Theflowersellingboy

Jumaat, 17 Jun 2011

Salam Jumaat .........15: Seronoknya Status Rasmi dan Apalah Ada Kenaikan Harga.

Assalamualaikum wbth, Salam Jumaat untuk para budiman sekalian semoga kesemuanya sihat-sihat belaka. Amin

Kali ini kita hendak membicarakan tentang status Rasmi dan Kenaikan Harga Barang.

Status Rasmi ini kita maksudkan adalah satu status atau kedudukan yang memberikan seseorang itu  kewajaran untuk menggunakan wang awam  atau wang pembayar cukai atau wang rakyat dalam perlaksanaan tugas dan tanggongjawab mereka. Kewajaran itu disahihkan lagi dengan Peraturan Pentadbiran yang dikeluarkan dari semasa ke semasa dan undang-undang dibawah sesuatu  Akta dan Ordinan/Enakmen.

Pertama kita sentuh lawatan rasmi ke kawasan atau kampong bagi sesuatu tujuan tertentu oleh orang-orang kenamaan katakanlah Perdana Menteri.

Kita orang-orang kampong dan juga kakitangan jabatan kerajaan yang berkaitan akan bersama-sama berganding bahu membuat persiapan bagi menyambut dan meraikan tetamu itu.

Satu daripada  persediaan ialah menyediakan jamuan makan bagi mera'i kan majlis lawatan rasmi itu. Maka Jawatankuasa Persiapan yang bertanggongjawab dalam hal-hal penyediaan makanan ini (Jabatan Kerjaan yang berkaitan) akan menguruskannya termasuklah wang perbelanjaan yang diperlukan. Sekiranya tetamu kita itu Perdana Menteri atau Ketua Menteri/Menteri Besar , berkemungkinan besar dua atau tiga ekor lembu akan tumbang.
   
Ertinya apabila ada lawatan rasmi orang kenamaan maka sebahagian kita orang kampong akan dapat rezeki tambahan. Dapat makan percuma, sedap pula. Yang paling beruntung sekali mereka yang dapat kerja-kerja  menyediakan makanan. Katakan bilangan orang yang akan turut bersama dalam majlis itu dianggarkan 10,000 orang ( bilangan ini terlalu kecil jika Perdana Menteri atau Ketua Menteri yang membuat lawatan). Satu kepala RM 5.00, menjadikan jumlah perbelanjaan menyediakan makanan itu RM50,000.00. Kemudian mereka yang membekalkan khemah dan pentas , jika diadakan dikawasan lapang, dianggarkan tidak kurang 250 khemah tidak termasuk khemah VIP. Perbelanjaan bagi tujuan ini dianggarkan tidak kurang RM50,000.00. Mereka yang membela lembu dapatlah RM6,000.00  iaitu RM2,000.00 seekor . Pembekal alat siar raya juga dapat rezeki, mungkin RM5,000.00 bergantung kepada liputan kawasan. Tidak ketinggalan juga mereka yang menyediakan cenderamata, bunga manggar, ahli pasukan silat dan kompang dapat juga merasa nikmat limpahan rezeki yang dibawa oleh lawatan rasmi ini.

Selain dari itu lawatan-lawatan rasmi biasanya ada perkara-perkara penting yang diumum untuk dilaksanakan demi kesejahteraan orang-orang kampong. Diantaranya pengumuman projek jalan, sekolah, masjid, surau dan sebagainya.

Maka sesungguhnya lawatan rasmi orang-orang kenamaan ini membawa rezeki kepada kita orang kampong. Maka bersyukur dan berterima kasihlah kita kepada pemimpin kita itu yang amat bermurah hati itu sehingga kita sesekali dapat makan sedap dan percuma; dan ada juga seorang dua dari kita dapat membekalkan makanan dan khemah dan dua tiga ekor lembu laku dijual. Selain dari itu kita pun dapat projek.  Syukur Alhamdulillah.

Dari mana agaknya wang itu diambil untuk membiayai perbelanjaan itu semua? Tidak mungkin dari gaji dan elaun pemimpin kita itu. Sudah tentu wang itu dari hasil cukai yang kita juga sebagai sebahagian dari pembayar cukai. 

Kedua, masa jamuan yang kita adakan itu sebahagian dari kita mungkin disediakan nasi bungkus atau makanan yang tidaklah sama seperti yang disediakan di meja-meja VIP. Kita makan juga walaupun tidak sama yang mereka makan walaupun dalam majlis yang sama.

Seterusnya kita hanya dapat makan percuma sesekali saja. Agaknya mereka bagaimana? Sekali? Dua kali? 

Cuma kita boleh gambarkan begini: Kerja mereka tidak sama dengan kita. Mereka banyak berfikir dan berjumpa. Berdailog, bersidang, jemputan sana, jemputan sini seperti di kampong kita. Kalau di rumah juga orang akan buat janji temu. Jadi bila masa mereka ada masa untuk hal-hal peribadi. Semuanya Rasmi. 

Kalau semuanya Rasmi apakah yang dapat kita kaitkan dengan wang poket orang besar-besar itu? Sebelum beri jawapan baca semula apakah yang boleh dihasilkan oleh status Rasmi ini kepada sumber pendapatan mereka.


Jawabnya ialah mereka jarang sekali menyelok poket untuk berbelanja. Tidak hairan poket mereka sentiasa kosong tidak berwang kerana kalau nak berbelanja tidak susah nak seluk poket, poket Rasmi sudah sedia ada.

Sebab itulah mereka tidak terasa kalau harga barang dan perkhidmatan naik. Apalah sangat harga naik 5 sen atau 10 sen atau 20 sen 'nothing' katanya, tak menyusahkan.
 
Tetapi mengapa kita perlu irihati kerana itu hak mereka dalam menjalankan tugas dan tanggongjawab rasmi seperti yang telah diperuntukkan dalam peraturan dan undang-undang yang telah diluluskan.

Kalau kita masih tidak berpuas hati masuklah bertanding dalam pilihanraya akan datang ini. Kalau menang dan boleh jadi seperti mereka ingat-ingatlah kita yang sesekali dapat menumpang status Rasmi anda.

Atau pilihlah mereka yang anda fikirkankan dapat memberi kesenangan kepada kita. Boleh ke kita dapat orang yang macam tu? Jangan-jangan sebelum dapat kedudukan, cakap bukan main nak tolong kita orang yang susah-susah. Bila dapat habuan rasmi, mereka buat tak kisah. Itupun tak apa juga. Tapi yang tertusuk dihati katanya harga naik tak menyusahkan. Betullah kepada mereka yang semuanya Rasmi. Tapi kepada kita yang sesekali dapat makan di jamuan lawatan rasmi, harga naik terlalu perit.   

Sekian. Jumpa lagi minggu depan atas tajuk bicara yang lain pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan