Theflowersellingboy

Rabu, 20 Julai 2011

Warna-warna Ramadhan

Tidak berapa lama lagi umat Islam seluruh dunia akan sekali lagi dalam pusingan tahun Hijriah menyambut bulan Ramadhan untuk memulakan ibadat puasa selama sebulan. Begitulah yang telah ditentukan Allah sebagai satu dari Rukun Islam yang lima.


Setiap tahun  pada bulan Ramadhan kita akan menyaksikan pertambahan bilangan umat Islam yang hadir berjemaah di masjid atau disurau untuk bersolat , baik solat Zohor, Asar apatah lagi solat Magrib dan Isya' yang akan diikuti dengan solat sunat Terawih. Solat Subuh pun menceritakan keadaan yang sama.


Sesungguhnya pada setiap bulan Ramadhan umat Islam Malaysia menunjukkan satu perubahan yang amat menakjubkan. Perubahan kearah yang lebih baik , menjadi umat yang mahu melakukan yang baik dan meninggalkan yang mungkar . Bukan saja dari segi mengerjakan ibadat puasa dan solat fardhu dan solat-solat sunat yang lain, bilangan yang membaca al-quran, bilangan yang bersedekah juga amat membanggakan. Alhamdulillah.

Dalam setiap Ramadhan juga kita akan sentiasa dapat menyaksikan pertambahan bilangan peniaga-peniaga Islam menjual berbagai jenis makanan dan minuman ditempat atau kawasan-kawasan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan dengan bayaran sewa tertentu. Peniaga-peniaga ini telah dapat mempermudahkan orang ramai yang tidak ada masa untuk menyediakan makanan untuk berbuka puasa.


Maka dengan adanya berbagai makanan itu ianya telah menjadikan Ramadhan sebagai bulan festa makanan. Mereka yang datang membeli adalah juga termasuk orang bukan Islam. Sesungguhnya Ramadhan membawa rezeki kepada sebahagian dari umat Islam. Alhamdulillah.

Pada bulan Ramadhan juga pihak berkuasa agama Islam akan meningkatkan penguatkuasaan untuk menangkap dan mendakwa orang-orang Islam yang tidak berpuasa atau kedai-kedai makanan yang menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa. Ada juga pihak berkuasa itu setelah menangkap mereka yang tidak berpuasa akan membawa mereka dengan menggunakan kereta jenazah sebelum kenyataan diambil untuk tujuan pendakwaan.


Pada minggu akhir bulan Ramadhan bermulalah sebahagian anak-anak muda Islam bermain meriam buluh. Dan satu dari peristiwa yang selalu kita dengar ialah kecederaan yang dialami oleh pemain meriam buluh itu. Ada yang cedera teruk seperti putus jari, buta mata. Mati ada juga, tapi jarang sekali.


Itulah Empat Warna-warna Ramadhan yang sempat saya catatkan yang berulang setiap tahun. 

Soalnya sekarang adakah warna-warna itu berkekalan? Jawapan saya adalah ya dan tidak. 


Kita lihat warna yang pertama: bertambah orang mendekati Allah dan melakukan kebaikan. Selepas Ramadhan warna itu akan mula pudar seolah-olah mendekati Allah dan berbuat kebaikan hanya wajar pada bulan Ramadhan saja. Mungkin, mungkin saja, mereka iaitu sebahagian orang Islam yang tidak mengekalkan warna Ramadhan itu berpendapat bahawa oleh kerana amal ibadat dalam bulan Ramadhan telah dijanjikan pahala yang berganda melebihi bulan yang lain maka ianya sudah mencukupi untuk menampung kekurangan pahala dalam bulan-bulan yang lain. Jadi apabila datang saja bulan Ramadhan mereka kumpul semula pahala yang banyak. Begitulah seterusnya. Harap-harap pendapat saya ini tidak betul.


Bilangan peniaga Islam yang bertambah mendadak: Warna ini juga tidak kekal kerana selepas itu dibulan-bulan yang lain mereka ini hilang lesap entah kemana. Mengapa? Mungkin pada bulan Ramadhan rezeki yang diraih lebih barakah berbanding bulan yang lain. Dengan itu mereka berebut-rebut mendapat rezeki yang barakah. Harap-harap bukan begitu.


Penguatkuasa yang menangkap mereka yang tidak berpuasa: Yang penting kesan dari tindakan tangkapan itu. Nampaknya tindakan tangkapan belum lagi menunjukkan kesan yang diharapkan kerana setiap bulan Ramadhan ada saja tangkapan yang dibuat kerana orang tidak berpuasa. Ertinya warna ini sentiasa berulang setiap bulan puasa, kekal dalam bulan puasa.


Kecederaan kerana bermain meriam buluh: Inilah peristiwa yang tidak gagal mewarnai bulan puasa terutama menjelang menyambut hari raya. Mengapa? Sebabnya kita telah salah memilih aktiviti atau perbuatan atau kerja yang sepatutnya. Apakah ada kaitan bermain meriam buluh pada menjelang raya? Nak dapat pahala lebih? 

Orang Islam terutama orang Melayu masih lagi tidak sepenuhnya memahami atau tahu cara bagaimana untuk menguruskan diri dalam bulan Ramadhan. Mereka tetap berpuasa, bermain meriam buluh tidak boleh lupa. Mungkin mereka menganggap bahawa itulah caranya untuk menyatakan kegembiraan menjelang raya. Cedera tak mengapa. Warna ini kekal setiap bulan Ramdhan.


Jadi setiap tahun bulan Ramadhan pasti datang dan setiap tahun nampaknya warna-warna itu pasti berulang. Ada pula warna yang baik tetapi tidak berkekalan, dan yang tidak berfaedah pasti kekal berulang dalam Ramadhan. 


Ya Allah jauhkan perkara-perkara yang tidak baik itu berulang dan berkekalan. Amin.





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan