Theflowersellingboy

Jumaat, 8 Julai 2011

Salam Jumaat....18 : Semoga Semuanya Selamat.

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman. Semoga anda sihat-sihat sahaja.

Sekarang sebahgian besar orang bercerita fasal perhimpunan Bersih. Ada yang menyokong dan ada yang tidak bersetuju. Masing-masing ada hujah untuk mempertahankan sikap dan pegangan masing-masing. 

Kerajaan pula nampaknya  melalui agensi penguatkuasa khususnya Polis telah mengambil berbagai langkah serta tindakan kearah memastikan perhimpunan itu tidak akan diadakan setelah Kerajaan mengistiharkan bahawa badan penganjur Bersih itu adalah satu badan yang haram. Dan dengan demikian segala yang berkaitan dengan Bersih adalah haram.

Satu daripada tindakan yang mendapat suara bantahan ialah penangkapan keatas mereka yang dikatakan ada kaitan dengan aktiviti Bersih termasuk memakai pakaian Bersih.

Tapi seperti yang dilaporkan pihak penganjur masih lagi berpegang kepada keputusan untuk meneruskan perhimpunan itu walaupun permit bagi perhimpunan itu telah tidak diluluskan.

Maka pada esok hari jika perhimpunan itu diteruskan rakyat Malaysia akan menyaksikan satu perhimpunan yang akan berhadapan dengan pihak polis. Dan jika situasi ini tidak dihadapi dengan bijaksana oleh kedua-dua belah pihak, Polis dan peserta Bersih maka kita khuatir ada kemungkinan akan melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Tangkapan sudah pasti.

Apabila kita kata bijaksana ia melampaui emosi keegoan oleh para peserta Bersih dan kuasa yang diberikan oleh berbagai peraturan dan undang-undang oleh pihak Polis kerana pada pendapat kita kedua-dua pihak mempunyai alasan yang kukuh atas sikap dan tindakan mereka.

Namun kita berpendapat apa pun tindakan yang akan diambil oleh mana-mana pihak, Polis dan Bersih, hendaklah sentiasa menunjukkan  rasa tanggongjawab yang mengambilkira rasa peri kemanusiaan. Sudah tentu dalam perhimpunan itu nanti ada berbagai ragam perangai manusia, yang positif mahupun negatif. Dan ada pula yang cuba menangguk diair keruh membuat provokasi dengan maksud yang mereka sendiri tahu. Perhimpunan yang bermula dengan aman boleh saja menjadi huru hara.

Jika [erhimpunan Bersih itu masih juga hendak diteruskan juga, kita percaya pihak Polis mempunyai keupayaan untuk mengawal keadaan. Dan dipihak Bersih pula, kita percaya mempunyai kebijakan untuk dapat bersama-sama mengawal keadaan supaya tiada siapa dari rakyat kita yang akan cedera.

Memang dari segi Kerajaan Bersih adalah haram. Namun perkara ini seperti yang telah kita katakan diatas adalah melampaui dari pertimbangan undang-undang dan keegoan. Ianya memerlukan kebijaksanaan kerana 'haram' yang telah dijatuhkan keatas Bersih masih lagi boleh dilihat sebagai tidak haram dari segi perjuangan untuk mendapat satu pilihanraya yang adil dan bersih.

Semoga semuanya selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan