Theflowersellingboy

Sabtu, 23 Julai 2011

Menang dan Kalah: Calun Yang Boleh Menang

Kalah dan Menang selalu dilihat sebagai ukuran bagi menilai pencapaian sesuatu usaha atau pertandingan/persaingan atau penglibatan dalam mana-mana anjuran bagi meraih kedudukan, kuasa , nama mahu pun gelaran atau anugerah. Yang menang dikatakan berjaya dan yang kalah dikatakan gagal.

Maka yang menjadi fokus ialah untuk meraih kemenangan  kerana tiada siapa pun yang mengidam untuk kalah. Ya, melainkan ada maksud tertentu untuk faedah tertentu bagi kepentingan tertentu, ada juga kekalahan itu dicari-cari. Hal seperti ini saya panggil kalah yang ada habuan.

Persoalannya adakah untuk menang atau yang menang itu mesti mempunyai atau memberi gambaran atau membawa bersama nilai dan ciri-ciri serta kualiti yang lebih baik/terbaik, yang positif , yang boleh dicontohi dan diteladani  berbanding yang kalah. 

Ini adalah satu perkara yang boleh dihujah berpanjangan bergantung dari sudut dan perpekstif mana yang kita tinjau. 

Sudah tentu mereka yang menang atau kadang-kadang kita panggil berjaya adalah orang/orang-orang, pihak atau pasukan yang mempunyai kekuatan dan ketahanan, fizikal dan mental dalam memperlangsungkan azam dan kehendak mereka. Orang lembek-lembek dari segi semangat dan usaha, mudah kecewa dan putus asa, yang putus harap tidak akan berjaya atau menang. Kita perlukan 'keberanian' dan 'kedegilan' untuk menang.

Bermakna kalau kita tidak mempunyai ciri-ciri diatas, kalau tidak degil dan berani kita akan kalah? Jawapannya tidak juga.

Saya suka menghadkan bicara berkisar kepada menang dan kalah dalam persaingan politik saja kerana peminat dalam bidang ini memang ramai. Lagi pun bagi saya politik boleh menukar   dan menentukan warna, dan apa saja, pada bila-bila masa yang dia/mereka suka. Maksud saya yang berkuasalah. Tiada yang mustahil dalam politik. Semua beres diatur (maksud saya dibina) dan dihancur.

Saya amat tertarik apabila orang politik  memberi fokus kepada 'calun yang boleh menang' (winnable candidate) sebagai pencarian yang mesti dibuat bagi meletakkan seseorang calun dalam pertandingan mana-mana pilihanraya. 

Ciri-ciri yang perlu ada bagi calun untuk termasuk dalam kategori ini tidak pula dinyatakan secara sepesifik dan khusus. Dengan demikian kita tidak dapat memberi ulasan dari segi positif dan negatifnya seseorang calun yang dipilh itu.

Mungkin dibuat sedemikian rupa bagi memudah dan memberi ruang kepada kepimpinan parti dalam menentukan ciri yang termasuk atau ditambah masuk sebagai calun yang boleh menang.

Apabila tidak spesifik, tidak khusus maka budibicara dan fleksibiliti akan lebih dominan dalam pemilihan calun yang boleh menang itu.

Tapi bagi saya calun yang terbaik ialah calun yang sentiasa sedar dan perihatin akan persekitarannya (kawasan yang diwakili), dari segi manusia, dan persekitaran manusia itu sendiri. Sebagai nilai tambah, dia/mereka wajar berpengetahuan dan menguasai ilmu, lebih tinggi lebih baik, berperibadi mulia.   

Calun yang sedar dan perihatin akan persekitarannya sudah tentu dapat memberi dan menyampaikan khidmat dengan berkesan dan terbaik kerana segala-galanya telah dikuasainya, diketahuinya. Cuma orang yang sedar, tidak tidur, orang yang perihatin akan bekerja dan berkhidmat dengan sepenuh jiwa dan raganya. 

Calun seperti itulah yang terbaik, bagi saya, yang perlu dipilih. Tapi yang terbaik seperti yang dinyatakan itu  adakah termasuk 'yang boleh menang'  . Mungkin masuk, dan kemungkinan besar terkeluar.

Jadi calun yang boleh menang itu boleh saja terdiri dari orang yang memang popular kerana telah banyak mencurahkan wang, tidak semestinya wang titik peluh sendiri. Dia/mereka juga  tidak semestinya berperibadi mulia seperti yang selalu kita tonton gelagat mereka yang amat jelek dan memalukan. Yang pasti dia/mereka telah memenuhi ciri-ciri calun yang boleh menang menurut tafsiran kepimpinan politik mereka. Apakah ciri-ciri pilihan pemimpin?  Saya cuba teka: Ciri yang sama-sama selesa.

Jelas hujah diatas menyangkal pandangan bahawa dia/mereka yang menang itu memiliki sifat baik dan positif yang kita boleh ikut  contoh dan teladan. Dan yang kalah pula tidak ada sifat yang positif dan baik. Ingat dalam politik semua boleh jadi.

Apatah lagi yang boleh menang itu dibantu oleh pihak penganjur dengan berpandukan sistem dan pengurusan yang menyebelahi ke pihaknya. 

Tambah-tambah lagi pihak yang boleh menang itu bersifat degil dan berani, tidak kenal putus asa. Sama juga yang kalah, banyak degilnya dan berani juga tapi kalah juga.

Cuma mereka tidak berani menyatakan apakah ciri-ciri calun yang boleh menang. Satu lagi yang ditakuti ialah tidak berani bersemuka berdebat tentang hal-hal pengurusan negara.

Sebab itu saya katakan yang menang tidak mesti baik dan yang kalah tidak mesti jelek. Malah menang ada jeleknya, kalah pun sama juga. Orang politik kan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan