Perhimpunan Bersih yang dicadangkan pada 9 Julai 2011 adalah bertujuan untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN). Demikian pendapat Timbalan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh beberapa buah akhbar.
Saya amat bersetuju dengan pendapat itu. Saya juga tidak mengatakan bahawa pendapat seperti itu perlu dikeluarkan.
Kenyataan seperti itu tidak perlu dikeluarkan kerana semua pihak tahu bahawa penganjuran perhimpunan Bersih itu mendapat sokongan dari parti-parti bukan BN iaitu PKR, PAS dan DAP yang telah berjanji untuk menggerakkan ahli-ahli mereka bagi menyertai perhimpunan tersebut termasuk Ketua Pembangkang. Mereka berhimpun untuk menyatakan bahawa terdapat beberapa kelemahan dalam sistem dan urusan pilihanraya yang dijalankan oleh SPRM. Dengan demikian mereka mendesak supaya SPRM dapat mengambil sesuatu tindakan bagi membetulkan kepincangan yang mereka dakwa, agar pilihanraya yang adil dapat diadakan. Selagi SPRM tidak mengambil tindakan seperti yang mereka harapkan maka mereka berpendapat pilihanraya itu hanya menyebelah kepada BN dan menyukarkan mereka untuk mencapai kemenangan.
Dalam kata lain mereka mahu bertanding dalam satu sistem dan pengurusan pilihanraya yang adil dan saksama untuk semua. Dan jika mereka menang majoriti maka layaklah mereka menubuh kerajaan dan BN yang kalah jadi pula pembangkang. Benarlah kata TPM bahawa tujuan mereka berhimpun ialah untuk menumbangkan kerajaan BN dalam satu pilihanraya yang adil dan saksama kepada semua parti yang bertanding.
Saya terlalu yakin bahawa seperti BN, PR yang masuk bertanding juga mahu memerintah. Cara untuk membolehkan mana-mana parti untuk memerintah ialah dengan mengalahkan lawan dan menang majoriti. Cara menang yang mesti di terima dan dihormati ialah kemenangan dalam satu pilihanraya yang sistem dan pengurusan pilihanraya yang adil kepada semua. Maka yang kalah itu tumbanglah. Jadi tumbang menumbang dalam pilihanraya bukan satu isu. Isunya ialah sistem dan pengurusan pilihanraya itu sendiri.
Kalau begitu kenyataan TPM itu rasanya tidak perlu dikeluarkan. Setengah pihak mungkin membaca kenyataan itu bahawa Kerajaan telah menerima hakikat bahawa Kerajaan akan tumbang jika desakan perhimpunan Bersih ini diterima dan dilaksanakan.
Diantara perkara yang ditimbulkan oleh Bersih ialah undi pos dan daftar nama pemilih. SPRM sepatutnya berbincang dengan semua pihak dan parti yang berdaftar akan perkara yang menjadi persoalan.
Undi pos sepatutnya tidak perlu diteruskan. Terlalu tidak sesuai dan boleh disalah ertikan. Mungkin tidak ada apa-apa manipulasi yang dilakukan oleh SPRM. Tapi untuk dimanipulasi, boleh saja. Dengan demikian mengapa kita perlu teruskan sistem yang boleh dipersoalkan dari segi 'kewibawaannya'. BN dan PR tidak rugi jika undi pos ini dihapuskan, melainkan BN atau PR berpendapat jika sistem ini diteruskan ia boleh membantu untuk mereka menang kerana pihak lain tidak dapat keuntungan dari sistem ini. Kalau begitu kita sebenarnya mempertahankan satu sistem yang tidak adil. Saya percaya semua pihak mahu yang adil dan tidak mahu yang tidak adil dan diperlakukan sebegitu rupa.
Oleh kerana yang tidak bersetuju undi pos ini dihapuskan ialah BN dan SPRM sedangkan tidak ada sebab untuk mempertahankannya maka sebahagian besar rakyat yang bermaklumat mengesyakki sesuatu yang tidak kena. Mengapa kita membiarkan perasaan ini bercambah dan bertambah dikalangan rakyat? Sesungguhnya ia lebih merugikan.
Daftar pemilih adalah sesuatu yang terlalu penting dalam sesuatu pilihanraya. Kalau ada yang mendakwa ianya tidak seperti yang sepatutnya, SPRM dan pihak-pihak yang berkepentingan duduk berbincang. Kalau SPRM dapat membuktikan dakwaan mereka itu liar maka maklumkan seluruh negara supaya rakyat sendiri tahu bahawa parti pembangkang memang suka mengada-ngadakan sesuatu yang tidak benar. Sudah tentu rakyat hilang kepercayaan kepada pembangkang dan BN akan dipilh sekali lagi untuk memimpin Malaysia. Jadi kenyataan TPM bahawa perhimpunan Bersih itu untuk menumbangkan BN janganlah dirisaukan sangat kerana BN tidak akan tumbang.
Hanya sanya kita harapkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah tertentu supaya perhimpunan itu berjalan dengan aman kerana tujuannya baik. Sama ada tumbang atau tegak BN atau PR adalah sesuatu yang perlu diterima dalam amalan negara demokrasi. Biarlah kita menang dalam satu sistem dan pengurusan pilihanraya yang adil untuk semua yang bertanding. Baru ada ummmmp!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan