Hari Khamis 23 Jun 2011 maka genap 3 bulan usia Ahmad Naqib (dipanggil Naqib saja). Pada hari ini Naqib dibawa ke sebuah klinik kerajaan untuk menerima suntikan 3 serangkai. Sebelum disuntik Naqib ditimbang berat dan diukur ketinggian untuk melihat kemajuan pertumbuhannya. Berat Naqib telah bertambah 700gm menjadikan 6.1 kilogram dan ketinggiannya juga telah bertambah kepada 59 cm berbanding catatan bulan lepas, masing-masingnya 5.4 kilo dan 58cm. Nampaknya pertumbuhan fizikal Naqib termasuklah tindakbalas deria seperti mata dan telinga adalah normal. Alhamdulillah.
Naqib kemudiannya diberi suntikan 3 serangkai iaitu DPT (Diptheria, Pertussis dan Tetanus).
Bersama dengan Naqib terdapat beberapa kawan-kawan yang sebaya, yang lebih muda dan yang melebihi sikit usia, perempuan dan lelaki. Kesemua anak-anak itu menangis apabila ditanggalkan pakaian untuk ditimbang dan diukur ketinggian. Maka jangan rasa sedih kalau mereka menangis kuat semasa disuntik. Dan ada yang meneruskan tangisan selepas disuntik. Kesian. Ada emak atau ayah atau nenek atau datuk yang tidak sanggup melihat anak kecil itu di suntik lantas tidak mahu masuk ke dalam bilik dimana anak itu disuntik. Yang sanggup masuk itupun, ada yang meleleh air mata, kesian. Jadi yang disuntik menangis kuat dan yang melihat menangis juga, senyap-senyap, malu agaknya.
Difahamkan suntikan 3 serangkai ini akan membuatkan bayi itu demam. Oleh itu sampai saja dirumah, Naqib telah diberikan ubat (cecair) untuk mengelakkan demam. Naqib nampaknya tidak menyukai ubat itu. Maknanya deria rasanya telah dapat membezakan diantara susu ibunya dan ubat.
Ahmad Naqib pula pada usia 3 bulan ini telah mula beberapa kali mengereng untuk meniarap. Sekali dua nampak berjaya. Dia lebeh banyak mengereng ke kanan. Yang seronoknya apabila tidak berjaya cubaan pertama, dilakukan cubaan yang seterusnya banyak kali. Akhirnya kalau tidak berjaya juga dia pun menangis, kecewa agaknya. Ini mengingatkan saya akan kisah seorang kawan yang banyak kali mencuba dalam suatu peperiksaan tetapi gagal juga. Maka dia menyatakan kekecewaannya dan tidak mahu lagi mencuba. Tetapi saya percaya Naqib akan terus mencuba lagi.
Begitulah satu kisah benar perjalanan kehidupan seorang bayi yang ditatang dan diberi kasih sayang sepenuhnya oleh ayah, emak, nenek dan datuk. Apalah yang bayi itu mampu lakukan bagi penjagaan kesihatan dan pertumbuhan. Diberi hisap susu, dinyonyotnya puting ibu atau puting getah sehingga merasa kenyang. Kemudian belakangnya ditepuk-tepuk dengan penuh kasih sayang untuk mengeluarkan angin mengelak atau mengurangkan muntah. Semuanya yang tua menguruskan, emak, ayah, nenek dan datuk. Dan bila disuntik, rasa kesakitannya dikongsi bersama oleh yang tua dengan penuh kasihan dan lelehan air mata.
Maka adalah doa dari yang tua, datuk, nenek, ayah dan emak agar bayi itu membesar dengan sempurna sihat walafiat dan menjadi anak yang soleh atau solehah. Maka harapan yang tua agar bayi yang akan menjadi muda remaja dan dewasa itu nanti akan sentiasa ingat pengorbanan mereka dengan cara yang mudah sekali. Bukan wang ringgit hanya menjaga hati mereka, melayan mereka dengan penuh kasih sayang, tidak bersuara tinggi merengus dan marah-marah mereka walaupun kadang-kadang pada pandangan kita mereka telah tidak memahami cara hidup kita yang jauh berbeza. Sebenarnya mereka lebih kaya dan pakar tentang makna kehidupan walaupun usia telah lanjut. Jadi kasihani mereka, jangan marah dan pandang rendah terhadap kasih sayang mereka.
Naqib cucuku akan tumbuh membesar menjadi anak yang soleh, dan sentiasa mendoakan emak dan ayah, nenek dan datuk sentiasa di rahmati Allah SWT . Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan