Theflowersellingboy

Jumaat, 3 Jun 2011

Salam Jumaat.......13: Bersembang dengan Penjual Air Cincau, Air Kelapa Muda dan Sirap Bandung

Assalamualaikum wbth dan Salam Sejahtera kepada anda budiman.

Kita berjumpa  kali ke 13 dalam SJ. Pada kali ini kita hendak bercerita hasil sembangan dengan seorang penjual air cincau, air kelapa muda dan air sirap bandung. Cerita biasa saja tapi bagi penjual air itu dia amat berpuas hati sekali apabila dapat menceritakan isi hatinya kepada kita. Kita kata begitu sebab diakhir sembangan dia mengucapkan terima kasih.

Lesen Berniaga

Beliau ada lesen berniaga yang dikeluarkan oleh pihak majlis tempatan bagi jualan air dan juga makanan gorengan seperti keropk lekor, pisang, keladi dan keledek. Cuma lesen itu lesen berniaga bergerak. Ertinya beliau tidaklah boleh menetap disesuatu kawasan misalnya di ruang tempat letak kereta. Dengan demikian beliau menggunakan sebuah van untuk membawa jajaannya dari satu tempat ke tempat yang lain. Tapi cara ini tidak membolehkannya dapat pelanggan yang banyak. Untuk mendapatkan pelanggan yang lebih beliau selalunya akan meletakkan kenderaan niaganya di ruang tempat letak kereta berhadapan dengan kompleks perniagaan.

Kita dapati di tempat seperti ini beliau memperolehi pelanggan yang bertali arus terutamanya dalam keadaan cuaca yang panas terik.  Jualan air kelapa muda yang berais , air cincau dan sirap bandung bukan main laku lagi.

Apabila ditanya sama ada beliau tahu bahawa lesen berniaga beliau tidak membenarkan beliau berada lama di ruang tempat kereta, beliau tahu dan faham mengenai perkara itu dan tahu cara untuk menguruskannya apabila berhadapan dengan pihak berkuasa. Jika ada pihak penguatkuasa tempatan datang , beliau akan berunding dengan pihak berkenaan supaya dapat membenarkannya berniaga lama disitu . Dalam banyak kali cara rundingan ini berjaya. Tapi kalau bilangan pihak penguasa itu ramai, ada masalah sedikit sebab mungkin ada yang tidak bersetuju untuk membenarkan beliau berniaga disitu.

Kita tidak pula bertanya bagaimana rundingan menjadi mudah jika pihak penguatkuasa itu seorang saja dan menjadi rumit jika ramai. Tapi yang pasti beliau mengharapkan supaya perniagaan beliau yang kecil-kecilan ini untuk mencari rezeki yang halal untuk memberi nafkah anak isteri janganlah dipersusahkan. Maksud beliau supaya pihak yang berkuasa tidak menghambat dan mendenda beliau kerana berniaga tetap atau lama di sesuatu kawasan yang memberikan pelanggan yang ramai kepadanya.

Begini kata beliau "Saya peniaga kecil. Ada peniaga besar, dapat untung besar, berniaga secara haram, harap pihak berkuasa tumpukan penguatkuasan  keatas mereka".

Kita tidak pula tanya peniaga barang atau perkhidmatan apakah yang dimaksdkan besar dan haram itu.

Kebersihan Berniaga

Aspek kebersihan juga diambil kira oleh peniaga. Beliau menyediakan tempat buang sampah dalam satu bekas plastik hitam bagi memudahkan sampah atau buangan dimasukkan ke  dalam plastik hitam itu. Kulit kelapa muda yang telah di belah di masukkan dalam satu plastik untuk dibuang. Maka tidak kelihatan kulit kelapa muda itu bersepah bertaburan. Katanya kebersihan adalah penting supaya pihak berkuasa akan lebih bersimpati untuk membenarkannya berada lama di sesuatu tempat. Namun satu hal yang wajar juga diberi perhatian oleh peniaga sama ada berniaga air atau makanan yang lain ialah supaya tidak merokok semasa berniaga terutama semasa mengambil atau menceduk air kedalam bekas untuk pelanggan. Kita dapati peniga air ini masih lagi dengan tabiat yang kurang menarik kepada pelanggan untuk menikmati jualannya.

Seperti yang kita kata tadi bahawa cuaca yang panas terik akan membuatkan tekak menjadi kering dan haus. Tapi kita tidak jadi untuk memesan air kelapa muda yang sungguh mengancam tekak dan selera kerana peniaga tadi menguruskan perniagaannya dengan begitu khusuk merokok.

Diakhir sembangan beliau mengucapkan terima kasih dan berpesan kalau ada kelapa muda harap hantar kepadanya dan beliau sanggup membeli RM1.60 sebiji. Kita sedang mencari kelapa muda untuk dijual kepada peniaga ini dan peniaga yang sekerjaya dengannya.

Kita juga simpati dengan peniaga seperti ini yang kadang kadang dihambat pergi untuk bergerak ke tempat yang lain yang mungkin tiada pelanggan walaupu kita akui tindakan pihak berkuasa itu berlandaskan undang-undang namun kesalahan mereka tidak banyak membawa kesan yang terlalu buruk berbanding banyak kesalahan-kesalahan lain. Tapi kalau nak denda mereka apa yang boleh kita kata kerana kita pun hanya boleh berkata sama seperti yang disuarakan oleh peniaga air tadi.

Kita ulang , " Saya peniaga kecil. Ada peniaga besar, dapat untung besar , berniaga secara haram, harap pihak berkuasa tumpukan penguatkuasaan keatas mereka".

Jumpa lagi minggu depan dalam cerita masyarakat yang lain pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan