Serangkap pantun yang terkenal pada suatu ketika dulu yang mungkin ketika ini telah dilupai bertujuan untuk mendidik moral terutama dikalangan anak-anak kecil tiba-tiba menyelinap dalam otak kepala:
Siakap Senohong
Gelama Ikan Duri
Bercakap Bohong
Lama-lama Mencuri
Ya, kalau kita sentiasa bercakap bohong ia akan menjadi satu kesedapan untuk berbohong, satu ketagihan seperti orang merokok.
Apa saja yang kita bicara atau bual atau menjadi saksi atau berhujah atau berjanji kita pasti dipengaruhi nafsu untuk bercakap yang tidak benar, yang bohong. Kita yang suka berbohong berbuat demikian kerana ia boleh mengelakkan kita dari mendapat malu atau dihukum, dan memberi faedah kepada kita secara tidak sah dan haram dan merugikan atau menganiayakan pihak lain. Ego kita juga tidak akan tercemar jatuh ke tahap yang rendah yang kita tidak boleh terima. Pendek kata berbohong itu memberi 'keuntungan' kepada kita dan merugikan pihak yang kita bohongi.
Bercakap bohong ini akan lebih berbahaya jika kita mempunyai kuasa, sama ada kuasa yang kita perolehi secara turun temurun atau kuasa yang diamanahkan. Dengan kuasa yang ada pada kita sudah cukup bagi kita untuk melakukan sesuatu kerana perbuatan kita itu mempunyai legitimasi yang boleh dipertahankan dan diterima oleh masyarakat.
Oleh kerana kita suka bercakap bohong dan kita juga ada kuasa maka apa halangan yang ada bagi kita untuk bercakap bohong. Sudah tentu pembohongan demi pembohongan kita berani lakukan kerana kuasa memberi kekuatan kepada kita malah melindungi kita untuk berbuat demikian. Walaupun ada yang tidak percaya dan mempersoalkan integriti kita, tapi apa ada hal kerana kuasa boleh menolong kita menepis segala hujah dan kenyataan dari pihak lain. Kalau mereka banyak cakap, kita humbanlah mereka dimana kita suka.
Tetapi kalau kita tidak ada kuasa, jangan cuba hendak bercakap bohong walaupun yang kecil. Malah jika kita bercakap benar sekalipun cakap itupun boleh dikatakan tidak benar oleh penguasa yang suka bercakap bohong. Rosak binasalah kita nanti.
Kita yang ada kuasa yang bercakap bohong boleh dengan mudah memutar belit sesuatu maklumat dan fakta. Yang hitam dan semua orang tahu ianya sebenarnya hitam, kita boleh kata putih, dan ada juga orang walaupun dimata dan dihati tidak percaya ianya hitam tetapi dengan pengaruh kuasa kita, akan berkata ya, benar itu adalah putih. Macam dalam cerita Nujum Pak Belalang.
Hari ini kita berjanji sesuatu, dan janji kita itu dimasyhurkan kepada khalayak ramai secara terbuka dan meluas. Esok hari , oleh kerana kita ada kuasa, kita kata kita tidak berjanji seperti itu. Dan dengan selamba kita beri tahu bahawa kita tidak pernah berkata begitu. Mengapa? Sebab kita sudah biasa berbohong tambah-tambah lagi kita ada kuasa. Siapa yang boleh lawan kita? Betul juga!
Siakap senohong
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Lama-lama mencuri
Orang yang bercakap bohong tetapi tiada kuasa ,tidak pergi jauh kemana. Lebih-lebih jadi pencuri, dan kalau ditangkap dan dibicara dan disabitkan kesalahan orang itu akan dihukum.
Orang yang ada kuasa, dan suka bercakap bohong, menjadi pencuri, maksud kita mencuri harta yang diamanahkan untuk diurus atau senang kata ambil rasuah, tidak boleh ditangkap. Dan jika pun ada masanya 'ditangkap' atas keperluan-keperluan tertentu, orang itu biasanya terlepas dari hukuman kerana setelah dibicara , didapati tiada bukti untuk mensabitkan dianya bersalah.
Dengan itu kita terlalu khuatir apabila ada pihak cuba menggubah pantun yang lama itu menjadi seperti berikut:
Siakap Senohong
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Lama-lama jadi menteri.
Kita khuatir kerana menteri-menteri adalah orang-orang yang telah kita beri kepercayaan dan amanah untuk menguruskan khazanah negara untuk kepentingan kita semua. Mengapa tercetusnya rasa hati sehingga tergubahnya pantun seperti diatas? Tak kan menteri yang kita beri kepercyaan itu bercakap bohong? Tidak mungkin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan