Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat untuk semua anda budiman yang sentiasa dirahmati Allah SWT. Selamat Menyambut Puasa.
Ogos pertama tahun ini, InsaAllah kita umat Islam akan memulakan hari pertama berpuasa.
Tentang berlapar dan berdahaga itu saya rasa tidak menjadi masalah kepada kita semua kerana tempohnya tidak lah lama sangat iaitu dari waktu Subuh hingga waktu Maghrib. Lagipun nafsu selera kita seolah-olah telah memahami, telah di'conditioned' bahawa setiap bulan Ramadhan selera nafsu itu hanya boleh dilayan apabila masuk Maghrib sehingga masuk Subuh.
Cuba tanya orang yang kaki rokok mengapa mereka boleh berhenti merokok pada tempoh yang membatalkan puasa itu.
Biasanya mereka menjawab 'entahlah dalam puasa aku boleh tahan tak merokok diwaktu siang'.
Jawapan itu seolah-olah menyatakan bahawa bulan Ramadhan memberi kekuatan kepada mereka. Cuma kalau dapat diteruskan perbuatan tidak merokok bagi seluruh tempoh Ramadhan termasuk selepas berbuka alangkah molek sekali.
Kalau berhenti terus kita ucapkan tahniah demi kesihatan mereka dan kesihatan kita semua.
Ya, bagi kita di Malaysia tempohnya tidaklah lama. Tapi bagi negara seperti di England, ketika ini musim panas (summer), tempoh berpuasa, menahan nafsu selera adalah lebih panjang kerana waktu siang atau terangnya lebih lama dari waktu malam atau gelap. Tetapi menurut pemerhatian kita mereka orang Islam disanapun tidak menghadapi masaalah untuk berpuasa, menahan selera nafsu pada tempoh yang panjang. Maknanya kalau mereka boleh begitu malulah kita kerana tempoh menahan nafsu bagi kita terlalu pendek.
Perbandingan itu sekali gus menolak alasan setengah pihak yang katanya tidak boleh tahan lapar dan dahaga. Walaupun berpuasa itu akan membuatkan kita berasa lapar dan dahaga serta kurang tenaga tetapi itu bukanlah sebenarnya matalamat kita menjalankan ibadat berpuasa. Puasa lebih daripada mencapai matlamat itu.
Itu adalah isyarat-isyarat nyata yang boleh nampak dan boleh rasa apabila seseorang itu berpuasa.
Yang tidak boleh nampak ialah satu proses untuk mempertingkatkan iman kita. Sebab itu dalam bulan Ramadhan kita sentiasa diperingatkan supaya banyak melakukan yang baik-baik, melakukan perkara-perkara yang diperintah ALLAH secara yang terbaik. Maksud terbaik ialah dari segi pematuhan cara melakukan ibadat, bilangan kali melakukan dan sudah tentu keikhlasan perbuatan kita semata-mata kerana ALLAH swt saja.
Jadi bulan Ramadhan ini sebenarnya ialah bulan yang telah disediakan Allah untuk kita membina dan meningkatkan iman kita. Berlapar dan berdahaga dalam tempoh yang ditentukan itu hanya akan mejadi sia-sia jika kita gagal membina dan meningkatkan imam kita. Peluang ini berulang kali diberikan kepada kita selagi kita masih bernyawa. Ingat bahawa perbuatan baik kita akan dianugerahkan pahala yang berganda. Mengapa perlu kita sia-sia. Kenapa perlu tunggu Ramadhan yang akan datang kerana belum tentu kita dapat menyambutnya.
Sekian . Selamat Berpuasa.Jumpa Lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan