Theflowersellingboy

Selasa, 12 Julai 2011

Rupa-rupanya Tenaga Tidak Seperti Dulu.

Hari ini saya tiba-tiba berasa pening dan pitam semasa mendukung cucu. Nasib baik ada isteri dan anak untuk membantu. Kalau tidak apakan terjadi pada cucu, Allah saja yang tahu. Saya terus terduduk mahu rebah. Isteri sempat membantu memicit kepala dan menyapu minyak angin. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku.

Sebelum itu saya telah membuat kerja tidak sepadan dengan tenaga yang ada.


Maka setelah reda sedikit saya mahu menulis begini:

"Setiap hari kita akan melihat wajah kita dalam cermin semasa bersiap-bersiap merapi rambut, misai mahu pun janggut. Itu bagi lelaki yang mempunyai sifat-sifat sedemikian. Bagi lelaki yang tidak bermisai , berjanggut dan yang botak lain pula rapiannya semasa berhadapan dengan cermin. Wajahnya yang diapaparkan oleh cermin itu juga menjadi tumpuan matanya.

Begitu juga perempuan atau wanita yang berdandan, yang biasanya mengambil masa yang lama berbanding lelaki, akan tidak gagal menatap wajahnya yang terpapar dalam cermin. 

Tapi kita tidak pula pernah memikirkan apakah wajah kita itu telah menunjukkan perubahan setiap kali terpapar dalam cermin itu. Yang kita mahu lihat ialah wajah kita itu akan memberikan sesuatu yang enak dan sedap untuk dipandang, kita sendiri, dan lebih-lebih lagi untuk orang lain.

Dengan demikian selalunya kita merasakan peristiwa yang telah lama berlalu misalnya semasa zaman kanak-kanak  dulu hanya satu peristiwa yang baru saja berlaku.

Apabila kita menyedari bahawa ianya satu peristiwa yang lama, peristiwa pada zaman kanak-kanak maka pada masa itulah kita mula mengatakan bahawa cepat sungguh masa berlalu. Dan kita mula meraba-raba anggota badan kita terutama anggota yang selalu kita lihat dalam cermin iaitu wajah kita. Sudah tentu  kepala kita antara yang menjadi sasaran rabaan kita. Rupanya tangan kita mula merasa yang rambut kita telah mula menipis.

Kemudian cuba pergi berhadapan dengan cermin. Memang sah . Bukan saja menipis malah ada yang telah bertukar warna, hitam menjadi putih, sudah banyak uban. Pada masa itu barulah kita mengaku bahawa selama ini kita cuma memandang wajah dicermin dengan memberikan tumpuan bagi mendapatkan wajah yang sedap mata memandang sehingga kita lupa akan perubahan pada wajah yang telah dimakan usia.

Ya, ada diantara kita cuba berikhtiar untuk mendapat wajah yang dikatakan awet muda dengan berbagai cara. Sudah tentu melibatkan belanja. Besar atau kecil belanja adalah bergantung kepada setakat mana  tumpuan yang kita berikan kepada sedap mata memandang. 

Cuma dengan memandang wajah kita dalam cermin itu , kita mesti percaya dan ingat selalu bahawa masa yang berlalu akan tetap mengajak wajah kita bersama. Maknanya wajah kita hari ini akan menjadi semalam pada esok harinya, dan seterusnya menjadi basi bersama dengan perjalanan masa, dimakan usia.

Kalau begitu tidak perlu terlalu keterlaluan kita memberikan tumpuan kepada sedap mata memandang. Lagi pun mata kita pun tidak sejernih seperti dahulu.   

Itu mengenai sedap mata memandang. Bagaimana pula dengan kudrat dan tenaga? 

Sebenarnya kudrat dan tenaga yang mula-mula sekali memberi isyarat akan tahap usia kita. Semakin berusia semakin kuranglah kemampuan kita untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Kita mudah rasa letih dan penat. Dan kalau kita masih berdegil lagi dan mahu meneruskan kerja seperti dahulu, risikonya amat tinggi sekali. Boleh rasa pening kepala dan pitam kerana paru-paru kita tidak bekerja sebaik dulu, oksigen tidak masuk selancar dahulu.

Maka apabila kita memandang wajah dalam cermin jangan tumpu sangat kepada sedap mata memandang sehingga kita terlupa wajah kita telah dimakan usia. Dan apabila kita mula cepat merasa penat dan letih sedangkan dahulu tidak begitu maka jangan kita berdegil untuk terus melakukan kerja yang sememangnya bukan lagi layak bagi kita melakukannya".   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan