Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat buat anda budiman.
Harapan kita ialah supaya anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat dan dipanjangkan usia. Kita juga memohon kepada Allah SWT agar kita juga sentiasa sihat untuk dapat meneruskan perbicaraan dalam SJ.
Pada pertemuan kali ini kita akan berbicara tentang satu tajuk yang terlalu biasa kepada semua kita iaitu RASUAH. Kita akan membicarakan rasuah dari sudut pandangan kita sendiri tanpa mengambil tafsiran dari mana-mana buku atau Akta serta undang-undang yang berkaitan. Dengan demikian sudah tentu terdapat perbezaan diantara kita tentang perlakuan rasuah itu sendiri.
Kita lebih cenderung untuk melihat rasuah dari dalam diri kita, sebagai senjata pertahanan dalaman, bukan dari segi penguatkuasaan undang-undang yang banyak kerenah dan memerlukan berbagai bahan pembuktian, tertakluk kepada berbagai hujahan dan tafsiran yang ada masanya boleh dipengaruhi sehingga yang benar menjadi salah dan yang salah menjadi benar. Kadang-kadang bukti boleh direka cipta dan diada-adakan. Mungkin sebahagian dari anda tidak percaya. Tapi saya yakin dan percaya, ada salah guna kuasa. Ini pun rasuah juga.
Kita tidak akan berbicara mengenai rasuah yang ketara misalnya meminta dan mengambil wang sebagai syarat untuk seseorang lepas dari tindakan undang-undang.
Kita berbicara tentang rasuah yang nampaknya kecil tetapi telah diterima sebagai suatu keistimewaan atau hak kerana memegang sesuatu jawatan . Sudah tentu jawatan yang penting dan berkuasa. Kita juga akan berbicara fasal perlakuan yang tidak kita sedari tetapi kalau diperhalusi dan direnungi ianya juga bersifat rasuah.
SJ percaya semua orang membenci rasuah dan mengutuk perlakuan rasuah. Ada pihak yang menyamakan rasuah itu dengan kanser, jika dibiarkan merebak akan membawa maut. Seperti kanser juga rasuah tidak mudah diubati, atau dihindar atau dihapuskan. Mungkin boleh dikurangkan.
Ada juga tidak samanya antara kanser dan rasuah. Kanser adalah satu penyakit yang tidak berjangkit sedangkan rasuah adalah satu perlakuan yang mudah menjadi ikutan kerana walaupun dibenci dan dikutuk , melakukan rasuah atau mengambil rasuah merupakan satu daripada jalan mudah untuk hidup selesa dan mewah, pada zahirnya. Kanser juga kadang-kadang dikaitkan dengan keturunan. Rasuah kalau menjadi satu penyakit keturunan, kita semua ada masalah jika keturunan itu saja yang berkuasa dan diberi kuasa.
Banyak perlakuan-perlakuan yang mungkin kita tidak sedar mempunyai ciri-ciri atau unsur yang condong kepada perbuatan rasuah. Buah tangan, tips, diskaun , cenderahati/cenderamata, komisyen , rundingharga, hadiah persembahan dan banyak lagi adalah istilah-istilah yang selalu dipakai untuk mengesahkan sesuatu perlakuan itu tidak ada unsur rasuah. Sebenarnya , hati kita sendiri tahu sama ada ianya rasuah atau tidak.
Lagipun kadang-kadang kita beranggapan perbuatan kita bukanlah bersifat rasuah tetapi sebagai memudahkan sesuatu urusan.
Kita ambil contoh buah tangan. Seseorang yang sentiasa berurusan dengan kita atau pejabat kita membawa buah tangan seperti sebakul buah limau mandarin untuk dibahagikan dikalangan anggota pejabat sempena menyambut Tahun Baru Cina. Perbuatan ini diulang setiap tahun dan telah dianggap sebagai satu adat dan kebiasaan. Tambahan lagi sikap dan budinya memang boleh dicontohi, mesra baik dan saling hormat menghormati semasa berurusan.
Apakah sikap kita nanti terhadap orang yang terlalu pemurah dan sentiasa mengingati kita atau jabatan kita setiap Tahun Baru Cina berbanding dengan mereka yang tidak pernah berbuat begitu. Kita percaya, melainkan kita ini bukan manusia, kita akan merasa senang untuk membantu mempercepatkan permohonan atau urusan mereka berbanding dengan orang yang tidak biasa dengan kita atau tidak semesra seperti yang pertama tadi, tidak juga menjadikan pemberian buah tangan sebagai satu adat dan kebiasaan..
Adakah sikap kita itu berunsur rasuah. Mungkin setengah daripada kita mengatakan tidak. Sebab anda tidak pernah minta dan mereka mengatakan pemberian itu adalah ikhlas, tiada niat lain melainkan sebagai buah tangan sama seperti kita membawa buah tangan untuk saudara mara. Benar ke? Cuba jawab.
Oh, jangan jawab sekarang kerana jawapan sekarang penuh dengan alasan bagi mempertahankan sikap anda. Kita sanggup menunggu selepas anda berhenti kerja, tiada kuasa atau bersara. Doalah agar kita dan anda panjang usia .Tetapi kalau nak jawab juga , jawablah dalam hati anda, hati kecil anda lebih tahu.
Cuba kita lihat dari segi pemberian diskaun. Seorang pembekal makanan yang telah mempunyai rekod terbaik dari segi mutu makanan yang dibekal dan harga yang dikatakan berpatutan adalah juga yang sentiasa anda ambil untuk membekal makanan semasa majlis-majlis rasmi. Hubungan anda dan jabatan anda dengan pembekal cukup baik atas dasar hormat menghormati dan professional iaitu beliau seorang peniaga yang mahukan keuntungan dan anda pelanggan yang utamakan mutu perkhidmatan.
Anda juga memilih beliau untuk menyediakan makanan bagi majlis perkahwinan anak. Ketika ini pembekal dengan rela hati memberi tawaran sebanyak 50% yang tidak pernah ditawarkan kepada anda semasa mengadakan majlis rasmi. 50% itu adalah keuntungan yang sepatutnya diraih. Bermakna, pembekal itu masih tidak rugi.
Apakah reaksi anda jika itu yang ditawarkan. Kalau kita, tawaran itu tidak salah diterima kerana kita perlukan harga yang terbaik, dapat jimat belanja. Cuma apabila anda telah bersara, dan mengadakan satu lagi majlis perkahwinan anak yang kedua dan memilih pembekal yang sama , apakah tawaran diskaun yang diberi. Dari situ tanyalah hati kecil anda.
Kita juga pernah ditawarkan oleh seorang pemandu sebuah syarikat menjual tilam untuk menjual tilam dengan harga yang murah dari harga yang telah kita bincang dengan taukenya. Pada mulanya tanpa disedari kita seronok dan bersetuju kerana harga murah dan tilam yang sama. Namun , kita berfikir, sekiranya kita berniaga nanti selepas bersara dan pekerja kita menipu, sudah tentu kita tidak suka dan marah. Maka tawaran itu telah tidak diterima. Tapi salah ke sebab bukan kita yang minta. Cuma kita tahu caranya tidak betul. Pemandu itu telah pecah amanah. Dan kita pula menyokong perbuatannya. Hati kecil kita telah menjawab.
Apa yang dibicarakan hari ini ialah bahawa rasuah atau tidak sesuatu perlakuan itu hanya kita sendiri yang boleh nilai dan tahu. Kita tidak perlu nanti penguatkuasaan undang-undang.
Dengan demikian janganlah kita gunakan berbagai-bagai perkataan dan istilah seperti yang telah disebutkan tadi. Dan baru-baru ini ada satu perkataan digunakan iaitu 'kebetulan' apabila pihak tertentu menggunakan kedudukan dan keistimewaannya bagi mengadakan majlis peribadi berkebetulan dengan majlis rasmi yang diadakan pada tarikh yang berdekatan.
Kita tidak pasti perlakuan iu ada unsur rasuah atau salah guna kuasa. Yang tahu ialah hati kecil orang itu.
Sekian jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan