Tabik Tuan
Salam perkenalan saya mulakan
Nama saya Miskin
bapa saya si Fakir beri nama entah mengapa dipilihnya
cuma katanya datuk bapa saya, moyang saya, yang namanya Kedana
memilih nama Pape untuk datuk saya yang juga bapa kepada ayah saya
kerana itu yang dia suka
Demikian yang telah diaturkan turun temurun:
Miskin Bin Fakir Bin Pape Bin Kedana
Atau Tuan boleh mula:
Kedana bapa Pape bapa Fakir bapa Miskin
sama saja
Tapi saya si Miskin lebih kaya dari mereka.
Tabik Tuan
Pohon izin tuan untuk saya bercerita kisah biasa-biasa saja
kisah anak-anak, sebab anak bawa rezeki dan kalau mati , doa anak soleh itu harapan kami suami isteri.
Adapun saya suami dan isteri
dianugerah Allah lima semuanya
untuk mengeratkasih menyambung sayang kami berdua
Tapi Tuan
Banyak masa dan biasanya
kami marah-marah pada mereka
bila susu , gula, garam , beras dan cili lada
kejap ada lama tiada
Apa lagi, saya si Miskin naik angin pening kepala
minyak angin pun tidak ada gunanya , ketika itu
walau disapu digosok kesannya sama saja
susu, gula, garam, beras dan cili lada, masih lagi
kejap ada lama tiada.
Tabik Tuan,
Saya si Miskin merendah diri ingin bertanya
Sampai bila gamaknya
cerita kejap ada lama tiada berakhir, dirumah saya si Miskin?
Esok lusa saya kurang yakin, tidak percaya
sebab mereka itu, anak-anak saya
bukan main pelahap, telan macam nak gila
pantang nampak, habis semuanya
kejap habis
lama baru nak ada semula
Seksanya, Tuan
anak-anak kami tak bawa rezeki
Dari jumlah lima satu masih belajar
Empat sudah lama diberi cuti kerana huruf 'a' dikatakan 'b'
Sekarang apa lagi kerja kulilah, rasakan
Yang seorang ini anak bongsu
rajin dan tekun orangnya
otak boleh tahan
cerah masa depan
harap-harap begitulah
Hanya ketika ini
kami ada susah sikit
sikit saja
wang belanja ,Tuan
"sekejap saja habis, entah apa-apa"
Jangan buat Miskin merana, tuan
tolonglah, ya Tuan
Tabik Tuan
Saya Tidak Mahu Jadi Miskin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan