Kita tidak pasti bagaimana setiap jari ditangan kita diberikan nama. Setiap jari ada nama yang berlainan dan ada yang namanya sedap disebut dan ada jari yang sungguh malang sekali mendapat nama yang orang takut atau tidak suka.
Untuk memudahkan nama-nama jari itu diperkenalkan, cuba kita buka tapak tangan secara menadah seperti orang berdoa untuk sesuatu tujuan dan kita rapatkan kedua-dua tapak tangan itu. Maka kita akan lihat jari terkecil bagi kedua-dua tapak tangan kita itu saling merapati. Kita mulakan pandangan dari jari kecil kekanan bagi tapak tangan kanan dan kekiri bagi tapak tangan kiri. Sudah sedia? Ya, telah sedia.
Jari yang kecil itu telah diberi nama Jari Kelengkeng, diikuti Jari Manis, kemudian Jari Hantu, seterusnya Jari Telunjuk dan diakhiri Jari Ibu.
Hanya dua jari saja yang kita dapat teka mengapa namanya diberi sebegitu rupa iaitu Jari Telunjuk dan Jari Ibu. Jari Telunjuk sudah pasti merujuk kepada kegunaan jari itu bagi menunjuk sesuatu atau kadang-kadang dikatakan untuk menuding. Dan Jari Ibu pula ialah kerana saiznya yang besar dari yang lain yang boleh dianggap sebagai anak-anak. Tiga lagi nama jari-jari itu iaitu Jari Kelengkeng, Jari Manis dan Jari Hantu kita tidak berani meneka mengapa setiap satu itu diberikan nama sebegitu. Kalau kita tekapun rasanya tidak akan meyakinkan mana-mana pihak.
Jari Kelengkeng ada keistimewaannya apabila disebut bersama dengan jari telunjuk dalam satu Peribahasa Melayu yang bermaksud orang yang nampaknya seperti jujur tetapi sebenarnya tidak sebegitu. Kalau ada yang terlupa akan Peribahasa itu, maklumlah ketika ini perkara-perkara mengenai Kiasan, Pepatah, Petitir, Peribahasa dan Perumpamaan telah tidak menjadi satu perkara yang penting terutamanya dalam kehidupan harian masyarakat moden yang lebih berterus terang, maka molek rasanya kita sebutkan Peribahasa itu: Telunjuk lurus Kelengkeng berkait.
Tentang Jari Hantu pula kedudukannya ditengah-tengah atau dibilangan yang ketiga sama ada dimulakan dari kiri atau kanan. Mungkin disebabkan kedudukan seperti itu maka orang Melayu menamakannya sebagai Jari Hantu mengambil anggapan bahawa sikap hantu yang suka mencelah dengan tujuan mengacau sesiapa saja dikiri kanan. Anda sudah tentu tidak yakin dengan rasional saya ini. Tidak mengapa kerana pada awal lagi saya sudah kata tekaan saya tidak akan orang percaya.
Jari Manis, yang ini pun susah juga untuk meneka mengapa manis diberikan nama. Tetapi secara pandangan mata, memang bentuknya, kedudukannya adalah sangat manis pada penglihatan mata. Mata kitalah, tidak pasti mata orang lain.Sebab itu kebanyakan orang akan menyarungkan cincin pada Jari Manis terutama tangan sebelah kiri. Cincin merisik, cincin bertunang dan apa saja jenis dan nilai cincin itu tempat untuk disarung ialah di Jari Manis. Manis mata memandang. Kalau dijari yang lain nampak janggal dan tidak ada kemanisannya, keindahannya walaupun memang ada orang menyarungkan cincin dimana-mana saja jari yang mereka suka.
Oleh itu Jari Manis adalah satu-satu jari yang mempunyai nilai tambah. Selain dari dipandang manis, jari itu juga diberi keistimewaan untuk disarungkan sesuatu yang bernilai dan berharga misalnya cincin tadi. Dari cincin biasa, cincin belah rotan, cincin pertunangan dari berbagai jenis misalnya yang dibuat dari suasa, perak dan emas dan bertahtakan berbagai permata hinggalah ke cincin yang dibentuk dan dipotong khusus dan istimewa untuk yang memakainya. Nilai hargapun sudah tentu dari yang rendah hingga yang terlalu tinggi. Maka disarungkanlah ke Jari Manis sesiapa saja. Bertuah sungguh si Jari Manis itu, baik orang itu orang biasa, berdarjat tinggi mahupun keturunan raja-raja, cincin tetap dijari manis mereka.
Dalam kedudukan yang manis dan bertuah itu, jari manis itu tidak terlepas lari dari cabaran dalam kehidupan yang serba moden ini. Cabaran semakin bertambah hebat sehingga boleh mengancam dan membahayakan keselamatan jari itu sendiri sekirannya terdapat perbezaan yang begitu besar dari segi tahap ekonomi sesama kita. Orang yang merempat miskin terlalu susah dalam mengharungi kehidupan, orang yang tiada pekerjaan dan masih perlu untuk hidup menangong diri sendiri dan yang lain, sudah tentu melihat mereka yang bercincin apatah lagi yang mahal-mahal , sebagai salah satu sumber yang boleh menjana pendapatan.
Maka janganlah merasa hairan jika jari manis itu akan menjadi tumpuan mereka. Jari manis itu adalah jari manis yang dicari-cari. Bagi mereka semua jari manis yang bersarung cincin itu mempunyai nilai tambah sama ada cincin yang dipakai itu berkeratkan dalam bentuk keratan yang dikenali sebagai 'Natural Fancy Blue Gray Cushion Cut Diamond Ring' atau keratan biasa-biasa saja.
Jari Manis yang bersarung cincin itu tetap menjadi Jari Manis Yang Dicari-cari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan