Sebuah rumah untuk rakyat termiskin dibawah Program Rakyat Termiskin ( PPRT) ialah RM12,000.00. Terima kasih kepada kerajaan yang sangat perihatin terhadap rakyat atau golongan warga negara yang malang ini. Dengan adanya skim PPRT itu dapatlah sebahagian rakyat yang termiskin ini memiliki rumah untuk dijadikan sebagai tempat berteduh. Walaupun tidak ada disediakan kipas apatah lagi penghawa dingin, penyediaan tempat berteduhpun sudah memadai. Kalau cuaca terlalu panas, begitulah pada setiap hari dalam fenomina pemanasan dunia (global warming), ambillah kertas surat khabar atau daun pisang dibelakang rumah dibuat kipas. Kalau itupun tiada, tanggallah baju, berlenggeng, untuk dijadikan kipas. Bukankah itu perkara biasa yang telah kita warisi turun temurun!
Kita masih lagi patut bersyukur kerana ada warga yang juga termiskin masih lagi belum dapat menikmati rumah seperti yang telah kita nikmati kerana kerajaan tidaklah boleh membina rumah PPRT serentak dengan begitu banyak. Kita perlu pertimbangkan kemampuan tunai kerajaan dalam sesuatu tahun. Banyak perkara lagi yang kerajaan hendak lakukan disamping PPRT itu. Bayaran sewa pejabat, rumah kediaman, penyenggaraan dan macam-macam lagi perbelanjaan mengurus serta pembangunan yang menjadi keutamaan bagi membolehkan kerajaan berfungsi untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan cekap. Untuk kepentingan rakyat juga.
Dengan demikian mereka yang termiskin yang masih belum menerima kelulusan untuk dibina rumah rakyat termiskin ini bersabar-sabarlah dulu. Lambat laun mereka akan dapat juga. Kata orang 'takkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah dia'. Hanya orang yang termiskin itu, terutama yang uzur dan usia lanjut perlu buat ialah dengan berdoa memohon kepada Allah SWT supaya dipanjangkan usia. InshaAllah, dapat juga nanti merasai tinggal di rumah PPRT sebelum disemadi didalam tanah.
Seperti yang telah disebutkan diatas tadi, kerajaan juga perlukan wang untuk bermacam-macam jenis perbelanjaan. Bayar gaji dan elaun , bayaran perkhidmatan dan bekalan, bayaran untuk asset dan harta modal dan bayaran pindahan. Itu hanya untuk belanja mengurus tahunan yang biasa tidak termasuk belanja tanggongan untuk membayar hutang negara misalnya. Kalau termasuk pula peruntukan pembangunan , peruntukan negara makin bertambah besar. Oleh itu sekali lagi diminta supaya orang termiskin ini sentiasa bersabar.
Ambillah satu misalan perbelanjaan kerajaan iaitu bayaran sewa rumah kediaman rasmi kerajaan.
Sewa Kediaman Rasmi Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) seperti yang dilaporkan ialah RM40 juta setahun bersamaan lebih RM3.3 juta sebulan atau lebih RM111 ribu sehari. Bil air saja RM2 juta setahun. Dan banyak lagi perbelanjaan lain dalam bentuk ubahsuaian kediaman , kelengkapan perabut dan penyenggaraan yang lain.
Maka perbelanjaan-perbelanjaan itu perlulah didahulukan. Takkan sewa rumah Rasmi PM dan TPM dan bil air serta perbelanjaan lain tidak disediakan. Malulah kita rakyat Malaysia kalau kedua-dua rumah itu tidak dibayar sewa yang mana tuan punya harta boleh mengambil tindakan undang-undang dan merantai rumah-rumah itu dari dimasuki oleh PM dan TPM. Jadi ini adalah keutamaan dari segi mengaturkan perbelanjaan. Setiap peruntukan yang perlu disediakan mesti ditentukan keutamaannya. Barulah dikatakan pengurusan kewangan yang berkhemah.
Mungkin ada orang yang nakal-nakal mengatakan perbelanjaan itu terlalu tinggi dengan membuat perkiraan dan perbandingan. Misalnya perbelanjaan sewa rumah RM40 juta itu mampu menyediakan 3 ribu lebih rumah PPRT. Tapi mereka yang nakal itu tidak pula memikirkan dari segi keutamaan. PM dan TPM yang lebih utama atau orang yang termiskin? Sudah tentu majoriti mengatakan PM dan TPM lebih utama. Lantas peruntukan untuk bayaran sewa rumah Rasmi mereka perlu diletakkan diatas sekali dari segi keutamaan. Kalau orang termiskin itu sakit atau uzur dan disebabkan itu tidak dapat bekerja, kesannya hanya yang miskin itu tidak dapat wang upah untuk membeli makanan atau panadol dikedai sebelah rumahnya saja. Sebaliknya kalau PM atau TPM kurang sihat terpaksa berihat dari bekerja, disebabkan rumah kediaman yang tidak diselenggara sempurna sehingga banyak abuk yang berterbangan, kesannya mengena keseluruh negara kerana ada keputusan-keputusan ekonomi yang penting mungkin tidak dapat dibereskan. Lihat dan bandingkan sebelum jadi budak-budak nakal.
Lagipun bukankah itu rumah kediaman Rasmi. Sesiapa saja jadi PM dan TPM mempunyai keistimewaan dan hak untuk mendiami rumah itu. Rumah itu telah didiami oleh PM sebelumnya. Sudah tentu sewanya sama saja. Mengapa sekarang buat rancangan 'Jom Heboh'. Tidak tahulah jika sewa itu baru dikenakan. Jika begitu ,maknanya kerajaan tidak bayar sewa ketika PM-PM yang lepas. Ini suatu tanda bagaiman kerajaan jimatkan belanja. PM sekarang saja baru kena sewa.
Mungkin satu ketika nanti PR yang jadi kerajaan, takkan tidak mahu duduk dirumah yang telah dibina memakan belanja yang besar itu. Maaf, bukan kerajaan yang bina, kerajaan menyewa saja. Hendak sewa atau buat rumah lain ke? Kalau cara itu dipilih lagi membazir wang negara.
Jadi bila berbicara tentang perbelanjaan dari sumber awam perkara pertama dan utama yang mesti dipertimbangkan ialah keutamaan. Besar belanja adalah untuk orang berjawatan dan berkedudukan besar seperti PM dan TPM. Mesti didahulukan. Kecil belanja untuk orang kecil dan tiada kedudukan seperti orang miskin kerana mereka itu juga miskin keperluan. Peruntukan untuk mereka juga boleh ditangguh, dikemudian, atau buat sementara dilupakan. Tetapi sebagai kerajaan yang prihatin, diperuntukkan juga secara fasa demi fasa.
Maka jangan pula selepas membuat perkiraan dan perbandingan ada pihak-pihak tertentu terutama parti yang membangkang mengatakan 'dahsyat sungguh sewa rumah PM dan TPM itu' tanpa menimbangkan faktor keutamaan yang dinyatakan itu. Memanglah sewanya mahal berbanding dengan rumah PPRT jika disewakan. Entah-entah rumah PPRT itu tidak ada yang sudi untuk menyewanya. Mana kan tidak bekalan air dan api pun belum tentu ada. Berlenggenglah penyewa rumah itu sambil mengipas anggota badan dengan baju singlet yang telah kepam hangit itu.
Tapi orang miskin itu tidak pening kepala untuk membayar bil air sebanyak RM 5 ribu lebih sehari seperti yang dibayar oleh PM dan TPM. Selamatlah belanja orang miskin itu! Jadi mengapa heboh-heboh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan