Theflowersellingboy

Ahad, 3 Julai 2011

Secukup Rasa Sebuah Keluarga

Ya, memang ada disana sini sedikit  masalah dan isu-isu yang timbul yang ada masanya boleh mengurangkan keceriaan dalam menjalani kehidupan. Itu adalah asam garam seperti yang diperlukan dalam masakan. Untuk menaikkan selera, campuran asam garamnya wajar bertepatan dengan lidah dan selera yang merasa. Kalau terlebih garam, dan bagi orang yang tidak suka makanan yang terlalu masin maka masakan itu tidak akan dihabiskan, mungkin sedikit saja yang disentuhnya. Tambah-tambah lagi kalau orang itu mengidap sakit darah tinggi. Sebaliknya, tidak juga boleh terlalu kurang garam, masakan menjadi 'cahau' (terlalu tawar) , tidak ada perisa yang boleh menaikkan selera.

Maka dengan itu orang selalu mengatakan supaya garam itu dimasukkan dalam makanan 'secukup' rasa. Ianya sungguh subjektif namun orang yang mendengar itu tetap menerima dengan baik tanpa banyak soal dan faham maksud yang hendak disampaikan.

Perjalanan dalam sebuah kehidupan akan mengajar kita untuk sedikit demi sedikit memahami apa yang dimaksudkan 'secukup rasa' itu. Kita akan belajar dan merasa . Cuma tempoh masa adalah sepanjang masa kerana kadang-kadang  hari ini 'secukup rasa' dan esoknya belum tentu lagi rasanya secukup yang diharapkan. 


Begitulah perjalanan dalam sebuah kehidupan. Sekiranya perjalanan itu tidak melibatkan yang lain ia tidak banyak memeningkan kepala. Kita sendiri saja yang rasa.

Bagaimana kehidupan dalam sebuah keluarga? Sepasang suami isteri yang baru bernikah yang mahu memulakan alam rumah tangga dengan suatu ideal yang memuncak tinggi , rumah tangga yang aman  bahagia. Apa asam garam yang secukup rasa? 


Tidak ada jawapan tepat yang mampu diberikan . Tidak juga oleh mana-mana pihak yang bergelar pakar rumah tangga. Tidak juga mereka yang telah dianugerahkan keluarga mithali. Tidak juga ahli dan pakar agama.


Kalau begitu apakah panduan untuk mereka? Siapakah yang perlu memandu mereka?


Memang terlalu banyak panduan yang tersedia untuk mereka perhati, mereka alami, mereka baca dan mereka rasa. Banyak juga mereka yang boleh memandu. Namun seperti yang telah diperkatakan , secukup rasa itu bukan ada formula sepanjang masa. Hari ini rasanya cukup, esok hari mungkin masin atau cahau. Tidak juga boleh diketepikan masin atau cahau sepanjang masa. Kalau itulah  rasanya, ia menjadi satu masalah yang besar. 


Namun jangan pula menjadi pesimis dalam kehidupan berumahtangga. Secukup rasa pasti akan tiba dan menjelma. Syaratnya lupakan ideal yang memuncak tinggi kerana sebuah rumah tangga bukan boleh dibina diatas impian sebuah syurga. Ada juga kadang-kadang tempias kepanasan 'neraka'.


Ideal itu masih berguna juga tetapi hanya sebagai mengingatkan kita untuk mahu hidup bersama sepanjang masa selagi hayat dikandung badan. 

Banyak perkara yang perlu disusunatur semula. Bukan sekali, malah sepanjang masa. Ada masanya susunatur yang baru itu 'mengena' untuk selera rumah tangga yang secukup rasa. Dan sebaliknya juga boleh berlaku. 


Mungkin mudah bagi kita mengeluarkan kata-kata panduan seperti bersabar, berkorban, bertolak ansur, saling hormat menghormati dan kata-kata lain yang mempunyai nilai yang sama kearah memandu secukup rasa. Bagus juga kata-kata itu. Hanya sanya kita sentiasa mesti ingat bahawa secukup rasa itu adalah atas selera kita, selera suami dan isteri itu. 


Secukup rasa sebuah keluarga, sebuah rumahtangga melampaui kata-kata sabar dan yang lain-lainya.Tidak ada guru atau mahu guru yang mampu mengajarnya. Kita punya selera, kita yang rasa. Sudah tentu kedua-dua suami isteri itu hendakkan satu selera yang serasa. Tapi itu tidak mungkin, itu ideal. Carilah selera yang secukup rasa. Masanya terlalu panjang. Bukankah harapan satu pernikahan itu adalah hubungan yang berpanjangan selagi nyawa dikandung badan?





Tiada ulasan:

Catat Ulasan