Theflowersellingboy

Khamis, 9 Jun 2011

AKU SEORANG PEMANDU : Pandangan dan harapanku.

Aku seorang pemandu. Aku bersyukur kerana Aku ada kerja. Bolehlah menanggong lima orang anak dan seorang isteri . Isteriku , isteri yang baik kerana membantu mendapatkan sedikit pendapatan dengan membuka gerai kecil dibawah rumah pangsa tempat kediaman-sewa kami sekeluarga. Jual goreng pisang, keledek, keropok lekor  dan kadang-kadang kuih muih seperti buah melaka dan karipap.

Sesungguhnya Aku bersyukur menjadi seorang pemandu. Berbanding dengan orang yang tidak ada kerja, hidup Aku lebih selesa. Ada makanan untuk disuapkan kedalam mulut, ke dalam mulut isteriku dan anak-anakku.

Bulan depan anak Aku akan menerima ijazah. Aku amat risau, amat khuatir anak Aku nanti akan menambahkan lagi bilangan graduan yang mengangur.

Banyak graduan-graduan yang masih tidak dapat kerja walaupun telah lama tamat pengajian. Ada yang diberitakan sudah tiga tahun menganggur. Kesian mereka, belajar macam nak mati tapi masih menganggur. Katanya mereka ini memilih kerja. Tapi apa salahnya mereka memilih kerja setelah sekian lama penat belajar. Takkan nak jadi pemandu macam Aku. Kalau begitu lebih baik dulu lepas PMR atau SPM ambil lesen memandu. Tak payah nak susah susah belajar. Agaknya orang yang kata pilih kerja tu tidak ada anak graduan yang menganggur. Atau mereka mungkin ada syarikat sendiri. Atau anak tak perlu kerja kerana bapa orang kaya. Tak tau lah Aku. Tapi pendapat Aku seorang pemandu ini, tidak salah mereka memilih kerja.

Ada yang kata, termasuklah para bijak pandai dari berbagai bangsa yang ada di tanah air yang tercinta ini, termasuk sama para menteri yang mengurus dan mentadbir negara, membuat berbagai dasar termasuklah bahasa,  bahawa punca graduan menganggur ialah kerana mereka tidak fasih berbahasa Inggeris tidak seperti pada zaman penjajah dan awal merdeka dulu. Dengan sebab itu mereka tidak mempunyai nilai ekonomi dalam pasaran buruh yang serba bersaing ini.

Aku bersetuju dengan pendapat mereka semua. Cuma Aku hairan kenapa pula dipersoalkan tahap kefasihan bahasa Inggeris graduan-graduan itu. Bukankah mereka dididik dan diajar dalam Bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran termasuk sains dan matematik , melainkan bahasa Inggeris. Dulu semasa belum merdeka dan diawal tahun-tahun selepas merdeka semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris sudah tentu fasih dalam bahasa itu. Kalau mereka tak fasih, boleh kita persoalkan.

Macam bos Aku yang berpendidikan Inggeris, tak ada masalah. Dia orang Melayu juga macam Aku.  Pandai cakap orang putih. Dirumahpun Aku dengar dia cakap dengan anak dan isteri dalam bahasa orang putih. Manakan tak fasih. Jadi jangan nak salah graduan itu saja. Mungkin cara dan kaedah mengajar bahasa Inggeris tak kena kot.  Entahlah Aku seorang pemandu, apalah yang Aku tau.

Tapi Aku nak cakap juga. Aku dengar cerita,  soal nahu diberikan terlalu banyak tekanan dan bukannya idea yang hendak di keluarkan sehingga budak-budak takut nak cakap, takut salah. Kalau salah kena ketawa pula. Itupun tak apa. Aku juga dengar cerita cikgu  bahasa Inggeris pun ada yang merangkak-rangkak mengajar bahasa itu. Dengar khabar kebanyakannya di kampong-kampong. Abis jangan salah graduan itu saja.

Yang Aku pelik semasa di tahun-tahun awal kemerderkaan dulu bukan main diadakan kempen untuk menggesa rakyat menghantar anak ke sekolah aliran Melayu kerana ketika itu aliran Inggeris masih berjalan sama. Aku nampak niat mereka ini sungguh ikhlas sebab dalam beberapa tahun kemudian maka Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar menggantikan bahasa Inggeris . Sesungguhnya Aku tabik mereka ini. Bikin seperti yang dikata. Masa itu Aku masih muda. Semangat memperjuangkan bahasa Melayu berkobar-kobar walaupun Aku cuma tamat darjah enam sekolah Melayu saja. Tapi sekarang dah terbalik , Aku tak kisah.

Yang lagi bertambah pelik ialah cara mengatasi kelemahan bahasa Inggeris itu. Seorang yang amat berkuasa, dan termasuk dalam golongan orang yang bijak pandai telah memaksa supaya pelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Hairan sungguh cara pemikirannya. Yang lemah, bahasa Inggeris maka sepatutnya perbaikki  mata pelajaran itu. Bukan mata pelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan pelajar menguasai bahasa Inggeris. Akhirnya bertukar pula ke bahasa Melayu pula. Berapa besar belanja dah dikeluarkan dalam hal bertukar bahasa ini, dari Melayu ke Inggeris dan dari Inggeris ke Melayu. Wang siapa agaknya tu. Tapi mungkin ada yang buat untung kot? 

Baru-baru ni Aku terdengar juga ada pihak yang tidak bersetuju dan sedang giat berkempen untuk berbalik ke bahasa Inggeris pula. Kalau mereka berjaya, keluar belanja lagi. Huru hara di buatnya.

Aku seorang pemandu , fikiran Aku mudah saja. Kalau nak fasih berbahasa Inggeris beralihlah semua mata pelajaran ,melainkan mata pelajaran bahasa-bahasa lain, diajar dalam bahasa Inggeris. Balik semula seperti kita pada zaman penjajah dulu dan pada awal kemerdekaan. Mungkin itu agaknya niat mereka yang mahukan sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Kalau begitu, jangan kita berselindung di sebalik mata pelajaran sains dan matematik. Itu tak ikhlas namanya. Jangan pura-pura.

Apa salahnya kita beralih kepada bahasa Inggeris kalau kita mahu rakyat khususnya graduan kita fasih dalam bahasa berkenaan. Yang salahnya, pada pendapat Aku   ialah bersikap kepura-puraan . Konon graduan sekarang lemah berbahasa Inggeris maka sains dan matematik mesti diajar dalam bahasa Inggeris. Maka fasihlah bahasa Inggerisnya! Senanglah dapat kerja! Tidak ada lagi graduan yang menganggur!  Aku tidak berani bertaruh, lagi pun bertaruhkan haram. Cuma Aku kata dengan tegas dan berani bahawa ianya tidak akan berjaya. Aku lebih suka kita balik ke zaman penjajah dulu.

Setuju? Aku percaya pejuang sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini terlalu bersetuju, sekurang-kurang dalam hati. Luahkan kehendak anda dan perjuangkan supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar. Kalau berlaku perubahan ini, Aku yakin graduan kita akan fasih berbahasa Inggeris seperti bos ku juga.

Lagipun sebahagian besar anak-anak orang kaya termasuk menteri, tidak kira Melayu atau yang lain menghantar anak-anak mereka belajar diluar negeri atau ke sekolah antarabangsa di dalam negeri yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Jadi kenapa pula tidak diberi peluang kepada anak Aku, anak seorang  pemandu, untuk dapat menguasai bahasa Inggeris, bahasa antarabangsa. Anak Aku juga nak  mengangkat nilai ekonominya di pasaran dunia. Tak mahu menganggur.  

Kenapa perlu berpura-pura.

Tapi kalau masih mahu mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, amat memalukan jika kita  memberi alasan bahawa graduan menganggur disebabkan tidak fasih berbahasa Inggeris. Mereka tidak akan fasih, maksud Aku sebahagian besarnyalah. Ada juga yang fasih sebab dari kecil sehingga besar bertutur dalam bahasa itu. Tetapi yang sebahagian besar tak fasih itu amat faham bahasa Inggeris itu. Kalau tak percaya hantarlah mereka belajar ke luar negeri. Aku jamin mereka akan berjaya malah ada yang cemerlang.

Anak Aku akan jadi graduan bulan depan. Jangan mangsakan anak Aku untuk menjadi seorang lagi penganggur semata-mata kurang fasih berbahasa Inggeris kerana anak Aku hanya berpeluang belajar dalam bahasa Melayu. Dan Aku bangga.

Kalau anak Aku dapat kerja maka dapatlah dia merengankan lagi beban belanja hidup keluargaku terutama pada ketika ini yang tidak henti-henti harga barang meningkat naik.

Kamu yang kaya-kaya, menteri-menteri yang berkuasa berhentilah berpura-pura.  Jangan membazirkan wang negara. Hari ini Inggeris , esok lusa Melayu. Kemudian tukar Inggeris pula. Yang peliknya mengapa sains dan matematik saja. Kalau nak tukar, kan molek semuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan