Baru hanya semalam kita merasa lega apabila pihak Bersih telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan perhimpunan di dalam stadium selepas mengadap Yang Di-Pertuan Agong. Persetujuan itu juga sebagai reaksi balas akan tawaran yang dibuat oleh Perdana Menteri. Kita menganggapkan sesuatu yang positif telah lahir diantara pihak penganjur Bersih dan Kerajaan, sesuatu yang memang menjadi harapan rakyat Malaysia bagi mengelakkan kemungkinan berlaku hal-hal yang tidak diingini.
Belum sempat hendak merakamkan kata-kata syabash kepada kedua-dua pihak diatas sikap yang positif itu, hari in seperti yang telah dilaporkan bahawa pihak pengurusan Stadium Merdeka telah menolak permohonan Bersih untuk mengadakan perhimpunan di stadium itu atas alasan kerja ubahsuaian dan yang lainnya.
Kita pun tidak ada fakta dan maklumat tentang keadaan stadium itu pada masa ini. Adalah diharapkan alasan pihak pengurusan stadium itu adalah alasan yang 'justified', dan bukan sengaja direka untuk tujuan menggagalkan satu perhimpunan yang jelas menuntut satu tindakan dan jawapan dari pihak berkuasa tentang sistem dan pengurusan pilihanraya di Malaysia.
Pihak Berkuasa pula, khususnya Suruhanjaya Pilihanraya dan Kerajaan yang ada sekarang pada pendapat kita wajar berbincang akan lapan perkara yang dibangkitkan oleh Bersih itu, dan jika dapat ditunjukkan dengan fakta dan maklumat yang sahih bahawa sistem dan pengurusan pilihanraya ketika ini adalah adil dan saksama maka
lapan tuntutan Bersih itu ternyata merupakan satu pembohongan. Jika begitu, rakyat akan percaya kepada siapa? Sudah tentu kepada Kerajaan dan SPR. Kita, rakyat bolehlah kata kepada Bersih, "Padan Muka". Kalau tidak, muka siapa yang 'dipadankan'? Dipadankan dengan hal-hal yang tidak betul. Bertambah nanti rakyat yang hilang kepercayaan.
Dan sekarang timbul pula masalah stadium tempat perhimpunan. Kita percaya pihak Bersih akan terus mencari tempat yang lain yang difikirkan sesuai bagi mengadakan perhimpunannya itu jika alasan penolakan oleh pihak pengurusan Stadium Merdeka itu 'justified'.
Selain dari masalah tempat perhimpunan adalah diharapkan semua pihak dapat bekerjasama supaya perhimpunan itu dapat berjalan lancar tanpa gangguan dan provokasi dari mana-mana pihak. Semua orang dan pihak hendakkan yang terbaik, yang aman tanpa merosakkan harta benda awam. Tiada sesiapa pun sukakan kekacauan melainkan orang itu memang suka jadi kaki kacau untuk tujuan yang orang/pihak itu sendiri tahu.
Kerjasama ini termasuklah kelancaran perjalanan mereka yang hendak menuju ke perhimpunan. Kawalan lalulintas dan keselamatan memanglah satu kewajaran untuk menentukan supaya perhimpunan itu berjalan dengan baik. Keperluan sekatan jalanraya hendaklah dibuat atas sebab yang munasabah dan tidak sekali-kali mempunyai niat untuk melambat atau menyekat para peserta untuk sampai ketempat perhimpunan.
Memang tidak ada siapapun dengan mudah membaca niat kita kerana yang tahu kita sendiri, hati kecil kita. Cuma takut-takut kita bermimpi ngeri kerana perbuatan kita tidak disetujui oleh hati kecil sendiri.
Dan jangan lupa bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia sudah ada berbagai saluran maklumat. Otak mereka pun handal juga tidak mudah dikelentong.
Satu lagi yang agak anih ialah pengharaman keatas baju warna kuning bertulisan Bersih dan lambang Bersih. Kalau begitu bagaimana para peserta perhimpunan yang menyokong Bersih
untuk hadir kerana mereka akan memakai baju berkenaan sebagai tanda menyokong perhimpunan, sama seperti penyokong bola sepak yang memakai pakaian pasukan yang disokong. Kenapa perhimpunan dibenarkan tetapi pakaian yang menandakan sokongan kepada perhimpunan diharamkan untuk dipakai. Kata orang hidangan disediakan tapi tidak boleh sentuh. Macam tidak ikhlas saja menjemput makan. Anih bukan. Tapi ada juga perkara-perkara yang anih jadi kebanggaan.
Bukankah kedua-dua pihak telah menunjukkan semangat bekerjasama. Mengapa pula semangat itu hendak diiringkan dengan hal-hal yang boleh mengendurkan kerjasama itu seolah-olah tidak ada keikhlasan dalam menawarkan kerjasama, bersetuju supaya perhimpunan itu diadakan di stadium. Mengapa hendak di kedepankan berbagai songeh. Kalau macam ni "Tak Aci La Macam Tu" seperti pernah kita kata kepada kawan kita yang cuba main silap mata menipu kita semasa bermain dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan