Perhimpunan Bersih yang bakal diadakan pada 9 Julai 2011 nanti akan diadakan di dalam stadium. Demikian yang telah dilaporkan setelah pengerusi Bersih mengadap yang Di-Pertuan Agong. Sudah tentu keputusan itu dibuat berdasarkan faktor-faktor yang mengambilkira kepentingan negara dan rakyat.
Namun kita memahami akan rasa kekecewaan penyokong Bersih yang mahu mengadakan perhimpunan secara berjalan menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan satu memorandum yang mengandungi 8 perkara bagi satu pilihanraya yang bersih dan adil.
Sesungguhnya suasana perhimpunan yang ditimbulkan secara berjalan kaki jauh bezanya dengan suasana perhimpunan dalam sebuah stadium. Dalam kata lain berjalan kaki lebih meriah, meransangkan semangat atas perkara yang hendak diperjuangkan. Dalam sebuah stadium , pergerakan menjadi tidak bebas dan tersekat-sekat selain dari bilangan yang terhad mengikut kapasiti stadium itu.
Disebaliknya pula perhimpunan dalam stadium akan lebih mudah bagi pihak berkuasa mengaturkan langkah-langkah keselamatan. Memang benar, perhimpunan secara berjalan kaki itu boleh juga diaturkan langkah-langkah keselamatan oleh pihak berkuasa. Dan kita terlalu yakin dan percaya bahawa pihak berkuasa ada kemampuan untuk berbuat begitu. Tidak ada masalah.
Tetapi mungkin kawalan yang lebih sempurna agak sukar sekiranya berlaku sabotaj keatas perhimpunan secara berjalan kaki itu. Sabotaj ini boleh saja dilakukan oleh mana-mana pihak dengan tujuan mereka saja yang lebih tahu.
Dengan demikian adalah diharapkan mereka yang masih percaya dengan perjuangan Bersih itu tidak akan patah semangat dan kecewa semata-mata perhimpunan itu akan diadakan distadium. Malah kecekalan hati dan semangat untuk bersama berhimpun di stadium akan mendapat penghargaan dari pihak-pihak yang dahulunya agak ragu-ragu akan matlamat yang hendak diperjuangkan oleh Bersih.
Ertinya perhimpunan Bersih itu adalah sebenarnya satu perhimpunan yang benar-benar bersih, dan tidaklah bertujuan untuk melakukan kerosakan harta benda dan mengancam keselamatan negara kerana telah bersedia bekerjasama dengan Kerajaan untuk berhimpun dalam stadium. Bukankah itu satu kejayaan dalam mempengaruhi masyarakat untuk sekurang-kurangnya mulai memahami dan menghargai sikap Bersih. Bertambah lagi mereka yang bersimpati.
Hanya apa yang wajar ada kepada Bersih dan penyokong-penyokongnya ialah kepercayaan bahawa apa yang diperjuangkan itu sebenar-benarnya untuk kepentingan rakyat untuk mengujudkan satu sistem dan pengurusan pilihanraya yang adil dan saksama. Jika ini sikap dan kepercayaan yang dipegang maka emosi kita tidak akan mudah dipengaruhi bagi melakukan sesuatu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara. Sama ada di jalan raya atau di dalam stadium emosi kita terdedah dengan berbagai provokasi.
Kita percaya Pihak Berkuasa juga akan mempermudahkan perhimpunan di stadium itu terutama jika sekiranya para hadirin yang hadir melebihi dari kapasiti stadium. Mungkin pihak penganjur dengan kerjasama pihak keselamtan dan stadium dapat mengatur langkah-langkah tertentu bagi memberi peluang mereka yang tidak dapat masuk stadium untuk dapat merasai suasana himpunan itu. Jika ramai yang terkandas diluar, dan mereka tidak dapat merasai suasana himpunan itu, dikhuatiri ianya memudahkan pihak-pihak yang mahu mensabotaj perhimpunan akan mengambil peluang.
Dalam hal ini kita percaya itu bukan matalamat yang diidam-idamkan oleh Bersih.
Kita ucapkan selamat berhimpun kepada Bersih. Oleh kerana perhimpunan di stadium itu cadangan dari Perdana Menteri dan telahpun disambut oleh pengerusi Bersih seperti yang dilaporkan maka kita percaya ianya akan berjalan dengan baik demi kebaikan semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan