Theflowersellingboy

Isnin, 20 Jun 2011

MEMBERI dan MEMINTA: Dua sikap dan Perlakuan. Pilihlah MEMBERI

Memberi dan Meminta adalah dua bentuk perlakuan dan sikap yang membentuk sebahagian dari budaya kita manusia dalam mengharungi kehidupan. Kita telah biasa dengan kata-kata : Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang meminta untuk menggambarkan sikap atau perlakuan yang lebih diingini dan dihormati agar menjadi budaya yang perlu diamalkan.

Dalam hubungan ini saya tertarik tentang satu sikap dan perlakuan yang menjadi amalan pemandu-pemandu kenderaan di England yang wajar kita tiru dan amalkan sebagai satu budaya bagi kita pemandu-pemandu di Malaysia. Walaupun mungkin bagi setengah dari kita menganggap perkara yang akan diperkatakan ini terlalu kecil dan remeh namun saya merasakan sikap dan perlakuan ini jika diamalkan akan dapat membentuk peribadi kita dalam hubungan kita sesama manusia, dan kesannya sungguh positif sekali.

Kalau kita pernah memandu kenderaan di England maka satu finomina yang kita temui ialah isyarat memberi laluan kepada pemandu yang lain untuk memotong kenderaan dihadapannya di jalanraya dua hala. Sekiranya kita mahu cepat dalam perjalanan menuju ke satu-satu destinasi dan dihadapan kita terlalu banyak kenderaan sedangkan kenderaan yang menghala arah yang bertentangan juga banyak maka ia sudah tentu merumitkan kita untuk membuat potongan kereta dihadapan kita. Ini akan melambatkan kita untuk sampai ke destinasi yang dirancang. Tapi anda jangan risau jika anda berada dijalanraya dua hala di England. Anda boleh saja memecut kenderaan anda untuk memotong kerana pemandu dari arah yang bertentangan tidak akan marah pada anda misalnya dengan membunyikan hon dan menunjukkan berbagai isyarat kemarahan yang lain seperti yang pernah anda hadapi di Malaysia. Malah pemandu kenderaan yang bertentangan itu dengan begitu  sopan dan baik sekali akan menyalakan lampu dan memperlahankan kenderaannya untuk memberi laluan kepada kita agar dapat memotong kenderaan dihadapan kita. Kenderaan dihadapan kita tidak juga memecut dengan lebih laju untuk menghalang kita memotongnya.

Bagaimana di Malaysia? Masyarakat, yang kita sendiri syok berbangga sebagai sopan santun dan halus budi bahasa. Tidak kira apa bangsa , warna kulit, usia atau kedudukan sosialnya perangai dan sikap sebahagian besar pemandu kita tidak begitu. Malah saya katakan sebagai tidak sabar, tidak mahu membantu dan tidak ada sopan santunnya kerana berbagai isyarat yang menzahirkan kemarahan dapat kita saksikan. 

Mungkin juga sebahagian dari kita beranggapan bahawa pemandu itu hendak memotong 'Q' maka lantaran itu tidak wajar diberi kerjasama. Mungkin ada kebenaran anggapan itu, dan perlakuan seperti itu tidak wajar dilakukan dalam keadaan yang tidak perlu, iaitu bukan keadaan darurat. Tetapi sebenarnya kita lebih tahu sama ada kita bersikap tidak mahu membantu atau disebabkan perangai orang yang potong 'Q'. Untuk itu cuba kita uji diri apabila ada kenderaan yang datang dari arah bertentangan yang hendak memotong yang akan bertembung dengan kereta kita. Apa reaksi kita. i) Menyalakan lampu dan tunjuk isyarat tangan dan marah-marah dan tidak memperlahankan kereta. Atau ii) menyalakan lampu dan memperlahankan kenderaan untuk memberi laluan dan mengangkat tangan sambil memberi senyuman.

Dari pengalaman saya, semua pemandu kenderaan Malaysia akan memilih reaksi yang pertama.

Sesungguhnya budaya mereka di England adalah lebih kepada memberi dari meminta. Mereka tanpa di minta memberi laluan. Tidak di Malaysia kerana kita mengamalkan budaya meminta. Dengan yang demikian jika tiada yang memberi maka timbullah perasan marah dan boleh menimbulkan masalah dalam pemanduan. 

Saya ingin beri contoh tentang budaya meminta ini dalam pemanduan. Kalau kita memandu katakan di lebuhraya utara selatan menuju ke arah mana saja, selatan atau utara kita akan ketemui pemandu-pemandu yang memandu dilorong sebelah kanan (lorong laju). Ada setengahnya mengekalkan pemanduannya dilorong yang sama begitu lama sehingga boleh menyekat laluan kenderaan yang lebih laju. Maka kenderaan yang laju itu menyalakan api sebagai isyarat 'meminta' diberi laluan. Sekiranya lambat diberi laluan maka diulang lagi nyalaan lampu itu. Jika tidak juga memasuki lorong disebelah kiri maka kenderaan yang mahu memotong itu masuk ke lorong kiri memotong sambil membunyikan hon dan masuk dengan segera ke lorong kanan sebagai menyatakan kemarahan kepada pemandu yang dianggap tidak 'tahu peraturan pemanduan' itu.

Apakah yang dapat kita perkatakan tentang sinario diatas. Saya berpendapat kedua-dua pemandu itu tidak mengamalkan budaya memberi. Sepatutnya pemandu yang pertama itu tidak mengekalkan pemanduan yang begitu lama di lorong laju itu tapi berpindah ke lorong sebelah kiri untuk memberi laluan kepada pemandu yang laju. Pemandu yang kedua pun salah juga. Mengapa setelah gagal meminta laluan dengan nyalaan lampu berkali-kali dan setelah memotong melalui lorong kiri dan masuk semula ke lorong kanan perlu marah-marah dengan membunyikan hon. 

Sikap dan perlakuan kedua-dua pemandu itu sebenarnya menggambarkan peribadi yang tidak mahu mengamalkan budaya 'memberi' tetapi lebih mahu 'meminta' saja.

Cerita pemanduan ini boleh juga kita hubungkaitkan dengan orang atau pihak-pihak yang suka meminta-minta. Maksud saya ialah peminta derma yang kita boleh jumpa dipintu-pintu bank, di R&R di masjid dan kompleks perniagaan. Ada sebahagiannya yang wajar diberi derma tapi ada yang menipu. Sebab itu jangan amalkan budaya meminta ini kerana ia boleh menjatuhkan imej diri , keluarga dan agama.

Cuba kita lihat pula cara mendapat derma di masjid-masjid. Peti-peti kayu yang kecil ditolak dari seorang ke seorang dalam saf-saf jemaah, meminta sejumlah wang derma. Ada yang menderma dan ada yang tidak. Mengapa kita tidak bersikap memberi tanpa tunggu diminta oleh peti-peti yang ditolak dari seorang keseorang. Pergi saja ke tabung yang disediakan dan masuk sejumlah wang yang kita hendak derma tanpa perlu diminta. Peti-peti yang ditolak-tolak itu mungkin akan mengganggu para jemaah yang sedang beramal.

Maka sikap dan perlakuan memberi itu perlu menjadi pilihan kita kerana saya nampak banyak kebaikannya berbanding dengan  sikap suka meminta. Saya lihat ada keikhlasannya kerana ianya datang dari diri kita sendiri, bila atau sebanyak mana kita perlu memberi. Tidak perlu pihak lain meminta-minta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan