Theflowersellingboy

Jumaat, 22 Julai 2011

Salam Jumaat...20: Kasih Sayang Orang Lama

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman. Sama-sama kita berdoa agar kita semua sentiasa sihat untuk meneruskan kehidupan harian dengan penuh produktif dan menfaat sekali. Amin.


Secara umumnya mereka yang berasal dari kampong, yang membesar dikampong sebelum negara kita hebat membangun, sudah biasa dengan kerja memanjat pokok. Maksud saya orang lelaki lah.

Kanak-kanak pada masa itu, pada usia 6 ke 15 tahun, memang telah biasa dengan kerja panjat memanjat ini. Dari sekecil pokok seperti pokok jambu batu atau pokok cermai  sehingga pokok yang tinggi seperti pokok sentul dan kelapa tidak menjadi masalah bagi kanak-kanak kampong untuk disuruh memanjat. 

Jika hendak minum air kelapa muda , panjat saja pokok kelapa dan pilih buah yang muda untuk digugurkan. Kalau emak hendak masak lemak , panjat saja pokok kelapa dan pipil buah yang tua, gugurkan saja. Ketika itu kita agaknya sama seperti beruk yang diperintah oleh tuannya. Cuma bezanya leher kita tidak diikat seperti yang dilakukan keatas beruk.
  
Memanjat pokok rambutan , manggis , rambai , sentul , pulasan , ciku dan lain-lainya tidak perlu kita swastakan . Kita sendiri bisa melakukan, beres. 

Namun kalau kita tidak berhati-hati semasa memanjat pokok, kita mungkin akan terpegang pada dahan yang mati. Akibatnya jatuh berdebublah kita, kadang-kadang boleh jadi pengsan dan cedera.

Tapi berita jatuh berdebub itu jangan pula cuba diadukan kepada kedua orang tua . Nahas sekali jika cuba-cuba buat begitu kerana orang tua kita dulu akan memberi reaksi ' panjat lagi tinggi-tinggi, lebih tinggi lebih baik, cepat mati'. Bukan nak tanya kita cedera ke atau luka atau dengan cepat pergi ke klinik atau hospital untuk dapatkan rawatan.

Soalnya adakah sebenarnya kedua orang tua kita dulu tidak sayang anak?

Sebenarnya tidak begitu. Mereka juga sayangkan anak tetapi cara menyatakan kesayangan itu agak tidak sama seperti yang kita nyatakan atau tunjukkan kepada anak kita. Mereka menunjukkan kasih sayang secara keras supaya lain kali kita lebih berhati-hati memanjat pokok terutama pokok yang tinggi kerana kalau jatuh besar kemungkinan kita akan meninggalkan dunia fana ini. 

Tentang luka dan cedera , bagi mereka itu perkara biasa saja yang mereka yakin kita sendiri boleh menanganinya. Misalnya menggosok dengan minyak angin. Kita juga tidak boleh mengharapkan mereka hantar kita ke klinik sebab kos yang terlibat dan kedua mereka lebih yakin kepada perubatan cara kampong. Lagi pun selagi kita dari pandangan luarnya sihat dan masih berupaya bergerak dan berjalan , ia tidak merisaukan mereka.


Bagaimana kita sebagai orang tua kepada anak-anak kita sekarang? Sudah tentu dengan segera kita akan memeriksa seluruh badan anak sama ada luka,lebam dan cedera berdarah. Bukan itu saja, kita akan ke klinik atau hospital untuk anak kita di x-ray untuk menentukan tahap kecederaan dalaman jika ada. Yang paling 'kecuh' atau risau sangat ialah isteri kita , emak anak kita. Melelehlah air mata, menangis tersedu sedan walaupun cedera anak tidak seberapa. 


Adakah kita terlalu sayang akan anak kita berbanding bapa kita dulu keatas kita?


Sebenarnya kasih sayang orang tua kepada anak-anak adalah sama saja sama ada orang tua dulu atau orang tua sekarang seperti kita. Yang berbezanya ialah tahap , cara kehidupan dan kemampuan kita berbanding dengan orang tua kita dulu. 

Dulu hidup agak susah. Dapat menyara hidup dan memberi sesuap nasi kepada ahli keluarga dirasakan terlalu besar nikmatnya. Sekarang sebahagian besar kita akan menurutkan keperluan anak-anak terutamanya dari segi pelajaran misalnya menyediakan pakaian sekolah yang bermutu, menghantar tuisyen dan sebagainya.


Sekarang kita mahu tanya sedikit. 


i) Adakah kita marah dengan sikap dan layanan yang telah diberikan oleh ibubapa kita dulu semasa kita jatuh kerana memanjat pokok? 


Kalau jawapannya ya, kita ini anak yang tidak pandai menilai kasih sayang. Sebab kalau orang tua kita tidak sayang kita maka kita tidaklah ada  sehingga hari ini.


ii) Apakah agaknya balasan yang diberikan oleh anak-anak kita yang kita telah berikan segala kasih sayang itu. 

Soalan ini jawaplah sendiri.


Yang hendak kita beri tahu ialah bahawa sama ada kita atau ibubapa kita, kasih sayang kita kepada anak-anak tiada nilai ukurannya. Tetapi kasih sayang anak termasuk kita , kepada kedua ibubapa tidaklah kemana sangat, sekelumit saja.


Fikir-fikirkan dan lihat sekitar kita. Salam Jumaat , jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan