Theflowersellingboy

Rabu, 8 Jun 2011

Simpatiku untuk mu sahabat sekalian

Apakah sebenarnya polisi kerajaan dari segi pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar untuk meneruskan pelajaran ke luar negeri? Soalan ini sengaja ditanya kerana setiap tahun ada saja pelajar, ibubapa dan pihak-pihak politik sama ada orang politik dari parti yang memerintah atau parti yang tidak memerintah begitu garang dan seronok  'menyerang' penjawat awam yang tidak dapat mempertahankan diri. Kena pukul, kena lanyak sesuka hati sesiapa saja. Penjawat awam telah dituduh sebagai ingkar perintah kabinet. Benar ke?

Oleh kerana kita tidak ada maklumat dan tidak juga  berupaya melakukan penyiasatan keatas perkara yang dibangkitkan maka tidaklah dapat membuat pendirian sama ada berlaku ingkar perintah atau sebaliknya oleh penjawat awam. Namun sebagai bekas penjawat awam kita terlalu amat memahami akan kedudukan penjawat awam. Sudah memadai satu soalan itu bagi kita untuk menceritakan sedikit kisah kedudukan sebagai penjawat awam. Cerita ini tidak lengkap dan menyeluruh. Dari segi statistik tidak sampai 0.00000000000001% . Terlalu banyak cerita sedih duka seorang penjawat awam dalam hubungan kerja dan khidmat yang diberikan. Mungkin kita lebeh cenderung untuk menyebelahi mereka kerana kita adalah salah seorang dari mereka yang telahpun 'merasa'.

Cukuplah jika kita hanya dapat berkata begini :

i) Apabila berlakunya kegagalan sesuatu projek atau program kerajaan, anda kesemua penjawat awam jangan merasa sedih jika anda dihentam walaupun sebahagian besarnya mungkin bukan kesilapan atau kesalahan dipihak anda.

iii) Anda juga jangan berkecil hati jika anda dan kawan-kawan anda yang bertungkus lumus berjaya melaksanakan sesuatu projek atau program tidak disebut nama  kerana bukan itu yang kita harapkan. Jangan juga tersenyum kambing jika ada pihak mendabik dada bahawa dialah yang punya idea dan usaha.   

iii) Anda juga jangan merasa duka jika  anda selalu dikedepankan dalam hal-hal berkaitan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa walaupun anda bukanlah pihak yang paling berkuasa.  Rasuah tetap rasuah walaupun sebesar mana! Maaf,  bagi anda penjawat awam nilainya setin susu.

iv) Jangan bersedih jika senarai terpanjang yang melakukan rasuah adalah dikalangan penjawat awam, tidak kisahlah jumlah yang anda ambil itu hanya mampu untuk membeli setin susu untuk membesar anak anda dalam keadaan harga barangan dan perkhidmatan yang rancak naik. Kecil pun rasuah juga, tetap salah.

v) Jangan pula bandingkan dengan yang lain terutama tuan anda sebab siapalah anda yang tidak punya kalis tuduh, kalis siasat, kalis dakwa, kalis hukuman dan kalis penjara. Kita faham mengapa anda beriya-iya sangat  untuk buat bandingan kerana dapatan anda yang haram itu hanya mampu meraih setin susu, itupun untuk membesar anak. Manakan nak sama dengan beribu, berjuta dan berbilion yang orang lain dapat. Mereka ada kalis haram, boleh disamak dengan macam-macam cara, kaedah dan istilah. Anda yang buat kerja sudah tentu anda telah biasa dengan perkataan 'bayaran perundingan, komisyen, fast track, negotiated tender, design and built ; dan berbagai lagi.

vi) Mengapa anda perlu mengeluh dan berduka sangat dengan nasib anda itu sebab kalau anda tidak suka anda berhentilah saja. Tapi, siapa pula nak tanggong diri anda, isteri, anak-anak dan ibubapa. Betul juga. Teruskanlah kehidupan anda sebagai penjawat awam tapi ingat jangan sekali-kali berduka, dan jangan ambil rasuah, kecil pun tak boleh. Yang besar sudah tentu anda tidak ada upaya.

vii) Anda juga jangan marah-marah dalam hati sehingga darah anda membuku dan membeku yang boleh menyempitkan saluran darah anda. Nanti kena sakit jantung dan darah tinggi. Kita faham mengapa anda simpan marah anda dalam hati sehingga darah membuku dan membeku sebab siapalah anda yang bekerja dengan tuan besar. Nak mampus!

viii) Cuma anda sebagai warga yang setia sudah tentu akan pergi ke peti undi untuk menyatakan hati murni anda menentang segala yang mungkar yang anda ketahui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan