7.15 petang: Baru saja sampai dari Bandar Tasik Selatan (BTS) setelah menghadiri majlis perkahwinan anak saudara sepupu. Sebelum ke BTS telah menghadiri satu lagi majlis perkahwinan anak seorang kawan seperjawatan dulu.
Dalam majlis pertama itu ramailah berjumpa kawan-kawan lama yang masih lagi berkhidmat termasuk bekas dan ahli pentadbiran kerajaan negeri . Seronok juga berjumpa dengan mereka kerana telah lama tidak berjumpa.
Seorang dari mereka menyatakan pada hari ini beliau mempunyai 4 jemputan majlis perkahwinan. Saya tidaklah merasa luar biasa kata-katanya itu kerana saya pernah juga mendengar seseorang yang mendapat lebih dari 10 jemputan sehari terutamanya ahli-ahli pentadbiran kerajaan. Maklumlah mereka orang politik , ramai yang kenal mereka.
Cuma didalam hati saya berkata, kalau satu rumah dihulur RM10.00, maka pada hari itu orang itu akan mengeluarkan wang RM100.00. Tapi takkan YB nak beri RM10.00 saja. Paling kurang RM50.00 satu rumah, menjadikan RM500.00. Itu baru hari Sabtu. Esok sudah tentu ada jemputan yang perlu dihadiri. Minggu depan hari Sabtu dan Ahad ada lagi jemputan. Katakan satu hari RM500.00, sebulan RM4,000.00.
Kiraan itu atas andaian jemputan yang diterima sebanyak 10 rumah sehari. Mungkin ianya tidak realistik. Tapi sekarang majlis perkahwinan tidak lagi mengambil pertimbangan cuti sekolah. Bila-bila hari Sabtu dan Ahad boleh diadakan.
Juga andaian dibuat bahawa wang yang dihulur RM50.00 satu rumah. Mungkin begitu. Tapi rasanya tidak begitu terutama jika terlampau banyak menerima jemputan. Mungkin RM10.00 satu rumah melainkan rumah orang-orang yang ada pengaruh yang boleh menarik penyokong untuk menyokong orang politik itu, misalnya Ketua-ketua Bahagian. Kalau semua hendak dihulur RM50.00, atau pun RM20.00, matilah YB tu . Mana nak cari ongkos? Kalau tak sudi hadirpun tak boleh juga. Nanti tak dipangkahnya bila bertanding nanti. Wah, serba salah YB dibuatnya.
Itu YB. Bagaimana dengan yang lain yang pendapatan tak seberapa? Tambah-tambah pula harga barang yang sentiasa meningkat. Tak hulur tak kena juga kerana kita tidak membantu majlis kawan kita tu. Nak hulur seperti dulu-dulu tahun 60an iaitu seringgit dua dan paling banyak lima ringgit pun tak sedap juga. Jadi hulurlah setakat RM10.00 untuk satu rumah rasanya ok kalau hari itu ada 10 jemputan. Tapi satu atau dua jemputan hulurlah RM20.00 satu rumah. Kalau tak mampu RM10.00 boleh juga asalkan kita dapat sedikit sebanyak merengankan beban kawan kita itu.
Kalau nak tahu bahawa huluran itu amat dihargai, tunggulah nanti ketika kita mengadakan majlis untuk anak kita nanti.
Jangan pula kerana tak dapat membantu wang kita tidak hadir jemputan kawan, Datanglah. Itupun sudah menggembirakan hati kawan kita yang sentiasa senyum diluar semasa menyambut kita. Tapi dalam hati, Allah, dia suami isteri dan orang yang pernah mengadakan majlis kahwin sedia tahu, berdebar-debar: cukup atau tak cukup makanan untuk tetamu. Tetamu datang ke tidak dan macam-macam lagi. Jadi kalau kita datang walaupun tidak membuat huluran ianya masih membantu menceriakan sahabat kita itu.
Semasa hendak bertolak ke BTS seorang kawan mengingatkan saya akan sekatan jalan raya yang akan saya hadapi berikutan perhimpunan Bersih. Saya dan isteri mula berbelah bagi untuk ke majlis itu. Melihat wajah saya yang agak risau itu kawan saya sempat bergurau: Jangan risau kereta kelisa you berwarna merah, comot pula, kotor. You tak kena tahan punya. Polis nak cari yang Bersih dan warna kuning saja. Maka saya suami isteri dan kawan itu pun ketawa terbahak-bahak. Dengan penuh semangat saya dan isteri ke BTS dan selamat pergi, selamat kembali. Alhamdulillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan