. Misalnya dalam hal kerak nasi jika anak kecil makan anak itu tidak akan jadi pandai; dan duduk diatas bantal akan tumbuh bisul dipunggung. Cuma hukuman Oduk hanya setakat menyatakan saja, dan minta orang percaya. Paling keras ialah jangan banyak bertanya.


Kalau begitu cara yang dilakukan oleh Oduk , nampaknya tidak banyak bezanya dengan apa yang ada pada masa ini. Cuma pantang larang pada masa ini dibuat secara dikanunkan, secara bertulis.  Dan hukumannya sungguh keras sekali.

Walaupun setengah yang dikanunkan itu tidak sesuai lagi dengan keperluan semasa tapi demi kesetabilan dan status quo, mengekalkan kuasa yang ada, sebahagian dari kanun itu masih mahu diteruskan.


Sikap mahu diteruskan itu pula diiringi dengan alasan demi menjaga keselamatan dan keamanan, sebagai rasional. Dan sekiranya ada pandangan dan cadangan untuk menggugurkan kanun yang tidak sesuai dengan keperluan semasa itu, pandangan dan cadangan itu tidak diberi perhatian yang positif malah cadangan dan pandangan itu dikaitkan dengan pengaruh kuasa luar. Dan jika pula ada pihak yang cuba menyatakan perasaan beramai-ramai dengan bersatu berjalan berarak dan berhimpun maka dikeluarkan fatwa mengharamkan cubaan itu. Dan jika berdegil, maka ada yang ditangkap dan kemungkinan dihumbankan kedalam penjara jika disabitkan kesalahan.


Jadi ada orang berkata kalau pantang larang Oduk yang tidak ada rasional dan logik boleh diterima dan ditaati oleh masyarakat Melayu dulu, mengapa pula kita tidak mahu terima pantang larang yang telah dikanunkan yang bercirikan rasional dan logik, demi keselamatan dan keamanan negara. Nampak sangat kita ini degil sangat. Banyak sangat tanya. Taat sajalah. Ok.

Oduk dan Genba adalah sama saja masing-masing mahukan kesetabilan, status quo. Cuma kalau Oduk ditanya jawapan yang diberikan 'jangan banyak tanya, taat saja'. Kalau berani cuba berkumpul ramai-ramai tanya orang yang menguruskan Genba, anda akan mendapat jawapan yang tidak sama: cedera dan masuk penjara.

Kalau begitu taatlah pantang larang Oduk. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan