Theflowersellingboy

Selasa, 14 Jun 2011

Berat Sungguh Bahu Memikul

Penat dan letih sungguh bekerja dalam cuaca yang panas terik. Banyak air yang perlu diminum untuk mengganti peluh yang membasahi badan. Lencun seluar dan baju dik peluh yang tidak henti-henti keluar dari seluruh anggota badan. 


Begitulah yang saya rasai setelah sekian lama memerhati para pekerja bangunan dan buruh kasar yang membanting tulang mencari rezeki. Sesungguhnya semenjak dahulu lagi, semasa masih berkhidmat sebagai penjawat awam, saya amat menghormati sekali akan kegigihan  pekerja-pekerja buruh kasar, mereka yang melakukan kerja yang berat-berat mengangkat dan memikul barang atau bahan binaan dalam cuaca yang panas terik. Saya tidak pasti berapa upah yang mereka terima tapi saya pasti upahnya tidak melebihi dari gaji yang saya terima, seorang penjawat awam yang tidak berpanas terik yang sebahagian besar masa bekerja adalah dalam bangunan yang berhawa dingin. Jika berlaku sekejap kerosakan alat hawa dingin atau bekalan elektrik terputus maka saya diantara jumlah semua warga kerja dibangunan yang sama akan mengeluh dan melepaskan rasa marah. Panaaas. 

Sekejap pun tidak boleh menerima suhu yang panas. Bukanpun  bekerja dipanas terik menerima pancaran cahaya matahari tanpa lindungan.

Ketika itu sungguh berat mata memandang dan penuh simpati.

Tetapi dalam beberapa hari yang lepas, saya betul-betul merasakan 'berat sungguh bahu memikul' apabila saya cuba untuk membuat kerja dalam cuaca yang panas terik. Tetapi tidaklah seberat seperti yang dilakukan oleh pekerja kontrek bangunan. Saya hanya menyungkil batu 'interlocking' yang dulunya menjadi laluan kecil sebagai sebahagian ciri lanskap dirumah kami. Kiri kanan batu itu ditanam dengan rumput permidani hijau. Kami bercadang untuk menukar landskap dengan menjadikan kesemua bahagian hadapan rumah di bubuh dengan batu interlocking. Rumput permaidani hijau itu akan hilanglah dari pandangan mata nanti. Perubahan ini bertujuan lebih kepada mengelakkan kami terutama saya untuk memotong rumput setiap minggu. Penat, terutama usia semakin meningkat.

Bukan saya tidak biasa dengan kerja berat seperti mencungkil batu itu. Dulu semasa kecil lebih teruk dari itu saya telah lakukan misalnya memajak sawah dengan menggunakan kerbau dipanas terik. Tak kisah pun. Tak komplen. Tapi apabila ditawarkan kerja , dan bekerja  dalam bangunan berhawa dingin, anggota badan bertambah manja. Kalau berjalan ditengah panas mesti berpayung macam puteri lilin. Sebab itulah saya selalu menyebutkan secara bergurau kepada kawan-kawan supaya 'sediakan payung diwaktu panas' .

Berbalik kepada mereka yang bekerja berat ditengah-tengah pancaran terik matahari, terutamanya pekerja beragama Islam, saya membayangkan betapa kuatnya semangat dan iman mereka yang berpuasa dalam bulan Ramadhan. Jika saya, entahlah , tercicir mungkin agaknya puasa saya. Sehari, dua hari dan mungkin sebulan. Sebab manakan boleh tahan dalam panas terik. Saya boleh tahan tak makan. Tapi tekak yang kehausan dik kepanasan, saya tidak berani janji saya akan dapat bertahan dari tidak mengambil minuman. Kalau inilah yang berlaku kepada para pekerja berat itu, bagaimana agaknya dari sudut agama Islam?

Jawapan yang saya tahu dan mungkin jawapan yang sama juga akan diberi oleh orang Islam yang lain termasuk ahli agama yang berpengetahuan tinggi ialah pekerja itu telah tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam. Macam mana pun mereka kena berpuasa kerana mereka tidak termasuk dalam kategori orang yang boleh dikecualikan dari tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan. 

Jawapan nampaknya sudah jelas, mereka kena puasa juga. Dan kehausan tekak mereka juga saya sudah tahu dan rasa walaupun sebentar seminit dua bekerja dipanas yang terik. Haus teramat haus. 
Apatah lagi mereka yang sumber rezekinya ialah bekerja di panas terik melebihi masa yang telah saya lakukan. 

Apakah perkataan yang sesuai yang dapat saya fikirkan untuk menggambarkan keadaan kehausan mereka bekerja dipanas terik dalam bulan puasa. Gagal, saya tidak dapat mencari perkataan itu kerana kehausan mereka melampaui kemampuan daya tahan nafsu manusia. Hanya saya teringat satu perkataan gurauan dan mainan semasa kecil dulu iaitu 'mengelintin' untuk membayangkan sesuatu yang melampaui dari kemampuan daya tahan seseorang. Misalnya 'Dia terpegang besi panas, mengelintin lari mencari ubat".  Jadi bolehlah saya katakan mereka yang terlalu amat kehausan seperti yang diperkatakan diatas sebagai 'mengelintin kehausan'.

Tapi saya rasa masih lagi tidak  dapat menggambarkan rasa kehausan sebenarnya yang menusuk tekak pekerja diatas.

Oleh kerana berat memikul saya telah rasa, walaupun tidak seberat mana, sedikit cuma, mungkin ada baiknya dicadang sesuatu bagi membantu pekerja-pekerja seperti yang dibincangkan untuk dapat bersama kita yang hidup selesa, tidak seperti mereka, menjalankan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan.  Sebelum saya menyatakan cadangan, saya pohon jangan diketawakan idea saya itu apabila di ketahui kelak nanti jatuh semangat saya untuk berbicara. Saya bukanlah seperti pekerja tadi yang mempunyai semangat dan daya tahan yang kuat. Saya pekerja yang telah dimanjakan. Mudah 'terpele'ot'.

Mengapa tidak pada bulan puasa pekerja-pekerja Islam dikecualikan dari melakukan kerja-kerja berat seperti jenis kerja yang sedang kita katakan, khususnya bekerja dalam kawasan terbuka dalam cuaca panas terik. Saya faham bahawa orang Islam mesti ada kekuatan dalam apa keadaan sekalipun. 'Apalah sangat panas di dunia', mungkin akan terkeluar kata-kata dari mereka yang bahunya yang tidak pernah atau yang tidak memikul beban berat dipanas terik. Atau 'Iman kita mesti kuat, barulah Islam hebat', dari para pemikir, cendiakawan dan pakar motivasi yang terlalu biasa dengan bilik berhawa dingin. Atau ' boleh mengekang dan melambatkan pembangunan negara', kata pemimpin kerajaan dan mereka yang terlalu taksub kepada pembangunan fizikal sebagai ukuran kemajuan.

Kalau begitu apa yang kita perlu buat untuk membantu mereka. Semua pihak terutama pihak yang ada kuasa perlu membantu mereka dengan cara dan pendekatan pemikiran yang positif dan bukan dengan mengeluar kata-kata cemuhan, menyindir atau apa saja untuk dijadikan alasan bagi membiarkan pekerja seperti ini meneruskan nasib mereka khususnya dalam bulan puasa.

Tahu atau tidak, pernah lihat atau tidak , saya mohon maaf terlebih dulu kepada pekerja-pekerja ini, bahawa sebahagian besar pekerja Islam itu tidak mampu berpuasa. Haus. Tekak kering. Mungkin ada pihak berhujah menyatakan pekerja-pekerja seperti ini walaupun tidak bekerja di panas terik tidak akan berpuasa juga kerana iman mereka tipis. Jangan begitu Tuan. Jangan cari alasan. Itu bukan kaedah dakwah. Itu kaedah nak cari salah yang memang menjadi kegemaran banyak pihak yang duduk dan hidup selesa macam saya.

Saya yakin pihak yang ada kuasa dan kita boleh melakukannya. Membantu mereka. Kalau tidakpun seperti cadangan saya itu, lakukan apapun  cara untuk membantu mereka.

Jangan juga lupa untuk melihat upah mereka. Biarlah sepadan dengan beban berat yang mereka pikul diatas bahu mereka. Ya benar kelulusan akademik mereka tidak tinggi, tetapi bangunan yang berhawa dingin yang kita miliki, atau dipejabat tempat kita, saya bekerja yang mendingin dan menyelesakan kita semua adalah atas keringat mereka yang berjijiran membasahi tubuh mereka. 

Harga barang dan perkhidmatan ketika ini naik gila, maka wajarlah upah mereka juga dinaikkan.

Esok hari saya akan meneruskan kerja mencungkil batu interlocking  itu. Masuk esok sudah 4 hari kerja itu di buat tapi masih lagi belum siap. Hanya dalam keluasan yang tidak seberapa, saya tidak mampu menyiapkannya dalam satu hari. Sebenarnya bukan satu hari. Hanya dari pukul 7.30 pagi sampai pukul 1 tengah hari. Waktu itu panas terik. Tak boleh tahan. Haus, mengelintin saya mencari air untuk tekak yang kering. 

Saya juga nak beri tahu bahawa saya juga nak jimat belanja dalam keadaan harga barang dan perkhidmatan yang rancak naik ini. Kalau nak upah orang buat boleh juga tapi siapa pula nak bayar. Saya dah bersara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan