Bila kah Pilihanraya Umum ke 13 akan diadakan telah menjadi tajuk perbualan rakyat Malaysia di mana-mana sekarang ini. Perbincangan-perbincangan dalam berbagai media tidak juga gagal untuk menyentuh tajuk yang sama. Berbagai pihak, yang terdiri dari penganalisis politik yang dikatakan pakar dan mereka yang tidak pakar dalam politik tetapi mempunyai minat dalam perkembangan politik tanah air telah mengemukakaan berbagai dalil dan alasan bagi menyokong pendapat dan kenyataan masing-masing berkaitan dengan pilihanraya umum ini. Ada yang percaya dan terlalu yakin bahawa pilihanraya ke 13 akan diadakan tidak lama lagi . Malah meramalkan tarikh , bulan dan harinya sekali.
Walau apa pun yang diramalkan tarikh pilihanraya umum itu, kita sebagai rakyat terutama yang telah mendaftar sebagai pemilih akan sekali lagi diberi peluang untuk menyatakan pemilihan kita dalam bentuk undi, mereka atau pihak mana atau parti apa yang kita mahu untuk menerajui kepimpinan negara, justeru menguruskan khazanah negara sebaik-baiknya untuk kepentingan dan kesejahteraan kita semua.
Memangkah atau mengundi adalah satu perkara yang mudah. Ambil pensil yang disediakan , coret saja garis lurus bersilang diatas kertas undi dan kemudian kertas dilipat dan dimasukkan kedalam peti undi yang disediakan. Selesai mengundi.
Cuma kesan dari pangkahan kita itu adalah terlalu besar. Kita meletakkan harapan atau menyerahkan amanah kita kepada seseorang, kepada sesuatu parti. Dan sekiranya orang itu atau parti itu dapat undi yang terbanyak dalam proses pemilihan dalam pilihanraya itu maka orang itu atau parti itulah yang akan menerajui kepimpinan untuk merealisaikan harapan dan menjalankan amanah demi kebaikan dan kesejateraan kita. Ertinya, memangkah memang mudah tetapi kesannya akan mengena kepada kita juga. Dalam bahasa yang senang, kalau salah pilih kita akan merana, terseksa pada suatu jangka masa yang agak lam juga. Pada ketika itu tidak ada guna kita tuding jari kepada orang atau parti yang kita pilih.
Memang benar mereka tidak sepatutnya mungkir janji dan pecah amanah seperti yang kita harapkan semasa mengangkat mereka dulu melalui peti undi. Tetapi, dulu kenapa kita tidak berhati-hati, kenapa tidak berfikir panjang, buat renungan dan tengok-tengok akal budi, tabiat perangai, nafsu nafsi dan segala hal yang membentuk peribadi calun dan organisasi parti.
Jawapannya sudah tentu ada kepada setiap kita yang mengundi. Kita memberi kepercayaan kepada seseorang atau kepada sesuatu parti tanpa maklumat yang cukup, keperibadian dan organisasi parti, tanpa pengetahuan apakah sebenarnya tujuan pembentukan sebuah kerajaan, tidak juga ada ilmu mengenai apakah hubungan diantara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menurut Perlembagaan Persekutuan misalnya dari segi kuasa dan pembahagian kuasa dan sebagainya. Mungkin kita mengundi di sebabkan orang itu atau calun itu atau parti itu merayu supaya mengundinya dengan berbagai umpan yang menarik berbentuk janji, atau menunjukkan contoh apa yang telah diberi dan telah disediakan.
Kalau anda seorang yang tiada banyak maklumat atau ada maklumat hanya dari satu sumber sahaja dan tidak pula faham apa itu kerajaan dan tanggongjawab sebuah kerajaan, Persekutuan dan Negeri maka keberangkalian anda membuat pilihan yang salah adalah terlalu besar. Anda akan mudah diumpan dan digula-gulakan kerana anda tidak dapat membuat saringan yang terbaik bagi menilai apa yang diperkatakan kepada anda. Anda tiada hujah dan fakta-fakta yang lain untuk dibanding-bandingkan, kerana sumber maklumat anda terlalu terhad. Apatah lagi sekiranya anda sendiri tidak tahu atau tidak punya ilmu yang berkaitan. Yang malangnya jika anda ada ilmu dan maklumat yang berkaitan tetapi anda tidak sebarluaskan.
Tapi jangan sebarluaskan maklumat dan hujah yang palsu dan mengelirukan. Jangan fikir anda berjaya kerana sebenarnya anda telah mempengaruhi orang untuk memilih calun atau parti yang tidak akan dapat memenuhi harapan dan menjunjung amanah.
Jadi apa yang kita perlu buat untuk kita tidak terjebak dengan sia-sia dalam membuat pilihan dalam pilihanraya nanti. Apatah lagi ketika ini kita sibuk menunggu pilihanraya. Adakah sebenarnya kita telah menyediakan diri untuk membulat fikiran memilih yang terbaik untuk diletakkan harapan dan diserahkan amanah.
Seperti yang kita katakan tadi bahawa maklumat dari berbagai sumber adalah penting. Ilmu yang berkaitan adalah juga penting. Mengenali peribadi calun juga penting. Maklumat dan perkembangan organisasi politik pun mesti diketahui. Yang juga penting apakah kuasa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Kita cuma ingin menyatakan pendapat bahawa lebih baik kita buat pilihan supaya kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan adalah dari parti yang sama untuk memudahkan segala perkara yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Kalau parti A memerintah di peringkat persekutuan maka pilih juga parti yang sama di peringkat negeri. Begitu juga parti B di persekutuan, memedrlukan parti B di peringkat negeri. Menguasai negeri tidak mempunyai makna jika tidak menguasai persekutuan kerana semua kuasa adalah dibawah persekutuan melainkan hal tanah dan agama serta adat istiadat.
Maka parti yang menguasai negeri tidak banyak boleh melakukan sesuatu untuk faedah rakyat sekiranya diperingkat persekutuan parti lain yang berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan