Perempuan- berbagai panggilan , gelaran dan jolokan merujuk kepada insan yang dijeniskan sebagai perempuan. Puteri ialah perempuan, dara pun perempuan. Ibu ,emak , ummi , mama dan yang setaraf dengannya juga perempuan. Nenek, opah dan wan pun perempuan. Wanita pun perempuan. Kaum Hawa juga merujuk kepada perempuan. Ya, serikandi dan suri rumah adalah juga perempuan. Kakak, melainkan kawasan-kawasan tertentu di Indonesia, juga perempuan. Permaisuri? Sudah tentu perempuan.
Secara fitrahnya bentuk fizikal seorang perempuan menggambarkan kelembutan. Suara, gerak geri, pandangan dan jelingan, senyuman dan pujukan serta rayuan malah marah-marahan tidak akan dapat lari dari yang lembut dan lemah.
Pada ketika ini ada segmen-segmen tertentu perempuan yang tidak dapat menerima ciri-ciri lembut dan lemah ini. Mereka memperjuangkan hak sama rata antara perempuan dan lelaki, tiada diskriminasi.
Apa pun pendapat dan perjuangan mereka, perempuan tetap perempuan, berbeza dari lelaki dan mempunyai peranan yang khusus yang tidak dapat dilakukan oleh lelaki. Perempuan boleh melahirkan anak, sudah tentu atas perkongsian dengan lelaki. Tapi , lelaki tidak boleh berbuat begitu. Itulah kelemahan lelaki. Dan itulah juga keistimewaan dan kekuatan yang ada pada perempuan. Ertinya perbezaan diantara perempuan dan lelaki bukanlah satu diskriminasi dan bukan juga penghinaan kepada perempuan.
Tidak juga fungsi melahirkan anak itu satu penghinaan. Ianya satu keistimewaan. Jangan samakan fungsi ini sebagai kilang pengeluaran. Ianya terlalu istimewa dan tiada bandingan. Jika ada perempuan yang tidak bersetuju dengan fitrah ini maka tanyalah diri sendiri bagaimana mereka lahir dan siapa yang melahirkannya. Lelaki?
Oleh itu perempuan ada kedudukan dan tempatnya. Istimewa sekali. Dengan demikian, lelaki apatah lagi perempuan mesti menghormati keistimewaan ini dan menghargainya. Ianya satu pertarungan yang melibatkan nyawa, pengorbanan yang tidak ada bandingan. Lelaki yang bergelar suami, yang dipanggil bapa, ayah, abah, papa dan sebagainya hendaklah sentiasa ingat akan perkara ini, pengorbanan ini. Ingatan kita kepada pengorbanan isteri semasa melahirkan anak kita, akan meransang kita untuk bersama-sama penat dan lelah dalam mengurus dan membesar anak kita. Dan menginsafkan kita akan pengorbanan ibu kita semasa melahirkan kita.
Bagimana fungsi melahirkan anak itu istimewa sekali?
Pertama, hanya perempuan yang boleh berbuat demikian. Maka generasi ke generasi manusia lelaki dan perempuan akan berterusan sehinggalah kesatu masa yang ditentukan Allah SWT, hari kiamat akhir zaman.
Kedua, disitulah sumber kasih sayang, belas ikhsan, keinsafan, simpati, pengorbanan, penghormatan, kekuatan, penghargaan dan segala bentuk perasaan yang mengikat irat hubungan kemanusiaan.
Perjalanan seorang perempuan sehingga ke saat dan masa untuk melahirkan anak, anak lelaki mahu pun perempuan hanya dapat dirasa dan diceritakan oleh perempuan yang mahu melahirkan anak itu sendiri. Muntah-muntah, pening kepala, emosi yang tidak menentu adalah sebahagian finomina yang dapat diceritakan. Menanggong berat yang bertambah dari hari kesehari yang dibawa kesana kesini, sama ada waktu bekerja, berihat , duduk , baring dan
apa saja gerak geri, kandungan tetap bersama. Sembilan bulan bersama-sama melalui kehidupan termasuk pernafasan.
Mengapa insan yang lemah dan lembut itu boleh berbuat demikian? Sudah tentu adanya kasih sayang. Telah terbina kekuatan untuk menghadapi apa saja risiko semasa melahirkan anak. Sudah berangan-angan untuk mendapat tahniah dan pujian dan penghargaan dari suami, ibu bapa termasuk mertua sanak saudara dan rakan kawan kerana sanggup berkurban untuk melahirkan seorang insan. Bakal dipanggil ibu, emak , ummi atau pun mama mengikut masing-masing pilihan oleh anak itu nanti, sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang.
Maka suami pula telah dihadiahkan satu penghormatan dengan panggilan ayah, abah, bapa, papa dan apa saja yang dipilih untuk mengikat kasih sayang.
Seorang suami yang dapat bersama dengan isteri semasa melahirkan anak akan terlalu berbangga atas penghormatan menjadi seorang bapa kerana suami itu sendiri telah menyaksikan betapa 'seksanya' isteri bertarung untuk melahirkan anaknya itu. Kebanggaan itu akan lebih memberi makna jika selepasnya itu dia dapat bersama-sama menguruskan anak kesayangannya itu , penat dan letih bersama dengan isteri.
Itulah perempuan, isteri kita, ibu kita, nenek kita yang telah dikatakan oleh nabi kita Muhammad SAW sebanyak tiga kali supaya kita taati.
"Ibumu, Ibumu, Ibumu" ialah perempuan. Sayanglah mereka dan kasihilah mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan