Walau pun telah banyak kali saya mengunjungi Putra Jaya atas urusan rasmi dengan beberapa buah Jabatan Kerajaan dan urusan peribadi membeli belah di kompleks perniagaan Alamanda, kunjungan saya bulan lepas sungguh memberi kesan sekali, memberi satu ilham dalam hal yang berkaitan dengan landskap. Sesungguhnya landskap Putra Jaya begitu cantik dan indah sekali menurut pandangan mata saya. Senang mata memandang. Menyegarkan fikiran dan memujuk hati untuk berkunjung lagi.
Sekembali di rumah kami suami isteri telah berbincang untuk mengadakan satu lanskap yang cantik dan menarik dikawasan rumah, menurut cita rasa kami. Sudah tentu 'limiting factor ' kami ialah kemampuan kewangan. Terlalu Mat Jeninlah kami jika mahu berlagak seperti Putra Jaya dari segi kemampuan kewangan. Putra Jaya tidak perlu mengenalpasti 'limiting factor'nya semasa menyediakan bajet dulu bagi pembangunannya termasuk yang berkaitan dengan landskap. Semuanya beres ditanggong oleh kita semua, rakyat.
Lanskap kecil-kecilan dirumah kami atas ilham Putra Jaya itu kami sendiri yang tanggong hasil dari penjimatan pendapatan pencen kami suami isteri. Itupun setelah hampir tujuh tahun bersara dan setelah 2 dari 4 anak kami telah mempunyai kerjaya masing-masing.
Bajet yang telah kami sepakati ialah 7 ribu ringgit saja berdasarkan kajian harga pasaran secara rambang. Seminggu selepas itu, beberapa bahan binaan utama seperti batu interlocking telah naik harga sebanyak 5 sen sebiji. Wah, pening juga kepala dibuatnya. Tetapi hendakkan yang cantik supaya mata senang memandang, kami teruskan juga projek landskap itu. Sendiri punya cita rasa sendiri tanggonglah. Hati susah, tanggong sendirilah.
Ya, setelah siap, landskap kawasan rumah kami sungguh indah dan cantik mata kami memandang. Disitulah tumpuan mata walaupun sesekali saya memegang dada disebelah kiri. Sakit sikit saja.
Itulah ilham dari Putra Jaya.
Cuma Putra Jaya terlalu indah. Belanja yang dikeluarkan bukanlah 7 ribu. Itu terlalu pasti. Belanja mula dan belanja berulang tahunannya sudah tentu terlalu besar. Khabar berita bangunan-bangunan kompleks pentadbiran kerajaan itu termasuk bangunan kediaman rasmi Perdana Menteri danTimbalan itu bukan kerajaan punya. Kerajaan sebagai penyewa saja. Sampai bila agaknya kita bayar sewa?
Tapi apa salahnya kerana mata senang memandang. Jangan pula susah hati kerana bukan kita seorang yang menanggongnya. Kita berkongsi sama. Maka renganlah beban perkongsian kita.
Nasib saya masih baik kerana rumah yang kami diami adalah rumah sendiri . Tidak perlu bayar sewa. Cukai taksiran kena bayar juga.
Ilham dari Putra Jaya : Mata Senang, Hati Susah sebab anda tidak turut serta berkongsi beban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan