Mengintai-intai di Perpustakaan Kecil di rumah untuk mencari kalau-kalau ada buku yang boleh menarik hati untuk mengulang baca, saya terjumpa sebuah buku bertajuk : Inside The Treasury hasil karya Joel Barnett seorang ahli Politik Parti Buruh di England yang mengkisahkan hal-hal yang berlaku semasa beliau menjadi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, berjawatan Menteri. Walaupun telah dua kali dibaca saya masih lagi berminat untuk mengulang baca, entah kenapa. Mungkin agaknya ianya berkisar mengenai kerja yang saya juga pernah terlibat selama 19 tahun lebih iaitu 13 tahun di Kementerian Kewangan dan 6 tahun sebagai Pegawai Kewangan. Kerja yang tidak popular yang amat 'dibenci' oleh kawan-kawan dari jabatan dan kementerian yang lain dan di peringkat negeri pula oleh Exco.
Dalam bukunya ini Joel Barnett telah menyatakan bahawa beliau telah dinasihatkan oleh Perdana Menteri ketika itu Harold Wilson bahawa beliau (Joel Barnett) akan terpaksa menjadi tidak popular dikalangan kawan-kawan sejawatan (menteri). Sebabnya mudah saja. Joel Barnett adalah orang yang bertanggongjawab keatas perbelanjaan awam dan menteri-menteri yang lain memohon jumlah yang tertentu untuk dipertimbang. Itulah yang menjadikan beliau tidak popular.
Berbalik kepada pengalaman saya itu, selama 13 tahun saya adalah seorang Pegawai Penyemak Belanjawan (Budget Review Officer -BRO), di peringkat Penolong Pengarah Belanjawan di Bahagian Belanjawan Kementerian Kewangan di Jalan Duta. Setiap BRO di beri tugas untuk menguruskan belanjawan bagi dua atau tiga jabatan/kementerian bergantong saiz jabatan/kementerian. Sekiranya kementerian itu sebuah kementerian yang besar maka BRO itu akan bertanggongjawab hanya satu kementeria saja. Saya tidak pasti ketika ini aturan yang sama masih berjalan.
Sepanjang menjadi BRO saya telah diberi tugas bagi memeriksa dan memperakukan belanjawan bagi beberapa Jabatan dan kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara, Ikatan Relawan Rakyat (RELA); Badan Pencegah Rasuah; dan Kementerian Luar Negeri.
Sesungguhnya menjadi seorang BRO telah membuatkan saya berpeluang untuk memahami kerja dan tugas-tugas yang dijalankan oleh anggota bagi Jabatan dan Kementerian yang berkaitan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa seorang BRO mempunyai maklumat yang lebih banyak mengeanai sesuatu jabatan/kementerian berbanding dengan warga jabatan/kementerian itu sendiri. Ini adalah disebabkan setiap cadangan belanjawan yang dikemukakan mestilah diberi penjelasan yang lengkap mengapa sejumlah yang dicadang di perlukan. Jika didapati cadangan itu tidak mempunyai maklumat yang mencukupi bagi menyokong permohonan maka jabatan/kementerian terpaksa mengusahakannya sehingga maklumat itu dapat meyakinkan kami untuk bersetuju dengan cadangan tersebut.
Sudah tentu hujah menghujah berlaku antara BRO dengan pegawai jabatan/kementerian. Kadang-kadang ada yang emosional dan berkecil hati dengan kata-kata "Suka hati you lah. Kalau apa-apa terjadi jangan salah kami. Kami dah mintak tapi tak lulus".
Dalam apa hal sekalipun pegawai jabatan/kementerian pelaksana terpaksa juga menerima apa yang diputuskan oleh BRO yang selalu menggunakan 'had belanjawan' (budget ceiling) sebagai senjata untuk mereda 'keberangan' atau rasa tidak berpuas hati diatas keputusan BRO yang memotong atau tidak bersetuju dengan jumlah peruntukan yang mereka cadangkan. Secara peribadi saya amat simpati dengan pegawai-pegawai itu yang telah bertungkus lumus menyediakan cadangan berbulan-bulan lamanya dengan pengumpulan berbagai maklumat dan fakta. Dan apabila cadangan dikemukakan dan setelah mengemukakan justifikasi keperluan, BRO masih lagi tidak dapat bersetuju dengan cadangan. Tetapi sebagai BRO saya mempunyai tugas menentukan bahawa jumlah yang perlu diperakukan tidak melebihi dari had belanjawan yang ditetapkan. Oleh itu biasanya BRO akan meminta supaya jabatan/kementerian menentukan keutamaan masing-masing bagi jumlah yang dicadangkan.
Ada juga jabatan/kementerian mencadangkan supaya mereka diberitahu lebih awal had belanjawan yang di benarkan supaya mereka akan dapat menyediakan belanjawan mengikut had yang ditetapkan. Namun sama ada had belanjawan itu dimaklum lebih awal atau sebaliknya , pemeriksaan keatas cadangan belanjawan mereka tetap juga dilakukan agar mana-mana tugas atau aktiviti atau projek atau program yang disebabkan perubahan polisi dan sebagainya, saiznya perlu diperkecilkan atau digugurkan.
Apabila berbicara tentang polisi saya teringat satu peristiwa yang 'sedih' dan 'menyakitkan hati' saya sebagai BRO. Jabatan RELA mencadangkan supaya anggota RELA di perlengkapkan dengan senjata M16 dengan peruntukan berjuta ringgit untuk perolehan senjata itu. Maka saya sebagai BRO meminta penjelasan sama ada telah ada polisi yang telah dipersetujui untuk membekalkan RELA dengan M16. Soalan itu tidak dapat dijawab. Saya pasti belum ada polisi menggantikan senapang patah kepada M16. Kalau tak silap saya sehingga sekarang pun anggota RELA dilengkapkan dengan senapang patah, apatah lagi pada tahun-tahun 1980an.
Oleh kerana tiada polisi berkaitan maka saya tidak pertimbangkan cadangan RELA itu. Tapi, dalam perjumpaan diantara Menteri Kewangan dengan Ketua-ketua Setiausaha/Ketua Pengarah/Panglima Angkatan Tentera/Ketua Polis Negara yang mana BRO dan pegawai-pegawai kanan Bahagian Belanjawan yang diketuai Pengarah Bahagian Belanjawan, perkara tidak bersetuju dengan cadangan RELA itu telah dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara dengan kenyataan BRO berkenaan 'overzealous'. Menteri Kewangan hendak tahu mana satu BRO yang overzealous itu. Lantas , Pengarah memandng kearah saya. Maka Menteri Kewangan pun 'marah'lah dengan mengingatkan BRO supaya tidak bersikap demikian.
Yang menjadi sakit hati ialah kenapa pak menteri itu tidak bertanya apa sebenar yang berlaku. Apa yang dicadang dan mengapa cadangan tidak dipersetujui. Bukankah BRO melaksanakan arahan yang telah ditetapkan. Saya mahu menjawab tetapi dihalang oleh pengarah.
Rupa-rupanya ada mainan wayang. Sebenarnya dari segi Kementerian Kewangan cara yang saya lakukan itu adalah betul. Pada tahun itu saya telah dicadangkan untuk pingat AMN. Agaknya upah yang saya dapat setelah 'disakitkan hati' dihadapan ramai ketua dan pegawai kanan!
Satu lagi pengalaman yang juga menyakitkan hati apabila isteri seorang duta menunjukkan kasut tingginya kepada saya yang katanya telah haus tumitnya yang perlu diganti. Oleh kerana peristiwa itu berlaku di rumah kediaman rasminya dan saya pula tetamu yang dijemput, saya tidak membuat apa-apa komen ketika itu. Cuma saya hairan kalau kasut perlu diganti, ganti sajalah. Namun saya juga amat menyesal kerana tidak memeriksa sama ada isteri duta itu layak diperuntukkan wang untuk menggantikan kasutnya. Saya rasa beliau layak, kalau tidak masa kan kasut itu jadi item pertama yang ditunjukkan kepada saya seorang tetamu di rumahnya.
Jadi sebagai BRO saya telah mengumpul banyak pengalaman tentang tingkah laku, sikap, perangai dan minat serta kecenderungan berbagai pihak dari yang rendah sehingga yang tinggi dalam berbagai kedudukan. Satu perkara yang saya dapat simpulkan ialah semua orang mengatakan keperluan mereka lebih penting dari yang lain dan dengan itu peruntukan mestilah diberikan. Lagipun katanya wang itu 'bukan wang bapa kau, mengapa susah sangat nak bersetuju'. Saya pernah berkata bahawa 'sebab wang itu bukan wang bapa akulah , aku mesti jaga baik-baik. Kalau wang bapa aku, aku joli betul-betul. Lebih-lebih aku kena marah'.
Oleh itu jangan merasa hairan jika penjawat awam selalu menjadi sasaran pihak tertentu untuk 'dipukul'. Mungkin ada yang wajar dipukul namun sebahagian besar penjawat awam telah menunjukkan sikap yang baik dan telah memberi perkhidmatan dengan penuh taat dan setia kepada siapa saja yang menjadi ketua kerajaan.
Mereka yang bekerja sebagai BRO macam saya dulu saya percaya sedang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam memperakukan jumlah peruntukan yang wajar dipertanggongkan keatas wang awam. Kerja anda yang tidak popular itu akan menjadi anda popular kerana sentiasa disebut-sebut, dan biasanya sebutan yang kita tidak suka. Tapi tidak mengapa. Itu kerja kita. Kalau nak jadi popular yang popular jadilah seorang artis.
Sekian saja sebuah kisah pengalaman yang saya dapat tulis setelah membaca semula buku Inside The Treasury.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan