Emak saya selalu memarahi kami adik-beradik yang selalu 'bergaduh' ketika bermain masa kanak-kanak dahulu, katanya " Kau orang adik beradik ni macam anjing dengan kucing, tak boleh berjumpa asyik bergaduuuuuh saja".
Kamipun memandang diantara kami cuba mencari pihak yang bersalah, yang menyebabkan pergaduhan. Tidak ada seorangpun yang dengan rela hati mengaku bersalah malah kami masing-masing menuding jari diantara satu dengan yang lain. Nampaknya tiada seorang pun yang bersalah. Kesemuanya dipihak yang benar dan baik-baik belaka walaupun pergaduhan telah berlaku.
Kesian emak, pening kepala dibuatnya dik kenakalan kami semasa kecil-kecil dulu. Emak pula begitu baik kerana tidak menyebelahi mana-mana anak. Dengan sebab itu tidak pernah diadakan perbicaraan bagi menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah.
Tetapi sekarang kami tidak lagi bergaduh. Sudah ada ramai anak. Nasib baik anak-anak tidak ikut perangai bapanya yang suka bergaduh waktu kecil dulu.
Itu adalah cerita adik-beradik bergaduh semasa kanak-kanak dulu.
Pergaduhan juga berlaku antara orang perseorangan, kumpulan, bangsa, agama dan negara. Malah pergaduhan tidak ada batas pemisahan. Siapa saja boleh terlibat dalam pergaduhan.
Satu ciri yang sama yang universal dalam pergaduhan ini ialah tidak ada satu pihak pun yang mengatakan pihaknya yang bersalah atau memulakan pergaduhan. Tuding menuding sama saja dilakukan seperti kami bergaduh dulu.
Sekarang ini di Malaysia sedang hangat berlaku 'pegaduhan' diantara BN dan PR. Masing-masing pihak mengatakan merekalah yang benar sebagai pembela rakyat. Macam-macam kaedah, tektik dan teknik pergaduhan digunakan. Yang paling beruntung ialah BN yang menguasai Kerajaan Persekutuan kerana dapat menfaatkan apa saja yang dirasakan sesuai dan perlu dalam aplikasi teknik, tektik dan kaedah pergaduhan . Sumbernya sentiasa ada dan siapsiaga. PR pula
kempen juga menurut apa yang mampu. Itulah tanda-tanda pilihanraya hampir mendekati kita.
Biarlah BN dan PR bergaduh. Jangan kita turut sama. Saksikan saja. Tiba masa mengundi kita undi yang itu. Yang itu saja. Jangan yang lain.
Nampaknya mereka BN dan PR macam anjing dengan kucing. Pantang berjumpa pasti bergaduh. Malah tidak bersua muka pun mereka akan bergaduh tuduh menuduh.
Dalam banyak hal mereka tidak sependapat. Itu perkara biasa bagi parti politik .Kalau bersetuju maknanya mengaku kalah. Dalam politik mana boleh mengaku kalah. Politik ialah untuk mendapat kemenangan. Sebab itu calun yang hendak dipilih mesti yang boleh memberi kemenangan.
Bila menang maka dapatlah kuasa. Bila dapat kuasa bolehlah buat kerja. Cuma kita harap mereka kerjalah baik-baik. Jangan ingat nak bergaduh saja apabila dah menang nanti. Satu lagi, jangan cepat nak jadi kaya. Ini bukan skim Pak Man Telo untuk kaya cepat. Kalau nak kaya cepat jangan masuk politik. Masuk skim Pak Man Telo.
Kalau kalah terima saja jangan nak kacau-kacau orang menang buat kerja.
Tapi kita suka juga mereka ini bergaduh. Biasanya orang yang bergaduh ini selain dari menuding jari akan mencari sokongan. Mereka akan berpaling kepada kita. Merayu minta simpati dan sudah tentu dengan berbagai janji.
Kalau mereka mahu mencari sokongan atau mahu kita mengatakan mereka dipihak yang benar , lantas dipeti undi nanti kita pangkah mereka (pangkah dengan niat baik untuk beri kemenangan) kita berikan syarat-syarat antaranya i) jangan bergaduh seperti anjing dengan kucing, menyalak sana, mengiau sini tiada siapa yang faham.
ii) bergaduh hendaklah diatas pentas yang sama dengan peraturan dan syarat yang sama. Kita maksudkan bergaduh idea dan pemikiran supaya tidak berlaku kecedaraan fizikal. Lagipun untuk memimpin sebuah kerajaan bukankah itu yang penting.
Takkan nak bertumbuk macam gaduh anak-anak kecil dulu, malulah kita. Itu gaduh anjing dengan kucing. Tidak menepati syarat yang pertama.
Kemudian, kita yang menyaksikan pergaduhan itu bolehlah membandingkan diantara BN dan PR yang mana sesuai dipilih.
Agak-agaknya BN dan PR berani ke naik keatas pentas yang sama berbicara untuk menyakinkan kita untuk memilih salah satu dari mereka. Kalau salah satu menolak tidak bersetuju, kerja kita senang iaitu pilih yang berani naik kepentas. Tapi yang menyulitkan jika kedua-dua BN dan PR menjadi pengecut. Siapa kita nak pilih. Saya cadangkan pilihlah yang itu. Yang itu saja. Siapa dia? Lu fikirlah baik-baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan