Theflowersellingboy

Ahad, 24 Julai 2011

Nasi Lemak Milo O: Kawin Mutiara

12 juta bang! Isteri memberitahu sebaik saja saya menarik kerusi untuk bersarapan pagi dimeja makan keluarga berhampiran ruang dapur. Hari itu sarapan yang disediakan ialah Nasi Lemak dan Milo O. 

Apa yang 12 juta tu? Kawin bang. 

Mata isteri mengajak saya untuk mengalihkan pandangan ke skrin tv yang tergantung diruang makan. 

Satu rancangan secara langsung tv 9 Nasi Lemak dan Kopi O sedang rancak berbicara dalam mood yang gembira dan ceria. Dua pengacara seorang lelaki dan seorang perempuan bersama dengan dua orang tetamu jemputan ,seorang lelaki dan serang perempuan juga, selebriti, sungguh seronok sekali berbicara tentang majlis perkahwinan selebriti jemputan itu yang bakal diadakan kurang lebih sebulan lagi, pada bulan September.

Perbualan mereka tidak dapat diikuti dengan sempurna kerana isteri saya asyik membebel saja macam orang marah-marah kerana ada yang beliau tidak berkenan disamping menyatakan simpati kepada seseorang yang lain, bekas isteri selebriti itu.

Rupa-rupanya selebriti lelaki itu telah berkahwin. Oleh kerana sesuatu hal yang ada kait mengait dengan selebriti perempuan itu maka selebriti lelaki itu bercerai dan memilih pula selebriti perempuan itu sebagai isteri yang baru. 

Itulah bebelan isteri saya sebagai makluman kepada saya yang memang zero dari segi perkembangan orang-orang dalam bidang ini, hiburan.

Dalam hati saya berkata 'sudah ditakdirkan begitu kenapa perlu marah-marah. Lagipun apa kena mengena isteri saya dengan bekas isteri selebriti itu, bukan saudara malah kenal melalui media saja, tidak pernah berjumpa secara semuka'. 

Saya tidak pula mengeluarkan kata hati, nanti melarat pula bebelan marahnya.

Namun saya faham hati seorang perempuan, seorang isteri apabila suami membuat sesuatu yang boleh menimbulkan keretakan rumah tangga disebabkan perempuan lain. 

Yang saya berikan perhatian ialah jumlah kos/belanja majlis itu 12 juta. Mak datuk, bukanmain besar dan hebatnya orang sekarang mengadakan majlis. Satu item mempercantikkan diri pun dikatakan berharga tiga ratus ringgit, iaitu kasut yang bakal dipakai oleh selebriti perempuan itu. Wah wah sungguh hebat sekali. 

Kos  sepasang kasut untuk disarong dikaki dan untuk memijak apa yang ada dibawah yang mungkin juga termasuk yang bersih dan yang kotor seperti najis semasa kaki melangkah dan menapak,  boleh membeli sebuah banglo dibandar-bandar kecil atau memberi sebuah kereta mewah seperti Mercedez. 


Untuk mereka bentuk kasut itu belanja yang dikeluarkan kalau tidak silap pendengaran (sebab isteri banyak bercerita) ialah 80 ribu atau 28 ribu. Boleh dapat beli sebuah kereta baru, yang kecillah.

Dulu semasa tahun pertengahan tahun 1970an, saya belikan cincin kahwin bakal isteri, sekarang sudah jadi nenek, semahal 500 ringgit. Itupun naik semput. Tapi yang seronoknya cincin itu walaupun 5 ratus ringgit saja, tempatnya tetap dijari manis. Manis mata memandang. Syukur kehadrat Allah kami masih lagi berdua-duan, dah jadi datuk dan nenek.

Selain dari kasut, mutiara juga menjadi hiasan yang bakal bersama ditubuh badan selebriti perempuan itu. Kalau tidak silap nilainya dua perpuluhan lapan juta ringgit. Mak datuk nenek, mahalnya. Hebat. 

Katanya mutiara itu ditaja oleh syarikat yang terkenal. Sungguh bermurah hati syarikat itu. Baguslah jadi syarikat yang pemurah semoga rezeki bertambah lagi. Lagipun inilah agaknya apa yang dikatakan CSR : Corporate Social Responsibility.


Juga sebanyak tujuh buah lori/kenderaan (tidak pasti lori ke kenderaan kerana isteri masih membebel) akan membawa bunga hiasan. Sungguh beruntunglah kedai menjual bunga. Walaupun kos tidak dimaklumkan saya percaya  jumlahnya besar juga.

Jadi campur ini campur itu, campur pula disana campur disitu, kemudian  campur yang didarat campur yang dibaruh, kesemuanya dua puluh empat juta! Menggigil saya dibuatnya.

24 juta. Katakan gaji kita RM10,000.00 sebulan. Tolak sana tolak sini tinggal 6 ribu. Katakan kita boleh simpan 3 ribu sebulan maka untuk dapatkan 24 juta kita perlu buat simpanan selama 8 ribu bulan atau 666 tahun lebih. Tapi majlis ini satu hari 24 juta. Mana ada ngam dengan simpanan kita itu. Tidak sepadan dan jangan pula hendak berangan-angan. 

Boleh ke usia kita ke tahap itu? Ye tak ye juga.

Kalau majlis  seperti ini menjadi contoh teladan dan ikutan oleh yang lain dan jika tiada yang bermurah hati untuk menaja maka dengan gaji sebulan 10 ribu  kita perlukan jangka masa 2,400 bulan atau 200 tahun. Syaratnya kita berpuasa tanpa makan dan minum, duduk bertapa. 

Sekali lagi usia kita setakat mana walaupun ada hajat nak bertapa? Lupakan saja.

Selepas segmen yang menghiburkan itu diikuti pula segmen yang meraih simpati , memohon belas ikhsan orang ramai atau sesiapa saja  untuk menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga yang telah ditakdirkan Allah mempunyai anak yang menghidapi sakit kanser.  

Siapakah atau syarikat mana kah yang akan bermurah hati untuk menaja bagi membolehkan anak yang malang itu diberi rawatan. Mungkin syarikat yang menaja majlis perkahwinan yang kita bincang sebentar tadi sebab rasa-rasanya kos perubatan tidak menjangkau jutaan ringgit. Kacang saja, celah gigi saja bagi syarikat ini. Itupun kalau mahu meneruskan CSR syarikat. Orang sakit barah pun mahu hidup dan mahu ceria seperti selebriti itu.

Kalau pihak yang banyak wang itu rasa keberatan, mari kita sama-sama hulurkan bantuan. Minta maaf saya tidak sempat ambil no talipon. Tapi rasanya boleh hubungi tv 9.

Saya pun tertanya-tanya apakah sebenarnya yang hendak dicari dalam sebuah perkahwinan?

"Sudah tentu kebahgiaan dan berkekalan. Bahagia didunia dan bahagia diakhirat". Jawapan yang rasanya diberi oleh setiap orang. Semua orang mengharapkan begitu. 

Untuk itu kita perlukan kos 24 juta atau yang senilai atau melebihi dari itu?  Ini jawablah sendiri.

Akhirnya saya dengan rendah hati mahu tanya kepada para penaja yang pemurah yang sedar akan tanggongjawab korporat sosialnya (CSR) : Adakah yang nampak di pandang dan yang boleh didengar hanya yang glamour seperti selebriti itu saja kerana mereka itu duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan anda, mewah yang perlu dimewahkan?

Saya hanya ada jawapan yang hampir sama dengan rancangan tv 9 itu iaitu Nasi Lemak Milo O. Tapi saya tidak akan dapat bersama penaja kerana rancangan tv 9 membawa tema Nasi Lemak Kopi O.

Sekian semoga anda berbahagia menjalani alam rumah tangga nanti. Kawin anda kawin mutiara. Amin.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan