Naqib Lena Tidur
Pagi-pagi lagi Naqib sudah bangun. Entah apa butir yang dicakapnya tiada siapa yang faham maklumlah Naqib baru berusia tiga bulan. Lama juga Naqib membebel seorang diri dalam bahasa yang dia faham sendiri. Kadang-kadang dapat juga diajukkan cakapannya itu walaupun tidak tahu makna yang hendak disampaikan. "Abubu be , biyek ye , iyeng ngo, eiiye" kata Naqib sambil berbaring dan kedua-dua tangannya bergerak tanpa haluan yang tetap dan kemudian memasukkan kedua-dua jari tangannya kemulut. Air liurnya mula meleleh kedagu , jarinyanya masih didalam mulut kemudian ditarik sedikit keluar dan lidahnya sesekali dilihat menjilat kesemua jari-jari yang berada dibibir mulut.Mamanya membiarkan saja Naqib bercerita kerana Naqib masih lagi belum menangis. Naqib bukan meminta susu. Gamaknya suaranya sekadar memberitahu semua orang terutama mamanya bahawa dia telah bangun dan meminta orang lain supaya bangun juga untuk bermain bersamanya.
Tokpa yang rutin paginya menjaga Naqib telah sedia berdiri ditepi katil. Tokpa membongkok dan mengangkat Naqib terus mendokongnya berjalan keluar menuju tingkat bawah untuk kedataran kecil dihadapan rumah. Dataran kecil yang terdiri dari batu paver interlocking itu baru saja siap sehari yang lepas.
Tokpa kelihatan ceria berjalan diatas dataran kecil itu sambil menyanyi lagu untuk menghiburkan cucunya Naqib dengan tujuan untuk melenakan cucunya itu. Apabila habis saja lirik lagu itu dan Tokpa mahu menarik nafas untuk berihat sekejap, si Naqib mula meronta-ronta seolah-olah meminta nyanyian diteruskan, dia tidak jemu mendengar irama dan lirik yang didendangkan oleh Tokpanya itu.
'Naqib cucu cantik
Suka makan betik
Jalan ulang alik
Pakai baju batik
Jalan terkedek-kedek'
Lama juga Tokpa menyanyi lagu itu sambil berjalan ulang alik , ke hulu ke hilir ke depan dan ke belakang.Naqib senyap sahaja, terhibur dengan dendangan Tokpanya. Matanya masih luas terbuka.
Belum mahu lena.
Tangan Tokpa sudah mula merasa penat mendukung Naqib yang telah merekodkan berat badan 6.1 kilo semasa ditimbang dalam lawatan susulan pada dua minggu lepas. Tapi Naqib akan menangis kalau tidak terus didukung dan mundar mandir. Dia akan meronta-ronta kalau tidak mendengar suara Tokpa . Tapi Tokpa sudah penat menyanyi malah merasa jemu dengan irama dan lirik yang sama diulang-ulang .
Tokpa teringat ketika menghiburkan anak-anaknya semasa kecil dahulu dengan cara bercerita berbagai cerita. Semua anak-anaknya itu sungguh asyik mendengar cerita, ada yang mulut melopong terbuka. Tokpa tersenyum sendirian mengenang kisah yang lepas kerana tiada seorang anak-anaknya itu merasa jemu mendengar cerita rekaannya. Malah diminta ulang berkali-kali.
Cerita yang amat diminati semua ialah cerita mengenai binatang seperti katak, ular, ayam , itik , kucing dan sebagainya. Dalam cerita itu diadakan watak anak-anaknya yang selalunya digambarkan berjaya dalam apa saja persaingan.
Tokpa tersenyum lagi. Tokpa mahu bercerita menggunakan formula sama semasa menghibur anak-anaknya dulu. Dia mahu melenakan Naqib yang matanya masih luas terbuka. Tangannya telah merasa semakin penat.
'Dalam sebuah kampong ada seorang budak . Namanya Naqib . Naqib budak yang sangat cantik, handsome'. Tokpa memulakan cerita sambil memandang kewajah cucunya yang mengukirkan senyuman. Tokpa pun tersenyum juga kerana renungan matanya telah dibalas dengan senyuman dari cucunya Naqib. Lupa sebentar rasa penat di tangan.
'Pada suatu hari Naqib keluar berjalan-jalan. Naqib jumpa dengan seekor anak katak hijau. Lalu Naqib pun bertanya pada anak katak itu. "Anak katak, anak katak awak nak kemana? Saya Naqib tinggal disana tu". Jawab anak katak " Saya nak pergi ke kolam. Saya nak berenang mandi pagi. Awak tak mandi pagi ke? Naqib pun rasa malu sebab dia belum mandi. "Boleh ke saya mandi dengan awak dalam kolam renang tu. Bolehlah kita lumba berenang", kata Naqib. Anak katak pun bersetujulah untuk mandi dan berenang bersama Naqib.
Bila tiba di kolam anak katak pun melompat masuk dalam kolam. Bukan main lajunya anak katak itu berenang. Naqib pun, apa lagi terus terjun kedalam kolam dan mula berenang. Naqib berenang pun laju juga. Anak katak panggil Naqib untuk berlawan siapa dulu sampai ke tebing didepan. Naqib dan anak katak itu pun berlumba berenang. Naqib didepan, kemudian anak katak memotong. Naqib
potong semula. Naqib sampai dulu.
Saya menang, kata Naqib. Anak katak kata dia yang menang sebab dia masuk kolam dulu. Naqib kata saya sampai ditebing sini dulu. Anak katak kata siapa yang masuk kolam dulu dia yang menang. Naqib kata tak acilah macam ni anak katak. Kita lumba berenang. Bukan lumba siapa dulu masuk kolam. Jangan ubah peraturan .
Tapi anak katak kata dia yang menang dan melompat kesana kesini menjerit-jerit dia kata dia yang menang. Naqib malas nak layan anak katak yang tidak ikut peraturan itu. Naqib pun naik kedarat dan berjalan pulang".
"Itu saja cerita pasal anak katak yang melompat-lompat kerana menang secara menipu". Tokpa berhenti menarik nafas panjang.
Naqib telah tidak meronta-ronta lagi. Naqib telah lena tidur. Tokpa tersenyum dan terus melangkah masuk kedalam rumah untuk membaringkan Naqib diatas katil. Naqib terbaring lena. Tangan Tokpa mula merasa sebal tapi telah hilang kepenatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan