Theflowersellingboy

Jumaat, 1 Julai 2011

Salam Jumaat....17 Yang Biasa-biasa Ada Keluarbiasaan dan Keistimewaannya.

Assalamualaikum wbth, Salam Jumaat untuk anda sekalian. Semoga kehidupan anda diberkati dan di rahmati Allah SWT dan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat.

Anda mungkin telah biasa dengan kehidupan hiruk pikuk dengan berbagai bunyi dan suara terutama anda yang duduk di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kehirukpikukan itu telah menjadi sebati kepada anda, sudah lali bagi gegendang telinga anda untuk menyerapnya. Malah kalau berlaku kesunyian sedikit, anda akan tertanya-tanya mengapa  jadi begitu seolah-olah anda merasai satu kekurangan dalam menjalani kehidupan harian yang serba hiruk pikuk. Anda mula merinduinya.

Apa yang telah berlaku sebenarnya ialah anda telah dapat menerap dan menyerap  persekitaran anda secara fizikal dan mental. Anda telah menerima bahawa itulah persekitaran anda, tempat anda yang sesuai untuk menjalani kehidupan.


Ada juga masa-masanya kita berhasrat untuk mendapat satu suasana yang senyap, sunyi yang jauh dari kebisingan,  suatu suasana yang aman dan tenteram kepada jiwa dan fikiran. Maka ada diantara kita pergi bersunyi-sunyi ke resort-resort tepi pantai untuk mendengar desiran pantai yang dipukul ombak. Atau anda memilih untuk pergi ke resort-resort atas bukit untuk mendapatkan kedinginan dan kesegaran udara .Atau ke dalam hutan rimba berkemping (berkhemah) untuk mendengar suara-suara unggas seperti cengkerik dan burung-burungan hutan yang lain yang memang telah tiada kedengaran lagi ditempat hiruk pikuk anda itu.

Memang seronok kita mendapat satu suasana baru yang berbeza dengan suasana yang telah menjadi kebiasaan kepada kehidupan kita, hiruk pikuk. Pada kali pertama kita menjejaki tempat dan suasana yang baru itu, yang tidak hiruk pikuk, kita merasa seronok dan bersemangat sekali. Dan mungkin ada yang secara sepontan terkeluar kata-kata 'kalau aku dapat duduk disini selama-lamanya, alangkah seronok dan bahagianya'. 

Begitulah sebahagian besar dari kita selalunya cepat bersikap begitu apabila menerima atau mendapat sesuatu yang baru yang berbeza dengan yang biasa dilalui. Setengahnya bersikap keterlaluan sehingga suasana dan alam yang telah lama dan sebati dalam kehidupannya telah dianggap dan dipandang tidak berguna lagi. Tidak lagi mahu dihargai.

Sekarang kita cuba kaitkan sikap kita itu dengan kehidupan dalam sebuah  keluarga. 

Setiap keluarga mempunyai cara kehidupannya sendiri yang banyak dipengaruhi antara lainnya oleh taraf pendidikan, bilangan ahli keluarga , tahap ekonomi dan kedudukan sosial dalam masyarakat.  Ada keluarga yang hidup miskin dan susah, ada yang hidup sederhana dan ada yang kaya raya. Anak-anak dan ahli-ahli keluarga yang lain semacam sudah terima seadanya, dan sudah tentu berhasrat untuk satu kehidupan yang meningkat baik.

Entah macam mana , datang seseorang yang lebih baik kedudukan ekonominya datang menghulurkan bantuan kepada keluarga yang hidupnya agak susah dan miskin. Ini sesuatu yang baru, situasi yang boleh menceriakan kerana telah sekian lama dalam keadaan sebagai orang yang susah. Maka biasanya bantuan yang dihulurkan itu mendapat reaksi yang baik dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga untuk dikenang. Sebaiknya begitulah caranya.

Namun ada juga dikalangan ahli keluarga, misalnya anak-anak yang telah begitu lama hidup dalam keadaan miskin dan susah, pertolongan itu terkesan sangat sehingga menjadi ingatan dan sebutan dihati. Itu pun baik juga. Cuma ada yang keterlaluan sehingga mereka lupa akan keringat peluh, penat lelah dan segala pengorbanan masa dan tenaga kedua ibubapa dengan cuba membandingkan bantuan yang mungkin sekali saja yang diterima dari orang lain, yang selalu diulang sebut. Seolah-olah apa yang telah dihidangkan oleh kedua ibubapanya selama mengharungi kehidupan telah tidak ada kesan lagi, sudah meluntur dik sekali budi baik orang luar tadi.

Mengapa jadi begini? Sebabnya ialah budi bakti, keringat dan pengorbanan ibubapa tadi telah dianggap sesuatu yang biasa, suatu tanggongjawab yang tertanggong keatas kedua orang tua itu. Tidak ada yang istimewa dan luar biasa.

Dan budi baik orang yang membantu itu walaupun sekali telah dianggap sesuatu yang luar biasa dan istimewa.

Maka kita mahu juga mengajak anak  atau mereka yang mempunyai sikap dan pandangan begitu supaya keluarlah dari tempat kediaman yang hiruk pikuk itu pergi ke resort-resort tepi pantai atau dibukit-bukit tinggi untuk mendapat ketenangan. Kalau sudah tenang tinggallah ditempat itu.

Kemudian kita ingin bertanya adakah anda nanti tidak akan merindui tempat kediaman anda dulu yang hiruk pikuk itu? Kalau anda mengatakan tidak , anda seorang yang keras hati dan sesuai untuk hidup dimana-mana saja. Bukan itu saja malah kita kata anda tidak pandai mengenang budi , anda hanya nampak yang selesa dan menyenangkan saja.

Orang yang biasa-biasa akan menganggap yang biasa itu sebagai luar biasa apabila berjauhan dengan tempat yang biasa itu. Ada kerinduan untuk kembali semula. Resort ditepi pantai dan diatas bukit itu hanya sekadar menatap persekitaran yang baru sambil menghirup udara melepaskan kebosanan ditempat lama yang tetap dirindui untuk kembali semula.

Yang biasa-biasa itu sebenarnya ada keluarbiasannya, keistimewaannya. Pandai-pandailah membuat penilaiaan.

Sekian saja paparan yang biasa-biasa saja. Jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan